Oleh: Wawa Najwa
TIDAK pernah menghampakan walaupun sudah kerap mengadakan persembahan di Malaysia. Itulah kelebihan kumpulan Super Junior yang hadir menjayakan Konsert Siri Jelajah Asia Super Junior Super Show: Half Time di Axiata Arena, 3 Ogos, baru-baru ini.
Anggota Super Junior yang dianggotai oleh Donghae, Eunhyuk, Heechul, Kyuhyun, Leeteuk, Ryeowook, Shindong, Siwon dan Yesung memulakan persembahan mereka pada jam 5 petang dengan lagu Showtime.
Kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 masih lagi bersemangat dan gerak tari mereka tetap memukau kira-kira 9,000 penonton yang hadir menyokong persembahan mereka itu.
“Sudah berapa lama kami tak datang ke sini? Lebih dua tahun? Setiap kali ke Malaysia memang rasa teruja.
“Kami sentiasa ingat negara ini banyak kenangan buat kami,” kata Leeteuk selepas mereka mendendangkan lagu Dancing Out.
Sudah pasti lagu Dancing Out yang dikeluarkan pada 2006 dari album 06 Summer SM Town mempunyai nostalgia indah kepada kumpulan tersebut kerana video muzik lagu tersebut dibuat di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Pada persembahan tersebut, Super Junior memperdengarkan kira-kira 21 popular mereka dengan set pentas berwarna warni kreatif. Antara lagu yang dinyanyikan adalah Wonder Boy, Don’t Wait, Runaway, Suit Up, Let’s Not, Danger, medley It Has To Be You, At Gwanghwamun dan The Little Prince.
Selepas mendendangkan lagu Sorry Sorry, setiap anggota Super Junior mengambil peluang untuk menyatakan perasaan mereka di hadapan penonton.
“Saya impikan perkahwinan antarabangsa, sebab itulah saya bercadang untuk datang bercuti ke Malaysia nanti,” kata Shindong.
Bagi Ryeowook pula yang sudah lama tidak menjejak kaki ke sini, melahirkan rasa teruja kerana dapat bertemu dengan peminat.
“Agak lama juga saya tidak datang ke sini, rasa seronok dapat bersama anda semua. Anda semua yang hadir ini memberi kekuatan kepada saya hari ini,” katanya.
Donghae pula yang teruja dengan sambutan daripada penonton berharap dapat mengadakan konsert selama dua hari di masa akan datang.
Pandangan Donghae turut disokong oleh Yesung yang berharap di tahun hadapan Super Junior bakal datang lagi mengadakan persembahan di Malaysia.
“Terima kasih atas sokongan anda kepada kami selama ini. Harap kita dapat bertemu lagi di masa akan datang,” kata Yesung.
Sementara itu Kyuhyun yang datang ke Malaysia April lalu untuk konsert solonya berkata, melihat keceriaan yang dipamerkan oleh penonton membuatkan dia melupai kesakitan yang dialami.
Leetuk pula yang membahasakan dirinya sebagai Abang berkata, dia tak sangka di kalangan penonton ada juga penonton lelaki.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.