Oleh : Nafsiah Jani
Semakin berusia seseorang itu, akan kelihatan tanda-tanda garisan halus dan kedutan di wajah antara tanda proses penuaan wajah. Tanda-tanda kedutan inilah yang cukup membimbangkan dan ditakuti golongan wanita yang cukup mementingkan kecantikan.
Bagi mereka kedutan di wajah ini sedikit sebanyak akan membuatkan muka mereka kelihatan cacat dan tidak cantik seperti biasa. Kulit juga kelihatan kering kerana kolagen semakin berkurangan menyebabkan keanjalan kulit semakin berkurangan, menyebabkan kulit cepat kendur dan berkedut.
Ada banyak perkara yang boleh menyumbang kepada penuaan semulajadi kulit wajah. Selain faktor usia, pencemaran udara dan kepanasan sinaran matahari juga boleh merosak sel-sel kulit wajah.
Selain merosakkan kulit wajah, sinaran UV juga boleh mempercepatkan kedutan muncul di muka, leher, dan belakang tangan terlebih dahulu kerana umumnya ini adalah kawasan paling terdedah kepada matahari. Oleh itu, anda harus melindungi diri, mengelakkan pendedahan yang berlebihan terutamanya kulit wajah pada cahaya matahari.
Namun untuk menghalang semua ini terjadi, eloklah mulakan proses menjaga wajah sejak remaja lagi. Seperti kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati. Itu sebabnya sejak muda remaja, kita disarankan untuk menjaga kesihatan tubuh badan dan wajah dengan pengambilan makanan seimbang dan supplemen yang sesuai.
Namun jangan risau kerana sekarang banyak teknologi terkini yang dapat membantu menegangkan kembali wajah seseorang itu. Apa kata kita cuba petua tradisional dan semulajadi bagi menghalang kedutan ini terjadi tanpa memerlukan modal yang besar.
Apa tunggu lagi. Marilah kita cuba beberapa petua yang kami paparkan ini. Diharap petua-petua ini sedikit sebanyak dapat membantu terutamanya kaum wanita yang cukup mementingkan kecantikan. Cuba jangan tak cuba.
- Pecahkan telur, asingkan bahagian kuning dan putih. Pukul putih telur hingga membentuk buih dan ambil buih dan sapukan pada wajah yang bermasalah sebelum tidur. Biarkan semalaman, keesokan harinya cuci wajah dengan air sejuk. Lakukan setiap hari, Insya-Allah kedutan dan juga garis halus di wajah akan berkurangan.
- Banyakkan minum air putih sekurang-kurangnya dua liter sehari juga dapat membantu menjadikan kulit lembap dan sihat. Ini juga salah satu cara untuk membuang toksin yang terdapat dalam badan dan sekali gus menghalang berlakunya kedutan dan berlakunya proses penuaan.
- Pilihlah makanan yang berwarna cerah kerana ia kaya dengan antioksidan kuat. Makanan berwarna cerah ini hanya terdapat pada buah-buahan dan sayur-sayuran, seperti raspberi, blueberry, lada merah dan bayam. Antioksidan didalamnya dapat memperlahankan proses penuaan dan menghalang pembentukan kedut. Ia juga boleh membantu mencegah kerosakan kulit daripada luar dan kulit akan kekal anjal serta berseri.
- Amalkan pengambilan vitamin C sejak remaja kerana ia dapat mengekalkan kulit yang cantik dan sihat. Vitamin C juga membantu mengekalkan keremajaan kulit anda dan sebarang kerosakan matahari, seperti perubahan warna dan garis halus. Semakin cepat anda mengambil tindakan menjaga kulit, secara tidak langsung anda juga dapat melambatkan proses penuaan dengan mencegah kedutan pada kulit wajah.
- Minyak zaitun bagus untuk rawatan kecantikan kulit. Kandungan vitamin C,D, E serta zat besi turut dilengkapi dengan zat anti bakteria terbaik untuk awet muda dan menghalang berlakunya kedutan. Caranya bersihkan wajah sebelum tidur dan lumurkan keseluruhan wajah dengan minyak zaitun. Biarkan hingga ke pagi. Esoknya barulah bilas wajah dengan air bersih.
- Khasiat buah sangat baik untuk kecantikan dan kesihatan. Buah pisang juga sangat efektif dan mudah untuk hilangkan kedutan muka. Cara membuat krim muka anti kedut buah pisang ini sangat mudah. Lenyek sebiji pisang sehingga menjadi seperti krim. Kemudian sapukan ke seluruh permukaan muka, biarkan selama setengah jam. Kemudian barulah dibilas dengan air suam.
- Ambil lobak merah saiz sederhana dan bersihkan. Parut lobak merah dan campurkan dengan dua sudu tepung jagung dan sebiji kuning telur. Gaul kesemuanya sehingga menjadi macam masker. Sapukan masker tersebut pada bahagian muka atau bahagian kulit lain yang berkedut. Biarkan sehingga 30 minit dan barulah dicuci dengan air bersih. Lakukan selalu, Insya-Allah wajah anda kelihatan berseri dan kedut-kedut yang mula kelihatan akan menghilang.
- Untuk membantu hilangkan kedut di wajah dan dahi, ambil lendir lidah buaya dan campurkan dengan putih telur. Amalkan selang dua hari sekali. Biarkan masker ini mengering selama 15 minit, dan barulah dibilas dengan air bersih.
- Ambil dua potong betik masak dan hancurkan. Kemudian masukkan ke dalam mangkuk, gaul rata dengan satu sudu makan madu. Setelah itu, sapukan masker tersebut pada muka. Biarkan selama 20 minit, kemudian barulah dibilas dengan air suam sehingga bersih. Anda akan gembira dengan hasilnya.
- Lemon dan limau nipis adalah jenis buah masam yang boleh dijadikan masker untuk menghilangkan kedutan pada wajah. Caranya mudah saja, potong dan picit buah lemon di dahi dan lakukan sehari sekali. Biarkan selama 30 minit agar air masam itu meresap masuk ke kulit wajah. Kemudian bilas dengan air bersih. Amalkan selalu agar kulit wajah selamat daripada kedutan tanda penuaan.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.