Selain menyanyi dan berlakon, Elly juga hebat dalam bidang pengacaraan.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Elly Mazlein/Koleksi Syed Wafa

NAIK turun dalam bidang seni adalah perkara biasa bagi setiap artis yang terlibat dalam industri hiburan ini. Semua itu adalah sebahagian daripada asam garam untuk anak seni.

Bagi penyanyi, pelakon dan pengacara Elly Mazlein, semua itu sudah dilalui dan tanpa rasa kesal atau kecewa, dia kini kembali menguasai persada seni tanah air biarpun sebelum ini pernah di’lupakan’ seketika.

Elly Mazlein atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, yang berasal dari Slim River, Perak itu memulakan langkahnya dalam bidang seni menerusi album sulung berjudul “Sutera Kasih”.

Album yang dikeluarkan pada 1997 memperkenalkan Elly Mazlein dalam bidang seni suara.

Namun album yang dihasilkan pada 1997 oleh NAR Records untuk memperkenalkan Elly kepada penggemar muzik tanah air kurang menyerlah.

Album yang turut menampilkan lagu “Biar Pilu Ada Penawarnya” dan “Sutera Kasih” sebagai single itu gagal bukan kerana tidak berkualiti tapi ketika itu Elly masih lagi terikat sebagai pelajar sekolah dan tidak dapat melakukan promosi secara konsisten.

Untuk album kedua, “Satu Persatu” yang dilancarkan pada 1999, nama Elly mula mendapat perhatian kerana lagu-lagu dalam album tersebut iaitu “Usah Ditambah Bara Tersimpan” dan “Janji Kekasih” menjadi dambaan ramai dan album tersebut berjaya terjual sebanyak 50,000 unit.

Ini adalah filem pertama lakonan Elly Mazlein menerusi watak Etty.

Untuk album ketiga yang berjudul “Elly” dikeluarkan pada 2001, turut mendapat sentuhan pelbagai komposer dan penerbit terkenal termasuk Azmeer, Azman Abu Hassan dan Eddie Hamid. Antara lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah “Bungaku Bakawali”, “Cintaku Untuk Bahagia” dan “Gerimis”.

“Elly” mencipta rekod tersendiri apabila ia berjaya menjadi antara 10 album Malaysia terlaris dengan jualan mencecah 60,000 unit. Malah album “Satu Persatu” dan “Elly” turut menerima pensijilan Platinum daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

“Atas Nama Cinta” merupakan album keempat Elly yang diterbitkan pada 2003, di mana lagu lagu “Merry Go Round” dan “Pendita Penipu” dijadikan single. Sebelum itu, Elly ada juga mengeluarkan album kompilasi berjudul “Elly: Best of Ballads” (2002).

Dalam filem “Tangkai Jering”, Elly melakonkan watak Syakila.

Selepas mengecapi kejayaan dalam industri muzik dalam tempoh tujuh tahun, kerjaya muzik Elly Mazlein terhenti seketika kerana faktor pasaran dan kontrak rakaman, sekali gus mengambil cuti panjang dari kerjaya nyanyian.

Lima tahun kemudian, iaitu pada 2010, Elly kembali aktif dalam bidang muzik dengan melancarkan dua single baharu bertajuk “Please Forgive Me” dan “Kata Saja I Love You”.

Elly yang merupakan peserta program Gegar Vaganza musim ketiga pada 2016, kembali menghasilkan single selepas lama berehat dengan lagu “Jeritan Hati” pada 2017.

Album studio ketiga Elly Mazlein yang dilancarkan pada 2001 yang menampilkan lagu Bungaku Bakawali.

Malah nama Elly juga kembali menjadi bualan apabila Faizal Tahir mengundangnya untuk berkolaborasi merakam semula lagu klasik “Empat Dara” karya asal Atan Penambang dan Ahmad Yusoh dengan tajuk “Empat Dara 2020” bersama Zizi Kirana.

Sejak pelancaran rasminya di YouTube pada November 2020, muzik video lagu ini menjadi sohor di platform YouTube Malaysia dengan jumlah tontonannya mencecah 4.5 juta dengan lebih 9,400 komen daripada pelayar yang rata-rata terhibur dan memberi sokongan sangat positif.

Lagu tersebut juga berjaya menjuarai Carta RIM Domestik dan turut dipersembahkan secara langsung di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33.

Sering menghiasi cover majalah terkenal tanah air.

Popular dengan panggilan Lina Pom Pom

Selain menjadi peserta Gegar Vaganza, Elly juga turut digandingkan dengan Nabil Ahmad sebagai pengacara program All Star Gegar Vaganza.

Kehadirannya sebagai rakan pengacara Nabil mencetuskan satu fenomena cukup luar biasa. Semangat dan gelagatnya membuatkan penonton sangat terhibur dengan kehadirannya yang sering membahasakan dirinya sebagai Kak Lina Kepom atau Kak Lina Pom Pom.

Menurut Elly, gelaran tersebut diberikan oleh rakan-rakan baiknya sewaktu dia menjadi peserta Gegar Vaganza.

“Pada asalnya gelaran diberikan ialah ‘Kak Lina Pom Meletop’. Namun entah bagaimana, lama kelamaan nama tersebut menjadi Kak Kepom atau Kak Lina Kepom. Sekarang dah jadi Kak Lina Kepom. Pom pom dah tertinggal,” jelasnya sewaktu ditanya dalam satu wawancara.

Elly Mazlein dan Mohamad Azlan Che Nuh bergelar suami isteri pada 18 Januari 2020.

Celotehnya yang bersahaja tatkala mengendali program membuatkan nama Elly turut menjadi pilihan beberapa produksi untuk mengacara.

Dia yang pernah menjadi pengacara jemputan program Melodi sebelum ini berkata, jika ada produksi yang mahukan khidmatnya sebagai hos, dia sedia pertimbangkan kerana buat masa sekarang Elly tidak terikat dengan mana-mana pengurusan artis.

Isteri kepada Mohammad Azlan Che Noh, 34, itu berkata, dia amat bersyukur kerana ditemukan dengan insan yang sangat baik serta selalu ada di sisinya di kala susah dan senang.

“Saya bersyukur kerana dapat suami yang sangat baik, sangat membahagiakan saya sekeluarga. Dia terlalu indah untuk saya dan anak-anak, sentiasa ada waktu susah dan senang saya. Dia sentiasa memahami saya.

Sebagai Mona/Minah dalam drama “Kampung People”

“Itu sebabnya tahun ini, saya nak cuba aturkan jadual pekerjaan supaya seimbang antara keluarga dan juga kerjaya. Walau apa pun saya bersyukurlah dengan adanya suami saya yang sayangnya terlalu besar betul hatinya, jadi terlalu cinta,” katanya.

Menurut Elly, dia amat berterima kasih kepada suaminya itu kerana begitu memahami dan sentiasa membantu menguruskan keluarga, terutama dua anak mereka, Puteri Sara Sefhia, 8, dan Haider Mateen, 3.

“Alhamdulillah, sebenarnya benda ini (rezeki) saya tak sangka. Itu sebab pada saya, rezeki ini datang kadang-kadang ada orang dapat cepat, ada yang dapat lambat.

“Macam saya ini, di usia ke- 44 tahun, masih lagi diterima, itu yang saya rasa macam hadiah terindah daripada peminat-peminat saya. Malah, saya bersyukur dengan rezeki yang tidak putus-putus.

Pernah bergandingan dengan Nabil dalam program All Star Gegar Vaganza.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kepercayaan untuk saya mengendalikan beberapa ‘show’ dan InsyaAllah selagi diberi tanggungjawab itu, saya akan cuba buat yang terbaik,” kata pemenang trofi Pengacara Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-35 (ABPBH35) selepas 20 tahun pembabitan dalam karier seni.

Selain menyanyi dan mengacara, Elly juga berbakat dalam bidang lakonan. Dia mula muncul dalam bidang lakonan menerusi telefilem Gerhana Di Mata Kabus Di Hati pada 1999 untuk siaran RTM.

Namun kerjaya lakonannya secara serius bermula pada 2002 apabila pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam mempelawa Elly membintangi siri drama kepolisan Gerak Khas dengan memegang watak sebagai Detektif Mazlein.

Ia menjadi drama pertama lakonannya. Beliau bagaimanapun, meninggalkan siri itu tiga tahun kemudian. Filem sulung lakonannya adalah Janji Diana, arahan Yusof dengan watak Etty.

Elly Mazlein disenangi ramai kerana sikapnya yang mesra dengan orang sekeliling.

Meskipun awalnya tidak menganggap lakonan sebagai bidang yang serius, namun kebolehannya sebagai pelakon dikagumi ramai.

Selepas “Janji Diana”, Elly ditawarkan watak utama dalam filem komedi Tangkai Jering dengan memegang watak sebagai Shakila. Untuk filem arahan Datuk Prof A Razak Mohaideen itu, Elly digandingkan bersama Yassin Yahya, bekas ahli kumpulan Senario sekali gus mendedahkan dia ke dalam dunia lakonan komedi.

Lakonan Elly dalam draam Spa Q musim pertama bersama Norish Karman, Farahdhiya, Betty Banafe, Nisha Dirr dan Intan Azura turut mendapat perhatian ramai.

Sebuah lagi drama lakonan Elly yang menjadi bualan ramai adalah Kampung People di mana dia melakonkan watak Mona/Minah.

Sepanjang bergelar anak seni, Elly adalah di antara selebriti yang amat disenangi ramai kerana mudah mesra dengan peminat dan serba boleh. Semoga Elly terus berjaya dan mampu membawa nama negara ke luar negara menerusi bakatnya.

Previous articleCara hilangkan kedutan diwajah
Next articleAra Johari “Menjaga Jodoh Orang Lain”, diri sendiri masih solo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here