Image by ekrem from Pixabay

Oleh: Nury Kadir

Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Korban banyak kelebihannya berbanding Hari Raya Aidilfitri. Pada hari itu, umat Islam berkumpul pada tempat dan waktu yang mulia iaitu di Padang Arafah. Selepasnya ialah hari Tasyrik khususnya bagi mereka yang mengerjakan haji.

Waktu itu semua manusia adalah sama, tidak ada beza miskin atau kaya. Semuanya menyambut hari raya dalam keadaan yang serupa dengan warna baju yang sama. Setiap hari pada hari-hari itu adalah hari raya bagi orang yang mengerjakan haji, sepertimana yang terdapat dalam hadis Uqbah bin ‘Amir bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:” Hari Arafah, Hari Raya Korban dan hari Tasyrik adalah kesemuanya hari raya bagi umat Islam, ia merupakan hari makan dan minum.” (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, al-Nasaie, Imam Ahmad di dalam Musnad).

Menurut Datuk Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, bagi yang menunaikan haji tidak disyariatkan untuk berpuasa pada hari Arafah kerana di situlah hari raya dan tempat wuquf bagi mereka.

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah berbuka di Arafah dan manusia melihatnya. Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melarang untuk berpuasa pada hari Arafah di padang Arafah. Diriwayatkan juga daripada Sufyan bin ‘Uyainah, beliau disoal mengenai larangan berpuasa hari Arafah di padang Arafah. Beliau berkata,” Larangan tersebut kerana ketika itu Allah menyambut tetamu-tetamu-Nya, dan Allah tidak mahu melihat tetamu-tetamu-Nya dalam kelaparan.”

Hari Tasyrik berlangsung selama tiga hari dan ia juga merupakan hari raya. Oleh itu, Rasulullah SAW telah menyeru kepada penduduk Mekah bahawa hari itu merupakan hari untuk makan, minum dan memperbanyakkan zikir. Jangan sesekali berpuasa pada hari tersebut.

Kadangkala akan terdapat dua perayaan dalam satu-satu hari sepertimana apabila terhimpunnya hari Jumaat dan hari Arafah atau Hari Raya Korban dalam masa yang sama. Maka akan bertambahlah kelebihan pada hari mulia itu kerana terkumpul dua hari raya di dalamnya. Hal demikian kerana Rasulullah SAW telah bertemu dalam hajinya ketika wuquf di Arafah pada hari Jumaat, maka telah turun firman Allah,
لْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ
Maksudnya: ”Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Ma’idah :3)

Berikut adalah kelebihan hari Arafah seperti yang dinukilkan oleh Datuk Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri:
1. Hari penyempurnaan agama dan nikmat

2. Hari raya bagi seluruh umat Islam.
Sepertimana dikatakan oleh Sayidina Umar bin al-Khattab dan Ibnu Abbas, telah diturunkan nikmat pada dua hari raya iaitu hari Jumaat dan hari Arafah. Diriwayatkan daripada Umar katanya, ”Kedua-duanya bagi kami adalah hari raya.” (al-Tabari dan tafsirnya)
Ini dibuktikan dengan hadis daripada Uqbah bin Amir, tetapi ianya hari yang khusus untuk orang yang berwukuf di padang Arafah sahaja. Disyariatkan untuk berpuasa bagi penduduk negeri lain pada pandangan majoriti ulama,sekali pun ada sedikit perselisihan dalam kalangan salaf.

3. Hari Arafah merupakan genap (as-Shafa’)
Allah nyatakan tentang sumpah-Nya dalam al-Quran bahawa Hari Arafah merupakan yang genap (as-Shafa’) dalam surah al-Fajr, manakala yang ganjil (al-Watr) pula adalah Hari Raya Korban. Ia diriwayatkan juga dengan disandarkan kepada Rasulullah SAW daripada Jabir RA. Turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan al-Nasa’i dalam tafsirnya. Dikatakan,“Inilah asy-Syahid yang Allah bersumpah dengannya sebagaimana firman Allah,
وَشَاهِدٍ وَمَشْهُودٍ
Maksudnya :” Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu,serta segala keadaan yang disaksikan.” (Surah al-Buruj: 3)

Dalam kitab al-Musnad daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan secara marfu’ dan mawquf:
الشَّاهِدَ يَوْمَ عَرَفَةَ وَالْمَوْعُودَ يَوْمَ الْقِيَامَةَ
Maknanya:”Saksi adalah hari Arafah manakala hari yang dijanjikan itu ialah hari kiamat.” (Riwayat Imam Ahmad di dalam Musnad, al-Hakim di dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra)

Diriwayatkan oleh al-Tirmizi dengan periwayatan secara marfu’. Diriwayatkan juga oleh Ali dengan kata-katanya. Al-Tabarani meriwayatkan hadis daripada Abi Malik al-‘Asya’ri yang diriwayatkan secara marfu’, maksudnya: ”Saksinya ialah hari Jumaat manakala penyaksian ialah hari Arafah.” Oleh itu, apabila berlaku hari Arafah pada hari Jumaat maka akan berkumpullah antara saksi dengan penyaksian.

Image by ekrem from Pixabay

4. Hari Arafah adalah sebaik-baik hari
Diriwayatkan juga bahawa ia adalah sebaik-baik hari. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya : ”Sebaik-baik hari ialah hari Arafah.”

5. Menyamai 10 000 hari
Kelebihan hari Arafah menyamai 10 000 hari. Daripada Anas bin Malik, beliau telah berkata, ”Kelebihan hari Arafah menyamai 10 000 hari.”

6. Haji yang Agung
Ia merupakan haji yang agung pada pandangan para salaf antaranya ialah Umar dan lain-lain, manakala yang lain tidak menyokong pandangan ini. Mereka berkata, ”Hari haji yang paling agung ialah pada Hari Raya Korban.” Ini diriwayatkan daripada Baginda Nabi Muhammad SAW.

7. Puasanya akan menghapuskan dosa untuk dua tahun.

8. Hari pengampunan dosa, pelepasan azab api neraka dan kemegahan bagi orang berwuquf di Arafah.
Seperti mana terdapat dalam Sahih Muslim daripada Aisyah, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ”Tiada hari yang Allah banyak membebaskan daripada neraka melebihi hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka kepada para malaikat. Allah berfiman, ‘Apa yang diinginkan oleh mereka?”(Riwayat Muslim, Ibnu Majah)

Dalam kitab al-Musnad daripada Abdullah bin ‘Amru, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ” Sesungguhnya Allah berbangga di hadapan malaikat bagi mereka yang bermalam di Arafah. Allah berkata, ‘ Lihatlah kamu semua kepada hamba-hamba-Ku, mereka datang berhimpun kepada-Ku dengan keadaan yang berdebu dan kusut.” (riwayat Imam Ahmad , al-Tabarani di dalam Mu’jam al-Kabir)

Diriwayatkan lagi daripada hadis Jabir, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ”Tiada ada hari yang paling baik di sisi Allah melainkan hari Arafah. Allah turun ke langit dunia dan bermegah-megah dengan penduduk langit untuk penduduk dunia, Lantas berkata,’Lihatlah kepada hamba-Ku, mereka berkumpul di hadapan-Ku dengan penuh debu, mereka datang dari semua penjuru yang jauh, mereka mengharapkan rahmat-Ku, dan tidak mengharapkan azab. Maka tidak dilihat hari yang lebih banyak pelepasan daripada api neraka-Ku daripada hari Arafah.” (Riwayat Ibnu Hibban dan Abu Ya’la di dalam Musnad).

Imam Malik meriwayatkan dalam kitab al-Muwaththa’ daripada riwayat-riwayat mursal Thalhah bin Ubaidillah bin Kariz bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: ”Tiada hari syaitan tidak di lihat dirinya paling kerdil, paling jauh, paling hina dan paling marah pada mana-mana hari melainkan pada hari Arafah.

Itu hanya kerana ia melihat turunnya rahmat dan Allah mengampunkan segala dosa besar. Itulah kecuali daripada apa yang telah ditunjukkan pada hari Badar.” Ditanya kepadanya, ”Apa yang ditunjukkan kepadanya pada hari Badar?” Baginda bersabda, ”Bukankah dia melihat Jibrail mengatur barisan pada malaikat.” (Riwayat Imam Malik di dalam al-Muwatta’,al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman).

Oleh itu, sesiapa yang sangat menginginkan pelepasan daripada azab api neraka dan pengampunan daripada dosanya di hari Arafah, jagalah perilaku dan ibadah yang membolehkannya memperoleh keampunan tersebut.

9. Berpuasa pada hari itu
Daripada Abu Qatadah bahawasanya Nabi saw bersabda, maksudnya: “Puasa pada hari Arafah, Aku berharap pada Allah agar dihapuskan dosa yang sebelum dan selepas tahun itu.” (Riwayat Muslim)-* dipetik dari www.muftiwp.gov.my
Begitu banyak kelebihan yang Allah janjikan pada 10 hari awal Zulhijjah, tinggal kita sedar atau tidak. Jangan biarkan 1-10 Zulhijjah berlalu begitu sahaja dengan sia-sia. Tapi biasanya kita lupa dengan tarikh tersebut kerana beranggapan semua itu untuk jemaah haji yang mengerjakan haji. Bagi kita yang belum diberi kemampuan untuk menjadi tetamu Allah bukan kerana kekangan kewangan tetapi menunggu giliran yang masih jauh, jangan lepaskan peluang puasa Arafah dan rebut saat makbul doa.

Ditinggalkan artikel ini dengan zikir yang paling afdal diamalkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah atau sepanjang masa. Hadis dari Abu Hurairah r.a, katanya Rasulullah SAW bersabda, “Siapa yang membaca kalimat tahlil: Laa ilaaha illallahu wahdahu la syarikalah, lahulmulku wa laahul hamdu wa huwa ‘alaa kulli syai-in Qadir, 100 kali dalam sehari maka dia beroleh pahala. Pahalanya bersamaan memerdekakan sepuluh orang hamba dan dicatatkan 100 kebajikan serta dihapuskan daripadanya 100 kesalahan (dosa) dan pada hari itu dia dipelihara dari godaan syaitan hingga ke petang. Dan tidak seorang pun yang melebihi amalnya kecuali orang yang membacanya lebih banyak daripada 100 kali. Dan sesiapa membaca: Subhanallaahi wa bihamdih, 100 kali sehari dihapuskan segala kesalahannya walaupun sebanyak buih di lautan.” (Riwayat Muslim)

Previous articleSebaknya…Qari, Sebuah filem pendek Hari Raya dari Singapura yang membangkitkan keinsafan!
Next articleAwas Wanita! Jaga-jaga jangan sampai kolesterol tinggi (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here