Oleh : Asmat Fikri
Seperti kita maklum, musim Hari Raya Aidiladha ini, tentunya setiap rumah mempunyai bekalan daging korban melebihi hari-hari biasa. Malah ramai yang berkongsi di media sosial, menu paling popular sekurang-kurangnya dalam masa sebulan ini tentunya berasaskan daging. Bercerita tentang daging, perkara paling berkait rapat adalah kolesterol. Ibarat isi dan kuku, dekatnya mereka dan bakal ‘mengganas’ jika berlebih-lebihan makan daging merah.
Walau bagaimanapun, terdapat banyak punca lain selain pemakanan yang boleh menyebabkan kolesterol tinggi terutama pada kaum wanita. Untuk kaum hawa, awas! Tinjauan Kebangsaan Kesihatan & Mobirditi 2019 yang dikeluarkan Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati empat daripada 10 orang atau kira-kira lapan juta orang dewasa di negara ini mempunyai tahap kolesterol yang tinggi.
Maka, berhati-hati dalam pemilihan makanan dan juga amalan gaya hidup kerana masalah kolesterol tinggi ini boleh memudaratkan dan menyebabkan komplikasi yang lebih teruk.
Kolesterol tinggi atau dikenali juga sebagai hiperkolesterolemia, adalah keadaan di mana terdapat peningkatan kolesterol dalam darah. Kolesterol adalah sejenis lemak yang diperlukan oleh tubuh untuk membina sel dan menghasilkan hormon. Terdapat tiga jenis kolesterol dalam badan yang perlu kita tahu iaitu :-
1. Low Density Lipoprotein (LDL): Kolesterol jahat. Boleh menyebabkan salur darah tersumbat. LDL yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.
2. High Density Lipoprotein (HDL): Kolesterol baik. Boleh membantu menurunkan LDL di dalam salur darah. Wanita memiliki paras HDL lebih tinggi berbanding lelaki. Paras HDL wanita serta risiko penyakit jantung menjadi sama setelah menopaus.
3. Tryglicerides (TG): Lemak di dalam darah. Sumber tenaga yang tidak digunakan. TG yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok.

Menurut laman Hello Doktor, terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kolesterol kaum wanita menjadi tinggi. Faktor-faktor itu adalah:-
• Pemakanan: Makanan yang kaya dengan lemak tepu dan lemak trans adalah antara punca utama kolesterol tinggi. Makanan seperti daging merah, produk tenusu penuh lemak dan makanan yang digoreng dalam minyak yang tidak sihat boleh meningkatkan tahap kolesterol dalam darah
• Kurang aktiviti fizikal: Kurangnya senaman boleh menyebabkan penurunan kolesterol baik (HDL) dan peningkatan kolesterol jahat (LDL). Aktiviti fizikal yang kerap boleh membantu meningkatkan tahap HDL dan mengurangkan LDL
• Berat badan berlebihan: Kegemukan atau obesiti adalah faktor risiko utama untuk kolesterol tinggi. Memiliki indeks jisim badan (BMI) yang tinggi boleh meningkatkan risiko kolesterol tinggi dan penyakit lain seperti diabetes
• Merokok: Bahan kimia dalam rokok boleh merosakkan dinding arteri, menjadikannya lebih mudah untuk kolesterol melekat dan menyumbatkan arteri. Ini boleh meningkatkan risiko penyakit jantung
• Faktor genetik: Kolesterol tinggi boleh diwarisi. Jika ada ahli keluarga yang mempunyai kolesterol tinggi, risiko seseorang untuk mengalami keadaan yang sama adalah lebih tinggi
• Penyakit-penyakit tertentu: Beberapa penyakit seperti diabetes dan hipotiroidisme boleh meningkatkan risiko kolesterol tinggi
• Ubat-ubatan tertentu: Sesetengah ubat seperti pil perancang kehamilan atau ubat-ubatan tertentu untuk tekanan darah tinggi juga boleh meningkatkan tahap kolesterol

Seperti penyakit lain, kolesterol tinggi juga mempunyai tanda-tanda yang mungkin kerap dialami oleh penghidap. Namun begitu, bagi mengesan dan mengetahui bacaan kolesterol, ianya perlu disahkan melalui ujian darah. Bila dan berapa kerap ujian darah yang perlu dibuat bergantung kepada faktor umur, penyakit yang dihidapi dan juga faktor keluarga (genetik).
Selain ujian darah, mungkin tanda-tanda ini boleh menjadi ‘sign’ atau petunjuk kepada wanita untuk mendapatkan rawatan susulan ekoran kolesterol dalam badan tinggi. Tanda-tanda itu adalah seperti berikut:
– Tompok-tompok kuning pada mata (xanthelasmas) dan kulit (xanthomas)
– Sakit dada – terasa seperti ditekan, dihempap, dicucuk benda tajam dan panas
– Sakit di tangan, rahang, bahu ataupun belakang badan
– Rasa mual dan muntah
– Sesak nafas, berpeluh dan pening
– Sakit jari kaki dan kekejangan kaki- Sakit kejang pada kaki, betis, peha atau punggung selepas aktiviti seperti berjalan, bersenam, menaiki tangga dan sebagainya.
– Bengkak pada kaki dan pergelangan tangan. Ia berlaku akibat penumpukan cecair kerana jantung tidak dapat memproses darah dengan berkesan. Bengkak ini mungkin disertai dengan rasa letih dan boleh menjadi lebih teruk pada waktu malam.
Justeru, jika ada dalam kalangan kalian atau orang terdekat yang mempunyai tanda-tanda seperti yang dinyatakan, sangat penting untuk kalian mendapatkan rawatan atau pemeriksaan susulan di hospital. Dan harus diingat jaga pemakanan, kesihatan, serta amalkan gaya hidup yang sihat agar kita semua selamat dari sebarang penyakit yang berbahaya. Mudah-mudahan. Aamiin.
# Ikuti sambungan bahagian 2 bagaimana mengawal kolesterol berbahaya ini kepada tubuh badan terutamanya bagi kaum wanita.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.