Oleh : Syed Wafa
Bagi anda peminat filem pendek jangan lepaskan peluang menonton Qari. Sebuah cerita yang padat dengan teladan dan mengisahkan kehidupan masyarakat Islam di Sinagpura.
Menariknya, Qari kelihatan seperti sebuah filem pendek yang menceritakan kenakalan seorang anak lelaki yang ingin bermain bola dan tidak berminat dalam pelajarannya. Penonton dapat melihat dari babak-babak pertama bahawa Nasir (dilakonkan oleh Hanif Shukri, seorang pelakon cilik yang juga seorang pelajar Madrasah Irsyad), seorang anak berusia 7 tahun, bukan dari keluarga berada.
Disebabkan ibunya sangat sibuk bekerja untuk menyara kehidupan mereka, Nasir banyak menghabiskan masa sendiri, bermain bola, berkhayal dan dalam dunia nya sendiri.
Ketiadaan bapanya juga menjadi tanda tanya sehingga pertandingan bola antara sekolah di mana Nasir terpaksa menghabiskan banyak masa di luar sekolah untuk latihan dan perlawanan-perlawanan itu.
Namun, perjalanan babak ke babak ceritanya mengupas lebih mendalam, penonton dapat melihat bahawa filem ini sebenarnya mempunyai sisi yang lebih gelap apabila ibu Nasir yang dilakonkan oleh pelakon, pengacara, usahawan dan pendidik hebat iaitu Marina Yusoff berdalih kepada guru bola Nasir, Cikgu Supri yang dilakonkan oleh pelakon popular Sani Hussin tentang bapa Nasir dan apabila Cikgu Supri memujuknya untuk menghantar Nasir ke kelas Al Qur’an.
Di sini juga, setelah menontn lebih lama barulah penonton akan melihat dengan lebih ketara tema pengorbanan dan kesengsaraan yang dilalui ibu dan ayah Nasir terutama sekali yang dirasakan pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha di mana mereka tidak seperti orang lain yang semua bergembira dan meluangkan masa bersama insan yang tersayang.
Filem ini dihasilkan oleh Indestructible Project, bersama pengarah berbakat Singapura Lee R. yang juga penulis lakon layar filem pendek ini.
Qari merupakan filem bahasa Melayu yang pertama selepas 6 filem dalam bahasa Cina dan Inggeris antaranya Xiao Ning, Ji Fan dan Hui Lai.
Selama lebih 10 tahun beliau berkecimpung dalam pembikinan filem independent. Lantas, jelas bahawa Qari tidak lari jauh dari “signature” Lee R. yang memang gemar membuat filem-filem perayaan seperti Tahun Baru Cina (Chinese New Year) setiap tahun, yang bertemakan penyatuan (“reunion”) serta yang mempunyai komentar sosial yang lebih mendalam.
Sebagai sebuah komentar sosial, Qari adalah realiti yang dihadapi ramai anak-anak yang senasib dengan Nasir dan juga realiti ibu bapanya, bagaimana setiap daripada mereka terpaksa merempah dugaan dalam melawan arus untuk menegakkan kebenaran hakiki dan menjalani hidup yang sangat mencabar setelah difitnah dan dianiaya.
Ia juga banyak membuat penonton tertanya-tanya dan mungkin memikirkan isu-isu lebih berat yang tersirat. Untuk jawapanya penonton mesti menonton filem pendek Qari ini.
Qari juga mempunyai banyak unsur ketuhanan di dalam “sub-text” nya, misalnya reference pada maksud di dalam cerita Surah Yusuf yang berulang. Penonton yang lebih peka mungkin akan dapat menghuraikan maksud kaitan Surah Yusuf dengan situasi bapa Nasir itu.
Lagu yang digubah khas oleh Indestructible Project sebagai lagu tema filem Qari ini yang bertajuk “Terpisah” dan dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Zizi Kirana. Lagu ini juga mempunyai lirik yang sangat syahdu dan mendalam yang amat bersesuaian dengan kerancakan melodi rap Arab lagu itu, dan mengisahkan keperitan mereka yang terpisah dari cinta hakiki di hari mulia. Antara barisan lirik,
“Tangan dan kaki bergaris, bergari… menanti darjat dipertinggi.”
Cerita Qari ini pada dasarnya memang sesuai untuk tontonan semua peringkat umur terutama sekali anak-anak kecil kerana mempunyai pengajaran yang baik, dan pihak penerbit sangat tertarik untuk menonton filem-filem Indestructible Project yang di bawah pengarah Lee R. ini selanjutnya.
Bagi menyokong kerja-kerja meningkatkan kesedaran isu-isu sosial yang dilakukan oleh Indestructible Project, sila ke Instagram mereka @indestructibleproject atau www.indestructibletour.com . Indestructible Project juga giat menjalankan “corporate training” untuk syarikat-syarikat MNC dan Bumiputra besar yang ingin mendapatkan pelatih-pelatih professional berkaliber tinggi dan pakar motivasi berkelulusan akademik tinggi, yang berlandaskan isu-isu sosial dan kerja-kerja amal sebegini.
Manakala lagu “Terpisah” oleh Zizi Kirana boleh didengari di media sosial seperti Spotify dan Youtube:
https://youtu.be/v2nt189u4SM?si=V7pjhlgi2TrG9GdW
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.