Oleh: Wawa Najwa
SEJAK dimuat naik di semua platform digital pada 17 Mei lalu hingga kini, lagu ‘OMK (Oh My Kadhale)’ dendangan Ezra Kairo dan Zubir Khan telah berjaya mencecah tontonan melebihi dua juta.
Lagu gabungan genre muzik Melayu dan Tamil yang dihasilkan oleh Ezra Kairo dengan kerjasama Zubir Khan dan Mingaling sebagai komposer, lagu tersebut trending nombor satu di carta muzik video YouTube dan kelapan dalam carta Recording Industry Malaysia (RIM) untuk lagu Bahasa Melayu paling banyak distrim/ dimainkan.
Malah lagu tersebut juga mendapat lebih 400,000 pendengar di Spotify. Lagu ini mengisahkan kisah seorang lelaki yang sangat mencintai wanitanya dan berusaha untuk membuatnya bahagia.
Ezra Kairo berkata, dia sangat gembira kerana hasil karyanya bersama Zubir Khan dan Mingaling mendapat perhatian ramai.
“Saya sangat gembira dengan respons rakyat Malaysia terhadap lagu ‘OMK (Oh My Kadhale)’. Lagu ini ditulis dalam bahasa Tamil dan Melayu.
“Saya bangga dapat menyampaikan lagu yang menyatukan orang dari pelbagai kaum,” kata Ezra Kairo yang sebelum ini pernah tampil dengan lagu-lagu seperti ‘Anak Helang’ dan ‘Kinrara’.
Sementara itu, Zubir Khan yang popular dengan lagu ‘Yennode Macha’ dan ‘Per Yenne Solle’ berkata, lagu ‘OMK (Oh My Kadhale)’ adalah salah satu lagu gabungan Melayu dan Tamil yang berjaya masuk carta muzik Malaysia.
“Tak sangka lagu itu menerima sambutan hangat dari rakyat Melayu dan India, menjadikannya lebih istimewa. Semoga ia dapat menyatukan kita dari pelbagai latar belakang,” harapnya.
Manakala Ketua EMI Music, Adib Hamdi berkata, selepas setahun pelancaran semula, pihak mereka telah mencapai beberapa kejayaan kecil yang menyumbang kepada visi strategik yang lebih besar.
Katanya, pencapaian awal ini dijangka membuka jalan untuk kejayaan yang lebih besar pada masa depan.
“Selepas ‘OMK (Oh My Kadhale),’ EMI akan berada dalam kedudukan yang lebih baik, kami yakin pencapaian awal ini akan mendorong lebih banyak kejayaan, membawa EMI ke arah menjadi peneraju pasaran dalam masa terdekat.
“Pada era moden ini, EMI telah dilancarkan semula dengan artis-artis berbakat seperti Ezra Kairo, Irfan Haris dan Nuha Bahrin. Tidak lupa sejarah artis terkenal yang pernah berkaitan dengan EMI,” ujarnya.
EMI Music terlibat dalam rakaman, pengeluaran, dan pengedaran muzik pelbagai genre, menjadikannya pemain utama dalam industri muzik tempatan di Malaysia. Pencarian bakat, promosi muzik, dan pengedaran melalui platform digital dan fizikal adalah antara operasi mereka.
Selain itu, EMI Music juga bertujuan untuk membawa muzik yang pelbagai kepada penonton Malaysia dengan bekerjasama dengan artis tempatan dan antarabangsa.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.