Mila Jirin kongsi kisah kehidupan lalu dalam drama pendek 'Kakak' sebagai inspirasi.

Oleh: Wawa Najwa

RAMAI yang kagum melihat kejayaan bekas juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin, kerana berjaya menjadi seorang usahawan berkaitan katering dan pengurusan perkahwinan.

Dalam tempoh beberapa tahun saja, syarikat miliknya, Bizmilla Wedding Centre yang mula beroperasi pada 2013, kini memiliki kira-kira 18 dewan jamuan dan 250 pekerja mengendalikan premis tersebut.

Meskipun sudah mampu meletak diri sebagai usahawnita berjaya, Mila atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 37, tidak pernah mendabik dada. Sebaliknya, artis kelahiran Pulau Pinang itu sentiasa ingat asal usulnya.

Cerita pendek ‘Kakak’ ditulis oleh Mila dan diterbitkan olehh pasukan media dari Bizmilla .

Justeru itulah Mila mahu berkongsi kisah perjalanannya dengan orang ramai agar dapat dijadikan inspirasi kepada mereka yang pernah menjalani kehidupan sepertinya sebelum ini.

Mila yang merupakan isteri kepada Ahmad Ailis Mohamed Mustapha dan ibu kepada Mohd Arif Zikri tidak malu untuk berkongsi kisah kehidupan keluarganya begitu daif suatu ketika dahulu.

“Keluarga saya sangat daif dahulu. Ayah tak ada kerja tetap, sebelum ini hanya kerja kampung di siang hari dan malam ayah main muzik. Ayah kerja macam-macam termasuk kerja kampung, main muzik, melukis dan cari barangan terpakai untuk dijual semula.

“Mak pula kerja kilang. Hidup susah adalah perkara normal yang saya lalui. Makan nasi dengan minyak ikan itu biasa, makan nasi dengan air garam itu biasa. Teman ayah menjala ikan di laut tengah malam dan tunggu dalam gelap di pantai.

“Rumah tanpa elektrik hanya lampu gaselin menemani kami. Bumbung rumah bocor bila hujan lebat mesti penuh dalam rumah dengan baldi atau periuk. Sebagai kakak sulung waktu itu dah boleh berfikir dan menyaksikan pengorbanan mak ayah dalam membesarkan kami adik beradik,” cerita Mila.

Sebagai anak sulung, Mila memikul tanggungjawab menjadi ketua keluarga.

Melihat kesusahan dialami keluarga, Mila yang ketika itu sudah menginjak usia 19 tahun bertekad mahu mencari jalan keluar termasuk mengambil penuh tanggungjawab sebagai anak sulung demi mengubah nasib dirinya bersama keluarga.

Mila berkata, sebagai anak sulung, dia sanggup berkorban apa sahaja demi membantu memberi kehidupan yang lebih baik buat keluarganya.

“Saya korban apa sahaja untuk keluarga dan alhamdulillah di usia 19 tahun saya sudah menggalas tanggungjawab menjaga mak ayah dan adik-adik serta menjadi ketua keluarga. Saya minta mak ayah berhenti kerja.

“Sebenarnya, bila sekarang ini saya lihat semula, setiap apa ujian yang Allah berikan buat kami sekeluarga adalah untuk membuatkan kami jadi lebih kuat, membuatkan saya jadi kuat untuk berjuang.

“Waktu susah, hinaan dari orang sekeliling itu adalah perkara biasa yang kami terima, tetapi kata-kata hinaan itulah yang membuatkan saya memberontak untuk keluarkan keluarga dari kesusahan.

“Ketika usia saya 21 tahun, dengan izin Allah, saya dapat tunaikan janji dengan diri sendiri untuk hadiahkan sebuah rumah kepada mak ayah dan adik-beradik,” katanya.

Dalam drama ini ibu bapa dan adik Mila serta anak saudaranya turut berlakon.

Lantaran itu, Mila mahu mengabadikan kisah berkenaan menerusi cerita pendek berjudul ‘Kakak’ yang juga karya istimewa sempena Hari Raya Aidiladha dan ditayangkan di semua platform media sosial Bizmilla Wedding Centre dan Mila Jirin pada 16 Jun 2024, jam 8 malam.

‘Kakak’ adalah sebuah cerita tentang pengorbanan seorang kakak yang menyaksikan kesukaran mak dan ayah dalam membesarkan anak-anak dan mencari rezeki demi keluarga.

Kisah ini menceritakan pengalaman sebenar hidup Mila sebagai kakak sulung yang memahami kesukaran ibu bapanya dan disebabkan itu beliau membuat keputusan besar dalam hidup walaupun ia amat sedih.

Dengan keputusan itu, dia tetap berkorban demi membantu keluarga mencari rezeki bersama ibu bapanya dalam membesarkan adik-beradik.

“Tujuan utama penghasilan cerita pendek ‘Kakak’ adalah untuk memberi inspirasi kepada semua bahawa di sebalik setiap kesulitan pasti ada kemudahan.

“Kesulitan yang kita hadapi adalah yang mengajar kita erti kehidupan sebenar dan menjadikan kita lebih kuat dan bersemangat untuk berjaya,” jelas Mila.

 

Mila harap kisahnya itu dapat memberi suntikan semangat kepada orang yang menonton.

Cerita pendek itu ditulis oleh Mila dan diterbitkan pasukan media dari Bizmilla sebagai karya istimewa sempena Aidil Adha selain diarahkan oleh Wan Ahmad Adlan serta dibantu oleh Hayati Hashim.

Mila juga meluahkan rasa gembira kerana ibu (Reena Haron) serta bapanya (Jirin) dan adik (Effa Jirin) serta anak buah beliau (Suffiya) turut bersetuju untuk bersama-sama dalam menjayakan penggambaran ini. Dengan penglibatan mereka, ia telah memberikan kesan yang lebih mendalam kepada penghayatan serta penyampaian cerita ini.

“Kami berharap sedikit input dari cerita pendek tentang kehidupan kami ini dapat memberikan suntikan semangat terutama kepada mereka yang sedang diuji Allah dengan kesempitan kehidupan, masalah kewangan, dan dalam perjuangan membesarkan anak-anak.

“Perkara penting yang saya pelajari dalam kehidupan saya adalah ‘Milik kita manusia adalah usaha, hasil dan keputusan adalah milik Allah’ kerana Allah maha tahu yang terbaik buat hamba-Nya,” tambah Mila.

Previous articleKemeriahan Majlis Konvokesyen Pertanian Kali Ke-12
Next articleOMK (Oh My Kadhale)’ dendangan Ezra Kairo, Zubir Khan dapat sambutan hangat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here