Oleh : Nafsiah Jani
Selain menyedapkan masakan, buah tomato juga mempunyai banyak khasiat dan kebaikan untuk kesihatan, kecantikan dalaman serta luaran seseorang. Selain dimasak, tomato juga boleh dimakan mentah dan dibuat jus.
Tak kira bagaimana anda mengambil tomato ini, tanpa sedar anda sedang memberikan tubuh sumber makanan yang kaya dengan khasiat. Dengan nama saintifiknya, Lycopersicon esculetum, tomato merupakah sayuran yang sangat popular dalam sajian makanan Itali.
Sebiji tomato membekalkan 40% daripada keperluan vitamin C dalam badan kita. Vitamin A yang yang terdapat dalam tomato sangat penting untuk tubuh, sistem imun badan, kulit dan penglihatan. Tomato juga kaya dengan antioksidan yang merupakan sumber terbaik vitamin C, potasium, folate dan vitamin K yang bagus untuk tulang anda.
Lapisan merah yang terdapat pada kulit tomato mengandungi sejenis bahan yang dipanggil likopena. Ia adalah rahsia yang membuat tomato sangat luar biasa. Bahan ini mempunyai pelbagai kebaikan khasiat antioksida semula jadi yang baik untuk kesihatan badan.
Tomato juga kaya dengan potasium yang dapat memberikan kelembapan kepada kulit wajah.
Menurut kajian Universiti Newcastle dan Universiti Manchester dan telah disiarkan oleh British Society for Investigation Dermatology, tomato mampu memberi kesan yang baik kepada kulit kerana ia dapat melicinkan kulit, wajah bersih dan tegang kerana ia sebenarnya adalah sumber vitamin A, vitamin C dan vitamin E (jika dimakan mentah).
Inginkan kulit wajah yang cantik, halus dan berseri. Untuk itu, amalkan menggunakan tomato segar bagi penjagaan wajah. Selain murah, tomato segar lebih baik berbanding produk-produk penjagaan wajah yang mempunyai bahan kimia berbahaya.
Di sini kami paparkan kebaikan yang boleh didapati apabila menggunakan buah tomato dalam kehidupan sehari-hari.
1. Tomato boleh dijadikan skrub pembersih untuk menanggalkan sel-sel kulit mati di muka. Hancurkan tomato dan campurkan dengan sedikit gula pasir kerana enzim dalam tomato mampu menyingkirkan kekotoran di wajah dan badan. Biarkan selama 20 minit dan bersihkan muka dengan air suam Amalkannya dua kali seminggu kerana skrub semulajadi ini dapat membantu mencerahkan kulit yang kusam dan tidak bermaya.
2. Mereka yang ingin menurunkan berat badan, eloklah amalkan minum jus tomato setiap hari. Minum jus ini 15 minit sebelum sarapan. Selain menyingkirkan lemak dalam badan, jus ini membuat kita kenyang sepanjang hari.
3. Tomato juga dapat menyerap lebihan minyak di kulit muka serta menyejukkan kulit. Dengan hanya menyapu buah tomato, jerawat di muka akan mengecut dan membuatkan kulit muka menjadi licin dan berseri. Selain itu, ia juga membantu mengurangkan dan memudarkan bitnik hitam di wajah. Potong tomato kepada dua bahagian dan ambil separuh dan sapu pada wajah yang bermasalah.
4. Mereka yang ada masalah rambut kering dan bercabang boleh amalkan cara ini bagi mengatasi masalah ini daripada berpanjangan. Hancurkan tomato atau blend bersama sedikit air sehingga menjadi jus. Kemudian lumur rambut dengan jus tomato dan balut dengan tuala selama 15-25 minit. Bilas dengan air bersih. Insya-Allah rambut kelihatan sihat, bersinar, tidak kering dan bercabang.
5. Tomato juga mampu untuk mengatasi masalah kelemumur. Hancurkan buah tomato hingga halus dan sapukan di bahagian kulit kepala. Lakukan selama 15-20 minit, kemudian bilas dengan air bersih. Lakukan dua kali seminggu, kulit kepala akan bersih dan bebas daripada masalah kelemumur.
6. Mereka yang mengalami masalah penghadaman eloklah amalkan makan tomato kerana kandungan serat dan cecair yang agak tinggi terdapat dalam tomato.
7. Tomato bagus kerana ia boleh mengurangkan risiko yang menyebabkan radikal bebas dan serangan jantung. Tomato merupakan antara sumber makanan yang mampu melawan penyakit berbahaya seperti diabetes dan kanser. Tomato mempunyai kandungan lycopne juga mampu mengurangkan risiko kanser perut, ovari dan paru-paru.
8. Kadangkala tangan kita gatal memicit jerawat hingga adanya bintik hitam di muka dan menyebabkan kawasan yang dipicit menjadi luka. Jangan risau, tomato boleh membantu kerana secawan tomato mengandungi 30 gram vitamin C. Ambil sedikit jus tomato dan sapukan pada bahagian yang luka. Vitamin C di dalamnya akan memperbaharui sel-sel kulit, menggalakkan pertumbuhan kulit baru dan membuat luka cepat kering dan sembuh.
9. Campuran tomato dan epal juga boleh digunakan bagi melicinkan kulit. Parut tomato dan epal, kemudian gosokkan perlahan-lahan pada wajah dan leher. Gelatin pada tomato boleh menghilangkan parut. Biarkan selama 20 minit dan selepas itu cuci dengan air suam.
10. Penemuan terkini yang mula ditemui sejak tahun 1998 dan disokong dengan pelbagai kajian terbaru di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan khasiat tomato untuk kaum lelaki kerana kandungan likopena di dalamnya dapat mengurangkan risiko kanser prostat. Dalam kajian tersebut, amalan memakan 10 biji tomato seminggu boleh mengurangkan risiko lelaki diserang kanser prostat sehingga 35 peratus.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.