Rossa amat disenangi peminat di Malaysia.

Oleh: Wawa Najwa

NAMA Datuk Seri Rossa atau Sri Rossa Roslaina Handiyani tak pernah pudar bagi peminatnya di Malaysia. Malah lagu “Pudar” yang dipetik dari album kelimanya, “Kembali” pada 2004, adalah antara single yang hit daripada album tersebut selain “Aku Bukan Untukmu” dan “Wanita Yang Kau Pilih”.

“Pudar” yang merupakan single kedua daripada album “Kembali” juga berjaya menjadikan Rossa, 46, lebih dikenali di Malaysia. Pada 23 Mei 2005, album ini dikeluarkan di Malaysia.

Bagi mempromosikan albumnya, Rossa turut mengadakan persembahan di Planet Hollywood Malaysia. Sembilan bulan selepas album itu dikeluarkan, ia terjual lebih daripada 800,000 salinan.

Lagu “Pudar” yang terdapat dalam album “Kembali” melonjak nama Rossa di Malaysia.

Sejak itu Malaysia sudah menjadi rumah kedua Rossa dan beliau juga sering berulang-alik ke sini kerana mendapat undangan mengadakan persembahan di istana selain di pentas terbuka.

Pada 2018 penyanyi berasal dari Sumedang, Jawa Barat, Indonesia itu dianugerahkan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) membawa gelaran Datuk Seri dalam Istiadat Majlis Pengurniaan Pingat dan Darjah Kebesaran sempena Istiadat Memuliakan Ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Bagi Rossa, anugerah yang diterima itu merupakan pemangkin dalam karier seninya di industri muzik serantau.

“Penganugerahan ini juga memberi saya tanggungjawab yang lebih besar dalam memartabatkan lagi arena muzik serantau kerana industri muzik Malaysia dan Indonesia saling mendukung antara satu sama lain,” katanya yang mula aktif dalam bidang nyanyian sejak 1995.

Malah pada tahun yang sama juga Rossa menerima Anugerah Khas dalam Anugerah Planet Muzik (APM2018) dan pingat tersebut dianggap sebagai hadiah hari lahirnya serta satu penghargaan yang tidak terhingga sepanjang 21 tahun berkecimpung dalam industri seni.

Rossa menyanyikan lagu “Hati Yang Kau Sakiti” dalam versi bahasa Korea dan Lee Dong Hae (kanan) muncul dalam video muzik tersebut.

Rossa yang popular dengan lagu-lagu seperti “Atas Nama Cinta”, “Ayat-Ayat Cinta”, “Hati Yang Kau Sakiti”, “Hey! Ladies” dan “Aku Bukanlah Untukmu” itu turut digelar sebagai Ratu Konsert di Indonesia (Queen of Concert in Indonesia) kerana terlalu banyak permintaan untuk beliau menyanyi di konsert.

Selain menyanyi, Rossa juga sering diundang sebagai juri acara pencarian bakat antaranya, Indonesian Idol, X-Factor Indonesia, Rising Star Indonesia Season 3, D’Star Indonesia dan The Indonesian Next Big Star Season 2 sejak 2008 dan terkini beliau adalah juri untuk The Hardest Singing Show di Malaysia.

Media Indonesia menggelar Rossa sebagai Ratu Pop Indonesia kerana sejak 1999, albumnya bukan sekadar dikeluarkan di tanah airnya saja tapi turut dikeluarkan di Asia Tenggara dan Jepun.

Lagu dendangan Rossa juga sering diguna untuk filem atau sinetron, baik di Indonesia ataupun di luar dengan jumlah lebih 160 judul lagu tema sehingga tahun 2022. Di bawah label Trinity Optima Production, Rossa telah menjual lebih daripada 11 juta album rekod fizikal sehingga 2021.

Rossa sering menjayakan konsert di Malaysia.

Manakala album kompilasi keduanya, “The Best of Rossa” (2011) menduduki dalam senarai 10 album terlaris sepanjang zaman di Indonesia pada kedudukan kelima dengan jualan album melebihi dua juta cakera padat (CD).

Pada 2014, album Rossa berjudul “Love, Life & Music” juga berjaya memecahkan rekod jualan album tertinggi dalam sejarah muzik Indonesia iaitu terjual lebih 100,000 CD hanya dalam masa satu hari dan telah dicipta oleh Muzium Rekod Dunia Indonesia dan Industri Rakaman Persatuan Indonesia (ASIRI).

Selain meraih jualan album tinggi, Rossa juga berjaya mencipta nama sebagai artis yang memenangi banyak anugerah dari awal pembabitan sehingga 2022, iaitu lebih daripada 120 anugerah.

Rossa yang juga mesra dengan panggilanTeteh Ocha itu merupakan salah seorang penyanyi dengan jumlah anugerah terbanyak dalam sejarah muzik Indonesia.

Populariti Rossa bukan hanya di kalangan negara jiran, malah pada Februari 2019 Rossa sekali lagi mencipta sejarah baharu dengan menjadi artis Indonesia pertama dan artis solo Asia Tenggara pertama menyertai SM Entertainment.

Bersama anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan.

Label dan pengurusan antarabangsa dari Korea Selatan yang mengendalikan artis terkenal seperti BoA, Super Junior, Girls’ Generation, Super-M, EXO, NCT, Red Velvet, Aespa dan ramai lagi.

Malah Rossa juga telah merakam semula lagu popularnya, “Hati Yang Kau Sakiti” versi bahasa Korea yang berjudul “Sangcheo Badeun Maeum” atau “The Heart You Hurt” dan mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Idea untuk menghasilkan lagu tersebut dalam versi Korea sewaktu penularan wabak Covid-19, di mana orang ramai tidak dapat keluar dan perlu duduk di rumah.

“Apabila tidak dapat keluar untuk bekerja, saya banyak menonton drama Korea dan salah satu yang menarik perhatian saya adalah drama “The World of The Married”.

“Jalan cerita itu mengingatkan saya tentang lagu “Hati Yang Kau Sakiti” dan dari situlah timbul idea untuk menghasilkan lagu tersebut,” jelasnya dengan bantuan seorang rakan untuk menterjemahkan lirik lagu asal ke dalam bahasa Korea.

Untuk video muzik lagu tersebut Rossa bergandingan dengan salah seorang anggota kumpulan Super Junior iaitu Lee Dong Hae. Ternyata Lee Dong Hae teruja apabila dapat bekerjasama dengan Rossa dalam video muzik tersebut.

Sering dikaitkan menjalin hubungan cinta dengan Afgan.

Bakal bertemu peminat di Johor Bahru

Rossa yang sudah acap kali mengadakan konsert solo ataupun gandingan dengan artis lain di Malaysia, kini bakal tampil bersama dengan dua penyanyi terkenal tanah air iaitu Datuk Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah.

Ketiga-tiga nama besar itu akan beraksi di pentas yang sama sempena konsert Divas & Diamonds 2024 yang akan berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September nanti.

Rossa memberitahu agak lama juga beliau tidak mengadakan persembahan di Johor dan tidak sabar untuk menghibur peminatnya di sana.

“Ini merupakan pertama kali saya bersama Datuk Jamal dan Dayang Nurfaizah. Kami berempat belum pernah berkolaborasi di atas panggung yang sama. Lagipun agak lama saya tidak ada persembahan di sana, kira-kira lapan tahun sudah.

“Sudah pasti saya teruja untuk mengadakan persembahan di sana kembali. Mungkin akan ada kolaborasi yang menarik yang belum pernah kita lakukan dalam industri ini. Kalau sama Datuk Jamal saya sudah pernah mengadakan persembahan bersama tapi bersama Dayang, saya belum pernah.

“Saya rancang untuk medley beberapa lagu dan mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan seberapa banyak lagu yang boleh menerusi medley. Selain itu juga akan ada kolaborasi dan akan tanya peminat di media sosial untuk tahu lagu apa yang mereka mahu. Boleh minta lagu apa dan kami akan cuba impian anda menjadi kenyataan,” katanya yang akan diiringi oleh pemuzik dari Indonesia.

Bakal menjayakan konsert Diva & Diamond 2024 di Arena Larkin, Johor Bahru pada 7 September nanti.

Memandangkan Rossa sering mengadakan persembahan tanpa henti, beliau amat menitik berat soal makan, bersenam dan tidak pernah mengamalkan diet kerana beliau pencinta makanan.

“Kalau dirasa beratnya bertambah, saya akan cuba mengimbangi makan tapi bukan diet. Kalau dirasa naik, dikurangi, terus juga gula-gula mungkin konsumsinya berkurang. Lagipun pada usia sekarang, pasti garam sama gula dikurangkan sedikit.

“Saya seorang pencinta makanan, kalau menyanyi di luar kota, pertama yang dicari adalah makanan. Memang ada niat untuk diet tapi tak pernah jadi. Kalau terasa berat badan naik, saya akan kurangkan makan atau bersukan,” kata Rossa tentang penjagaan kesihatannya.

Selain menjaga stamina diri, Rossa juga amat mementingkan soal rawatan muka tapi beliau bukan jenis wanita yang suka ke salon.

“Jika orang lain kerap ke salon untuk melakukan rawatan wajah, saya pula lebih senang melakukan perawatan di rumah saja, sesekali saja ke salon. Rutin harian di rumah, membersihkan muka itu harus walaupun rasa penat,” katanya yang merupakan ibu kepada Rizky Langit Ramadhan, 18 tahun.

Rossa yang mendirikan rumah tangga dengan Surendro Prasetyo atau Yoyo, anggota band Padi pada 18 Mac 2004 dan bercerai pada 14 Julai 2009 sering dikaitkan bercinta dengan penyanyi Afgan atau Afgansyah Reza.

Namun kisah cinta mereka itu dikatakan sudah berakhir dan hingga kini Rossa dan Afgan masih lagi berhubungan sebagai rakan artis.

Previous articleKhasiat dan kebaikan buah tomato
Next article“Wafa tolong pujuk Huzz,” Kak Pah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here