Oleh : Asmat Fikri
SLE biasanya menyerang wanita dalam lingkungan usia reproduktif. Kemajuan dalam rawatan SLE telah meningkatkan tahap kesihatan para wanita ini. Oleh kerana ini, kehamilan di kalangan wanita yang menghidap SLE kini menjadi perkara biasa dan secara amnya tidak bermasalah.
Walau bagaimanapun, kehamilan di kalangan wanita yang menghidap SLE masih dikaitkan dengan kadar morbiditi dan kematian ibu dan janin yang lebih tinggi. Untuk memastikan kehamilan tidak bermasalah, anda memerlukan pengawasan yang rapi oleh pakar dari pelbagai disiplin, termasuk pakar rheumatologi dan pakar obstetrik.
Wanita SLE tidak ditegah daripada mengandung, tetapi semua kehamilan perlulah dirancang dan dibincang bersama pakar rheumatologi dan pakar lain yang menjaga penyakit anda (contohnya pakar nefrologi atau kardiologi). Sebelum merancang mengandung berbincang dengan pakar anda mengenai keinginan anda kerana doktor perlu memastikan bahawa anda berada dalam tahap kesihatan yang optimum untuk mengandung. Anda perlu memberitahu doktor anda sebaik sahaja anda disahkan mengandung. Para doktor akan membantu anda sepanjang waktu kehamilan.
Amat mustahak bagi seseorang pesakit SLE yang hamil berada di bawah jagaan doktor semasa kehamilannya. Besar kemungkinan penyakit menjadi aktif bagi pesakit SLE yang hamil berbanding yang tidak hamil. Keadaan ini berlaku terutamanya semasa trimester kedua dan ketiga. Ia juga paling kerap berlaku selepas kelahiran bayi.
Ini berlaku disebabkan oleh perubahan pada tahap hormon semasa kehamilan, iaitu pertambahan pada tahap estrogen. Oleh sebab itu, rawatan segera adalah penting untuk menjaga kesihatan si ibu. Biasanya, keradangan buah pinggang lebih kerap berlaku sementara sakit sendi berkurangan.
Risiko SLE Ketika hamil
Wanita yang sedang menghidap SLE dan mengandung dalam masa yang sama mempunyai beberapa risiko. Antara risiko adalah:-
– Risiko ‘pre-eclampsia’, lahir bayi pra-matang, keguguran dan bayi yang tidak membesar dengan elok dalam kandungan. ‘Pre-eclampsia’ ialah keadaan tekanan darah yang tinggi yang dihidapi oleh wanita semasa mengandung. Risiko ‘pre-eclampsia’ dalam wanita yang menghidapi SLE ialah 1 dalam 5 kehamilan.
– Risiko dapat gejala darah beku (thrombosis), keguguran, ‘pre-eclampsia’ dan kerencatan tumbesaran bayi dalam kandungan. Anda akan diberikan ubat yang khusus seperti aspirin dan heparin untuk mengurangkan risiko mendapat komplikasi ini sekiranya antibodi-antibodi tersebut dikesan hadir dalam darah anda.
– Janin yang terdedah kepada antibodi anti-Ro dan anti-La mengalami masalah ‘neonatal lupus syndrome’ selepas kelahiran. Bayi boleh mendapat ruam kulit yang menyerupai ruam kulit SLE dalam orang dewasa, atau mengalami masalah kadar denyutan jantung yang perlahan.
Malah terdapat beberapa fakta penghidap SLE dan wanita mengandung yang mungkin boleh membantu anda. Fakta-fakta yang harus diambil kira adalah:
• Wanita yang mengidap SLE mempunyai kadar keguguran serta kelahiran tidak cukup bulan yang lebih tinggi berbanding dengan orang ramai
• Wanita yang mempunyai antibodi antifosfolipid (Antiphospholipid syndrome) mempunyai risiko keguguran yang lebih semasa trimester kedua disebabkan pembekuan darah yang lebih tinggi di dalam uri
• Pesakit SLE yang mempunyai sejarah penyakit buah pinggang mempunyai risiko yang lebih tinggi mengalami pra-eklampsia (tekanan darah tinggi akibat pertambahan cecair berlebihan dalam sel-sel tisu dalam badan)
• Wanita hamil yang mengidap SLE, terutamanya mereka yang mengambil kortikosteroid, juga bekemungkinan mendapat tekanan darah tinggi, kencing manis, serta komplikasi buah pinggang. Oleh yang demikian, rawatan susulan dan pemakanan yang baik semasa kehamilan amat perlu
• Adalah dinasihatkan untuk melahirkan bayi di institusi kesihatan yang mempunyai kelengkapan rawatan rapi bagi bayi (sekiranya bayi mengalami apa-apa masalah)
Rawatan SLE untuk ibu hamil
Berikut dikongsikan antara ubat-ubatan yang boleh digunakan semasa kehamilan bagi penghidap sakit SLE. Antaranya adalah:-
• Aspirin atau ubat anti-radang yang tidak mengandungi steroid (NSAIDs), yang digunakan untuk melegakan sakit sendi atau otot. NSAIDs selain daripada aspirin harus dielakkan semasa trimester ketiga.
• Ubat anti-malaria seperti Plaquenil adalah berguna untuk mereka yang mengalami penyakit kulit dan sendi.
• Prednisolone pada dos yang rendah. Oleh kerana kehamilan hanya dirancang semasa penyakit terkawal, kebanyakan pesakit telah pun mengambil prednisolone pada dos yang rendah apabila mereka hamil. Oleh kerana terdapat risiko seperti kencing manis dan darah tinggi, para doktor perlu memastikan pesakit mengambil prednisolone tidak lebih daripada 10mg sehari.
Jika penyakit SLE menjadi aktif, methylprednisolone boleh digunakan secara intravena(drip). Cyclophosphamide harus dielakkan kerana kaitannya dengan kecacatan kelahiran.
Penutup
Bagi ibu hamil yang menghidap SLE, usah khuatir kerana kandungan anda tidak semestinya berisiko. Pastikan buat pemeriksaan dan dapatkan rawatan di hospital sepanjang kehamilan itu berlangsung. Komplikasi yang dialami ibu biasanya lebih berkaitan dengan kehamilan dan bukannya penyakit SLE. Samada melahirkan bayi atau menjalani pembedahan adalah satu keputusan obstetrik. Isu-isu yang khusus kepada SLE jarang menentukan cara bayi dilahirkan, walaupun ianya boleh meningkatkan kesegeraan untuk pembedahan.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.