Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Ellie Suriaty/Koleksi Syed Wafa
KEMUNCULANNYA dalam filem Memoir Seorang Guru tak banyak adegan namun penampilan sekejap aktres Ellie Suriaty Omar dalam filem arahan Kyoll Hamzah tetap memberi impak.
Berlakon sebagai ibu kepada Alias, lakonan Ellie menyentuh naluri kaum wanita terutamanya yang bergelar ibu apabila sanggup bersusah payah menyediakan wang yang dipinta oleh anak.
Ellie, 53, selain berlakon dalam filem yang menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 30 Mei ini bukan sekadar berlakon tapi juga bertindak sebagai tenaga pengajar kepada barisan pelakon kanak-kanak dalam filem terbitan produksi Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd., (KAHSB) yang menjalin kerjasama dengan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu.
Filem Memoir Seorang Guru yang diadaptasi daripada karya novelis terkenal, Allahyarham Azizi Abdullah itu menjalani penggambaran selama 22 hari di Perlis dan Kuala Kangsar, Perak.
Kredibiliti Ellie sebagai guru lakonan tidak perlu dipertikai kerana sebelum ini Ellie pernah dilantik sebagai tenaga pengajar Akademi Fantasia 2016 (AF2016) dan memikul tanggungjawab selaku Guru Seni Persembahan.
Anak keempat daripada lima beradik itu memulakan langkahnya dalam bidang seni lakon pada 1998 menerusi drama berjudul Mastura.
Setahun kemudian beliau mendapat peluang berlakon dalam filem Hollywood, Anna and the King (1999) sebagai Wanita Mahkamah No.2.
Lain-lain filem lakonan Ellie adalah Spinning Gasing, Embun, Syukur 21, Soalnya Siapa yang melayakkan beliau diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-16 serta banyak lagi filem lakonannya.
Bukan setakat memenangi anugerah kerana lakonan, malah kebolehan Ellie sebagai pengarah juga dihargai. Pada Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM 26) Ellie dipilih sebagai pemenang untuk kategori Pengarah Harapan menerusi filem pertama arahannya iaitu Penanggal.
Pada tahun ini selain Memoir Seorang Guru, Ellie juga bakal muncul dalam filem Selaga Suriram menerusi watak Mak Tijah. Sementara untuk filem Saadiah: Bekal Kasih Merdeka, Ellie bertindak sebagai pengarah dan penulis skrip.
Selain filem, drama lakonan Ellie yang pasti membuatkan penonton tidak lupa adalah wataknya sebagai Pah Bedah dalam drama Orang Gaji 41 terbitan Enuja Productions yang disiarkan di TV3 pada 2003.
Kesibukannya sebagai pengarah atau guru lakonan tidak menghalang Ellie untuk terus aktif sebagai pelakon dan drama lakonannya yang ditayangkan di TV Mac lalu adalah Restu Untuk Mila.
Sebelum bergelar anak seni, Ellie sering terbang di awan biru kerana beliau merupakan bekas pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines dari tahun 1991 sehingga 1997.
Ellie yang merupakan ibu tunggal kepada Azrell Omar, 19 dan Nur Azreen, 15, walaupun sudah bercerai dengan Azri Iskandar pada 17 Mei 2022 selepas 19 tahun hidup bersama tetap berkawan baik dengan bekas suaminya itu.
Jarang untuk seorang bekas isteri tampil mengurus majlis perkahwinan bekas suami tapi itulah yang dilakukan oleh Ellie. Seperti yang diberitahu Ellie kepada sebuah program hiburan, beliau tidak ada niat untuk kembali semula dengan bekas suami namun masih mahu Azri kekal dalam kehidupannya.
“Sebelum ini kami pernah hidup bersama, jadi apa salahnya kalau kami terus bersaudara. Saya anggap dia sebagai sebahagian daripada kehidupan saya dan anak-anak.
“Siapa saya untuk membenci dia kerana dia adalah bapa kepada anak-anak saya. Jalan mudah adalah dengan berbaik-baik dengan dia. Lagipun, dia bakal ada suri hidup baharu tidak lama lagi iaitu Datuk Noora Kay.
“Mana tahu kalau saya ada jodoh dengan orang lain, saya juga mahu dia terlibat dan akrab dengan teman lelaki saya pada masa akan datang. Saya cakap ni supaya jangan fikir saya akan balik semula dengan Azri. Kita perlu hormat ruang masing-masing,” katanya telus.
Meskipun bahtera rumah tangga yang dibina tidak berpanjangan, Ellie tidak pernah menyesal dan anggap apa yang berlaku ada percaturan Allah yang lebih mengetahui.
Tanpa seorang suami di sisi, Ellie tetap meneruskan kehidupan dengan memberi tumpuan kepada kerja dan anak-anak.
“Saya fokus kepada anak-anak dan kerjaya. Pada saya, pentinglah kalau orang yang nak mendekati itu untuk ada keserasian. Kalau kita tak ada ‘rasa’ dekat dia, macam mana,” katanya.
Sebagai seorang individu yang jarang keluar dari rumah, Ellie akui hingga kini beliau sukar untuk mendapat pengganti.
“Saya hanya keluar rumah untuk urusan kerja. Jadi, nak jumpa orang macam mana. Untuk sekarang saya fokus anak-anak dan kerjaya,” katanya yang bersedia untuk berkahwin lagi.
Tambah Ellie, beliau suka dengan alam perkahwinan kerana padanya, dunia berumah tangga adalah suatu alam yang sangat suci.
Namun beliau tidak memaksa untuk keadaan itu berlaku semula dalam waktu terdekat ini. Ujarnya, itu semua dengan izin Allah Taala dan andai ada insan yang sudi mengetuk hatinya, beliau terbuka dan jika sebaliknya, Ellie tetap akur.
Sebagai anak seni yang serba boleh, Ellie sering mendapat tawaran berlakon mahupun mengarah. Beliau yang komited dengan setiap kerja dilakukan berharap dapat terus berkarya menghasilkan produk yang bermutu.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.