Karya Rashid Sibir sentiasa dirindui

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Rashid Sibir/Koleksi Syed Wafa

Rashid Sibir bukanlah nama baru dalam industri seni. Pengalaman berpuluh tahun dalam industri pengarahan membuat nama pengarah, penerbit dan pelakon Rashid Sibir begitu popular dikalangan pelakon kerana namanya sinonim dengan drama-drama air mata. Disebabkan itu Rashid Sibir digelar Pengarah Air Mata kerana karya-karyanya berjaya menyentuh hati penonton dengan kisah-kisah sedih dalam drama arahannya.

Disebabkan hal tersebut, ramai pelakon yang ternanti-nanti untuk berlakon dibawah pengarahan Rashid Sibir,57, atau nama sebenarnya, Abdul Rashid Sibir.

Rashid Sibir dinobatkan sebagai Pengarah Harapan atas kemenangan filem Sutera Putih di FFM ke-16 pada tahun 1997.

Dalam kesibukannya menulis skrip dan mengarah drama, namun Rashid Sibir masih berkesempatan untuk membuat program potcast, Kopi O bersama Rashid Sibir yang bersiaran setiap Sabtu dari jam 9.00 hingga 11.00 malam. Kini program tersebut dihentikan seketika disebabkan kekangan waktu dan akan disambung semula tidak lama lagi.

“Sekarang ini saya banyak habiskan masa menulis. Kalau tak ada halangan saya nak arahkan filem baru pula selepas ini. Saya nampak industri perfileman semakin mantap sekarang itu. Itu yang buat saya tertarik nak mengarah filem semula.

Laila Isabella antara filem arahan Rashid Sibir.

“Ada rezeki, saya nak buat filem bergenre agama dan action… di mana konsep seram, komedi dan muzikal digabungkan. Dalam filem ini nanti akan adanya gabungan pelakon lama dan pelakon baru, bagi memberi warna pada filem tersebut. Saya harap kehadiran saya menghasilkan filem dapat memeriahkan dan merancakkan lagi industri dunia perfileman,” kata Rashid Sibir.

Sebelum ini, filem pertama arahan Rashid iaitu Sutera Putih telah berjaya menobatkan Rashid Sibir sebagai Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-16 pada tahun 1997. Manakala dalam filem, Wanita Bertudung Hitam (1992) Rashid bertindak sebagai penolong pengarah. Antara filem yang pernah mendapat sentuhan Rashid ialah Putih (2001), Laila Isabella (2003), Cinta Luar Biasa (2004) dan Awan Dania The Movie (2013).

Tanah Kubur antara karya yang telah mengangkat nama Rashid Sibir.

Menurut Rashid Sibir anak ke 11 daripada 13 beradik ini, “Rasa nak buat filem tu dah meluap- luap sekarang ini dan saya rasa pasti peminat tertunggu buah tangan terbaru saya lagi. Ada rezeki, saya nak bagi sesuatu yang fresh. Selagi ada hayat dikandung badan, saya akan terus mengarah drama dan filem serta memberi sumbangan menerbitkan cerita-cerita masyarakat macam drama Tanah Kubur, Pondok Buruk dan Daun Ketupat Kering.

“Kebanyakan drama arahan saya banyak yang memaparkan kisah-kisah yang penuh dengan pedoman dan tauladan. Umur saya pun dah lebih separuh abad, dah lebih 30 tahun saya dalam industri seni. Boleh kata separuh hidup saya telah saya korbankan untuk dunia seni. Itu sebabnya kalau boleh saya nak tinggalkan karya-karya yang boleh beri manfaat kepada kehidupan semua masyarakat.”

Rashid Sibir bersama tropi kemenangannya sebagai Pengarah Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Pendosa Ingin Ke Syurga.

Rashid menambah lagi,“Masa mula-mula masuk dalam industri drama dan filem, saya bertekad nak membantu menaikkan taraf hidup insan-insan seni yang bermula awal daripada saya. Sebenarnya dunia seni ini menjanjikan kehidupan yang senang pada pelakon dan pengiat dibelakang tabir namun ini tidak untuk mereka yang berada di Malaysia berbanding negara luar.

“Itu sebabnya, saya cuba buat drama yang bagus-bagus supaya pelakon-pelakon dan pekerja saya dilihat terbaik… dapat memenangi mana-mana anugerah yang dipertandingkan. Namun sebaliknya berlaku, walaupun memenangi banyak mana anugerah sekalipun harga yang diberikan tetap sama. Kadang-kadang anugerah yang diterima membuatkan seseorang pelakon itu tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

Syawal Untuk Semah drama airmata arahan Rashid Sibir di pagi raya.

“Ini berbeza sekali dengan industri seni di luar negara seperti Indonesia , di mana pelakonnya semua kaya-raya dan hidup dalam kemewahan. Tapi di Malaysia lain pula ceritanya. Itu yang saya tidak faham…dimana silapnya? Saya sendiri tak dapat jawapannya.

“Hidup anak-anak seni seperti melarat. Tidak ada campur tangan kerajaan dalam menangani masalah ini. Anak-anak seni terus dibiarkan dan meninggal tanpa ada pembelaan atas pengorbanan mereka selama ini pada dunia seni tanah air. Berbanding negara luar, pengarah dan pelakon lama masih dihargai dan masih berkarya untuk drama dan filem yang diterbitkan.”

Tilam Perca antara filem arahan Rashid Sibir.

Mengenai impiannya yang masih belum kesampaian lagi, ujar Rashid lagi,“Impian saya nak menaikkan taraf kehidupan anak-anak seni. Mereka masih terima bayaran yang tidak setimpal. Namun impian itu masih lagi gagal disebabkan bayaran pihak stesyen televisyen masih ditakuk lama.

“Saya harap adalah menteri yang dapat membantu menaikkan taraf hidup anak seni yang telah lama berkorban dan berbakti bagi menceriakan hidup masyarakat. Antara yang kami minta ialah royalti drama… bila drama itu diulang tayang berulang-ulang kali macam royalti yang diterima penyanyi. Kalau ada royalti drama tentunya produser, pengarah, pelakon dan pekerja akan mendapat hak masing-masing.”

Rashid Sibir serius ketika mengarah

Rashid kini bahagia bersama isterinya, Nurul Huda Azizi,43, bersama empat orang anaknya, Ainul Mardhia Rashid, Aliff Firdaus Rashid, Iskandar Zulkarnaen Rashid dan Adam Muhammad Rashid.

Rashid sedih dengan karya drama masa kini

Pengalaman banyak mematangkan dan membuat pengarah popular, Rashid Sibir, anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini begitu berani bersuara menyatakan pandangan mengenai industri dunia lakonan sekarang ini. Persinggahan Abadi merupakan drama pertama arahan Rashid Sibir pada 1993.

Ditanya pandangannya mengenai drama-drama yang dibuat berdasarkan novel, kata Rashid Sibir, drama sekarang tidak serancak sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu.

Bidadari Kiriman Tuhan antara karya terbaik Rashid.

“Bukan saya tak suka. Tapi pada pendapat saya, sekarang ini projek televisyen banyak yang terhad dan cerita-ceritanya pula banyak yang diadaptasi daripada novel-novel berbanding cerita yang original. Berdasarkan trend semasa memang kita sedar bahawa netizen dan remaja menyukai cerita-cerita daripada novel. Walaupun plot dan storyline lebih kurang sama dan sudah diketahui kesudahannya.

“Malangnya, ada sesetengah novel tidak ada nilai-nilai pendidikan pada remaja. Malah, jalan cerita sebegini akan membuatkan remaja jadi syok sendiri kerana ia bukannya cerita sebenar dari kenyataan dan semuanya fiksyen dan rekaan semata-mata. Maka akan bertambahlah lagi masalah sosial di kalangan ⁠remaja.

Antara potcast Kopi O Bersama Rashid Sibir yang pernah dikendalikannya.

“Bila ini berterusan maka ⁠industri drama televisyen kita akan kekal ditahap lama dan tidak berkembang kerana cerita daripada novel sahaja. Bila cerita cinta remaja, pilihan pelakon sudah semestinya remaja dan orang yang sama sahaja. Manakala pelakon lama terus dipinggirkan menyebabkan mereka kehilangan mata pencarian.”

Tambah Rashid lagi, kalau boleh biarlah drama kita digabungkan jalan ceritanya daripada novel dan kisah realiti kehidupan.

Rashid (kiri sekali -baju pink ) selepas penggambaran drama, Sepi Tanpa Cinta.

“Novel sekarang banyak berkisar kisah cinta dan kalau asyik cinta-cinta, maka remaja akan lebih seronok bercinta dan lupa nilai-nilai murni kehidupan serta mudah terpengaruh. Nanti bertambah pula masalah sosial. Jadi, saya cadangkan stesyen televisyen kena banyakkan lagi penerbitan drama-drama berat berbentuk agama dan patrotik. Sedikit sebanyak remaja dan masyarakat dapat tunjuk ajar daripada drama yang membawa nilai-nilai murni sebagai pedoman.

“Kalau boleh banyakkan juga penerbitan drama kehidupan di kampung supaya remaja-remaja dapat tengok erti kehidupan sebenar. Ini tidak, kisah yang dipaparkan tentang remaja bandar. Cerita kehidupan kampung boleh dijadikan pedoman pada mereka untuk ada sifat kasih sayang adik-beradik, ibu bapa, dan sikap saling hormat- menghormati. Pada saya, drama cerita kampung sebegini dapat membentuk jati diri mereka, kalau tidak makin pupuslah masyarakat kita dan bangsa kita.

Kenangan terindah Rashid Sibir (baju biru) bersama pelakon-pelakon drama Quran Pondok Buruk.

“Begitu juga dengan pengarah lama juga patut diberikan peluang untuk terus mengarah dan berkarya kerana mereka ada ‘jiwa’ untuk dipaparkan dalam setiap drama. Pengalaman mereka juga dapat dijadikan panduan pengarah muda untuk belajar. Dengan drama yang diarahkan pengarah lama dan baru dapatlah kita melihat drama dari pelbagai perspektif yang berlainan.”

Menurut Rashid lagi,”Sekarang saya tengok, tak ada drama untuk tontonan seisi keluarga. Itu sebabnya stesyen televisyen perlu angkat semula drama-drama berat supaya dapat ditonton satu keluarga.

Rashid Sibir bersama isteri tercinta, Nurul Huda Azizi.
Keluarga bahagia Rashid Sibir

“Begitu juga dengan pembahagian slot drama dan episod kepada produser drama juga perlulah telus, adil dan saksama. Janganlah asyik orang yang sama sahaja supaya lebih ramai pelakon dan pekerja krew dibelakang tabir dapat sama-sama mencari rezeki. Begitu juga dengan keseimbangan sama rata antara pelakon muda dan tua, pengarah muda dan lama supaya cerita televisyen akan menjadi lebih pelbagai ceritanya,’’ ujar Rashid Sibir lagi yang berhasrat untuk mengarah lebih banyak drama berkisar cerita-cerita tentang kampung, budaya dan perpaduan bangsa.

Sepanjang penglibatannya sebagai produser dan pengarah, lebih puluhan drama yang pernah dibuatnya antaranya Ratu Jamu (1994), Pengantin Popular (1994), Putih Gaun Pengantin (1996), Rumah Di Tengah Sawah (2002), Pondok Buruk (2002), Nur Fitri (2002), Cik Mala Janda Berhias (2002), Sekeras Kerikil (2003) Ustaz Sufi (2006), Bertaut Di Jabal Rahmah (2006), Takbir Suci (2006), Wali (2007), Liang Lahad (2007) dan Selimut Putih (2007).

Gaya seorang pengarah berkaliber.
Previous articleEllie Suriaty, anak seni yang serba boleh
Next articleErti Kecantikan Buat Wanita!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here