Oleh : Nafsiah Jani
Bagi yang menggemari tomyam atau masakan yang berasaskan sup pasti menyedari batang saderi yang menjadi salah satu bahan kegemaran dalam masakan. Rasanya sedap sama ada dimasukkan dalam masakan atau dikisar segar sebagai jus minuman.
Saderi memiliki banyak khasiat dan kaya dengan antioksidan, serat, vitamin dan mineral. Saderi juga dikatakan bermanfaat kepada sistem penghadaman dan kesihatan badan.
Batang Saderi atau nama saintifiknya Apium graveolens Linn variasi dulce (Celery stalk) menjadi kegemaran kerana khasiatnya yang penting untuk nutrien harian. Selain menyedapkan hidangan, kandungan yang terdapat dalam batang saderi juga membantu menghasilkan kulit yang menawan dan mampu merawat pelbagai penyakit.
Sebagaimana yang kita ketahui, batang saderi mempunyai anti radang yang efektif dimana ia mempunyai komponen Flavonoid yang sangat membantu dalam pemulihan kesihatan seseorang.
Saderi juga kaya dengan nutrisi merangkumi Vitamin A, Vitamin C, Vitamin K, Folat, Kolin, Kalsium, Magnesium, Fosforus, Kalium, Natrium dan Fluorida serta kandungan air dalam batang saderi ini.
Untuk terus sihat dan bertenaga, tidak rugi jika kita mencuba makan batang saderi secara mentah, dimasak ataupun jus kerana terdapat banyak khasiat yang tersembunyi di sebaliknya:-
- Komponen seperti Flavonoids yang terdapat pada batang saderi membantu menggalakkan fungsi buah pinggang yang sihat dan normal dengan menyingkirkan toksin daripada badan, sekali gus menghalang pembentukan batu karang.
- Saderi juga bermanfaat terhadap pesakit asma dan bronchitis serta membaik pulih sistem pernafasan.
- Batang saderi merupakan penawar bagi menurunkan tekanan darah tinggi dan juga membantu membesarkan lagi saluran darah. Jusnya juga dapat mengelakkan arteri daripada tersumbat disebabkan pembentukan plak dan lemak. Ia juga membantu dalam pengawalan kadar tekanan darah serta menguatkan jantung.
- Amalkan minum jus saderi setiap hari bagi membantu membersihkan buah pinggang. Amalkan pada setiap pagi sewaktu perut kosong dan akan terlihat pengumpulan garam dan racun lain akan keluar dari buah pinggang melalui pembuangan air kecil. Bila pembuangan ini kerap berlaku, tubuh badan akan terasa lebih segar dan sihat berbanding dulu. Selamat mencuba
- Kandungan air dan serat tinggi dalam saderi sesuai diamalkan individu yang mengalami masalah sembelit.
- Untuk mata pula, kandungan vitamin A dalam saderi dapat membantu menjaga kesihatan mata.
- Batang saderi juga dapat merendahkan kadar kolesterol dalam darah supaya tiada kejadian serangan angin ahmar yang melibatkan salurah darah tersumbat.
- Selain itu, saderi juga dapat membantu melancarkan system penghadaman dan pencernaan.
- Amalan menikmati jus saderi setiap hari juga dikatakan dapat membantu membendung keinginan untuk makan makanan manis. Sekali gus dapat mengawal selera makan seseorang kerana kandungan saderi yang rendah kalori dan tinggi fiber membuat perut kenyang lebih lama.
- Batang saderi juga mempunyai banyak mineral dan komponen penting untuk membuat tulang lebih kuat. Ia juga dapat meningkatkan ketumpatan tulang dan mengelakkan darah daripada bergumpal. Ketumpatan tulang yang tinggi dapat merendahkan risiko tulang mudah patah, apabila berlakunya kecederaan.
- Jus saderi bukan sahaja dapat melembabkan kulit, malah ia juga membuatkan kulit lebih menawan kerana mempunyai komponen air yang banyak serta dapat melawan bakteria yang ada pada kulit.
- Saderi juga bagus untuk kesuburan lelaki kerana saderi kaya dengan kandungan fitonutrien dan antioksidan yang penting untuk proses penghasilan sperma dalam air mani.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.