Oleh : Asmat Fikri
Kanser serviks atau dikenali juga sebagai kanser pangkal rahim kerana serviks itu adalah bahagian pangkal atau bawah rahim yang bersambung dengan vagina. Tahukah kita kanser serviks merupakan kanser ketiga terbanyak di kalangan wanita selepas kanser payudara dan kanser kolorektal?
Risiko kanser serviks
Jika menjawab persoalan berkenaan siapa yang berisiko terkena jangkitan kanser serviks, paling atas atau utama sekali adalah wanita yang mendapat jangkitan Human Papilloma Virus (HPV) yang tertentu. Jangkitan HPV adalah jangkitan seksual (STI) yang paling biasa. Kebanyakan kes jangkitan HPV disebabkan oleh aktiviti seksual, kedua-dua hubungan seksual penetratif dan aktiviti seksual bukan penetrasi.
Kebanyakan jangkitan HPV tidak menyebabkan simptom fizikal. Walau bagaimanapun, pada sesetengah orang, jangkitan ini boleh menyebabkan lesi pra-malignan yang boleh menjadi kanser serviks, dubur, vulva dan faraj pada wanita jika tidak dikesan dan dirawat. Sistem imun membersihkan jangkitan HPV dalam tempoh 2 tahun untuk kebanyakan orang, tetapi ini tidak selalu berlaku. HIV dan jangkitan seksual juga boleh meningkatkan risiko kanser serviks.
Selain daripada itu, wanita yang mempunyai antara faktor-faktor berikut juga berisiko untuk mendapat kanser pangkal rahim:
– Memulakan perhubungan seksual pada usia terlalu muda. (kurang dari 17 tahun).
– Mempunyai pasangan seks lebih dari 3 orang.
– Pernah mengandung sebanyak tujuh kali atau lebih.
– Jangkitan kuman melalui hubungan seksual seperti ‘HPV’ (Human Papilloma Virus/wart virus).
– Kelahiran anak pertama sebelum berumur 17 tahun.
– Merokok.
– Latar belakang sosio-ekonomi yang rendah.
– Penggunaan pil perancang keluarga lebih dari 10 tahun.
Pencegahan
Seperti penyakit lain, kanser pangkal rahim juga boleh dicegah atau dikurangkan risikonya dengan beberapa cara. Antaranya seperti:-
• Mengamalkan cara hidup yang sihat
• Setia pada pasangan anda
• Saringan awal untuk kanser pangkal Rahim seperti pap smear atau ujian HPV
• Mendapat vaksin HPV
• Menjalani ujian pap smear.
Pap smear atau ujian Papanicolaou telah diperkenalkan oleh Dr George Papanicolaou pada tahun 1940an. Ujian ini boleh mengenalpasti sel pangkal rahim yang tidak normal. Ia adalah satu saringan untuk mengesan keadaan pra-kanser (sebelum kanser terjadi) iaitu terdapat sel serviks luar biasa yang boleh mengakibatkan kanser. Ia juga sebagai satu prosedur yang mudah di mana sedikit sel diambil dari serviks dan dihantar ke makmal untuk kajian. Ujian pap smear ini tidak perlu ubat atau bius tetapi hanya mengambil masa beberapa minit sahaja.
Kaum wanita digalakkan untuk menjadikan ujian pap smear ini sebagai pemeriksaan rutin tahunan bermula daripada umur 21 tahun atau tiga tahun selepas melakukan hubungan seks yang pertama. Lakukan pemeriksaan ini setiap tahun sehingga anda berumur 30 tahun. Jika keputusan ujian normal selama dua tahun berturut-turut, ujian seterusnya boleh dilakukan setiap tiga tahun.
Ujian HPV
Human Papilloma Virus (HPV) adalah virus yang dijangkiti melalui sentuhan kulit ke kulit dan melibatkan kedua-dua lelaki dan wanita. Ia adalah virus yang paling biasa didapati di dalam penyakit kelamin. Ada lebih dari 100 jenis HPV virus, dan ia dibahagikan kepada virus berisiko tinggi dan berisiko rendah. Malah terdapat 14 jenis virus HPV berisiko tinggi yang boleh menyebabkan kanser serviks dan juga kanser lain seperti kanser anus dan tekak. Virus berisiko rendah boleh menyebabkan masalah ketuat di kemaluan.
Justeru, marilah kita mengikut saranan Kerajaan dengan mengadakan ujian ini secara percuma sahaja di klinik atau hospital kerajaan. Semoga usaha kita itu dapat mengurangkan risiko kanser serviks dan juga dapat memastikan kesihatan kita sentiasa terjaga.
*Ikuti sambungan seterusnya dalam artikel akan datang mengenai kanser serviks ini.
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.