Oleh : Nafsiah Jani
Buah tembikai memang sedap dimakan sebagai pencuci mulut dan jus tembikai pula cukup menyegarkan. Ia juga kaya dengan khasiat dan bagus untuk kesihatan kerana buah tembikai bukan sahaja kaya dengan vitamin dan mineral, malah kandungan airnya yang tinggi (92%) juga membuatkan kita rasa lebih kenyang selepas memakannya.
Buah tembikai atau nama saintifiknya Citrullus lanatus adalah satu keluarga dengan rockmelon, timun batang dan tembikai susu. Buah-buahan ini boleh didapati dalam beberapa jenis iaitu isi warna merah, kuning, jingga dan berbiji
Buah tembikai rendah dengan nilai kalori tetapi tinggi dengan kandungan nutrien seperti kalium, vitamin A dan vitamin C. Jika buah tembikai berwarna merah terang, lebih banyaklah vitamin dan nutrien yang terkandung di dalamnya.
Selain isinya, kulit tembikai juga mempunyai banyak manfaat. Selain sifat antikeradangannya, kulit tembikai juga sarat dengan potasium, zink dan magnesium iaitu nutrien yang penting untuk tubuh kita berfungsi dengan betul.
Selain dijadikan makanan dan minuman, buah tembikai turut digunakan di dalam penghasilan produk-produk kosmetik seperti produk penjagaan kulit wajah dan penjagaan badan. Tembikai juga merupakan sumber terbaik anti-oksidan untuk menangani garis halus atau kedutan pada wajah.
Jus tembikai juga membantu menyembuhkan penyakit-penyakit ini dengan menghapuskan kesan-kesan toksik dalam badan. Kehadiran asid yang berlebihan dalam darah dapat diatasi dengan mengamalkan pengambilan jus tembikai kerana ia dapat bertindak membantu melancarkan pengaliran darah.
Buah tembikai memang sedap dimakan namun bagi penghidap kencing manis tidak digalakkan makan terlalu kerap kerana kandungan gula didalamnya.
Begitulah hebatnya khasiat dan kelebihan buah tembikai termasuk kulitnya. Dari segi faktanya, eloklah makan buah tembikai ketika perut kosong atau sebelum makan kerana ia dapat membersihkan usus dan menghindarkan seseorang daripada sebarang penyakit. Di antara khasiat tembikai adalah seperti berikut :-
- Serat dalam buah tembikai mempunyai pelbagai fungsi terhadap kesihatan kerana dapat mencegah sembelit dan meransang peristalsis di bahagian usus besar. Tembikai juga kaya dengan kandungan air yang tinggi di mana pengambilan air yang mencukupi juga dapat mencegah sembelit.
- Buah tembikai yang diletakkan pada wajah mampu memberi kesegaran dan membuatkan wajah anda nampak lebih bermaya dan tidak kusam. Malah, ia juga boleh membantu melambatkan proses penuaan kulit, meningkatkan penghasilan kolagen selain membantu melembapkan kulit.
- Bagi yang takut mengunakan krim yang tidak tahu status kandungannya, eloklah gunakan buah tembikai kerana ia mengandungi bahan semulajadi yang menyegarkan dan mampu mengubah penampilan kulit. Urutkan kepingan tembikai pada wajah atau kisarkan dengan sedikit madu untuk mendapatkan kesan yang lebih baik. Ekstrak jus tembikai juga mampu melembapkan wajah dan leher.
- Vitamin A dalam buah tembikai amat penting untuk kesihatan mata kerana ia dapat mengurangkan risiko rabun malam. Likopena di dalam buah tembikai dapat mencegah pereputan macular iaitu saraf mata yang berfungsi untuk penglihatan. Pereputan macular berkait dengan usia, di mana perubahan pada macular sehingga mengganggu penglihatan.
- Kandungan air yang tinggi dalam buah tersebut membantu seseorang lebih kenyang selepas makan buah berkenaan. Secara tidak langsung ia membantu seseorang yang ingin menurunkan berat badan.
- Asid amino dan l-Citrulline yang terdapat dalam buah tembikai dapat membantu pemulihan tubuh badan dan melegakan keletihan otot. Hasil kajian terhadap atlet yang telah minum jus tembikai dapat memulihkan kadar denyutan jantung dan melegakan keletihan otot selepas 24 jam.
- Dalam tubuh badan kita terdapat dua jenis kolesterol iaitu kolesterol baik seperti HDL dan kolesterol tidak baik seperti TG dan LDL. Kajian mendapati bahawa ekstrak tembikai dapat menurunkan paras jumlah kolesterol dan LDL dan tidak mengganggu paras kolesterol baik, HDL. Kandungan serat di dalam tembikai juga sedikit sebanyak membantu mengurangkan paras kolesterol di dalam darah.
- Kulit berminyak dapat dikurangkan dengan pengambilan buah tembikai kerana buah ini kaya dengan sumber vitamin A yang mampu mengurangkan saiz liang pori dan minyak berlebihan pada wajah anda. Selain itu, tambahkan serbuk kacang hazel ke dalam ekstrak jus tembikai bagi merawat kulit berminyak.
- Bagi mereka yang menghadapi masalah kulit berjerawat dan berjeragat elok amalkan tembikai sebagai rawatan semulajadi dengan mengurut wajah menggunakan jus buah ini setiap hari.
- Bila luka, ambil isi putih dikulit tembikai untuk menyembuhkan luka dengan cara makan isi putih tersebut atau tampal pada tempat yang luka. Kandungan zat amino dan citrulline membantu menyembuhkan luka dengan cepat.
- Buah tembikai kaya dengan vitamin A dan C baik untuk kesihatan kulit dan rambut. Vitamin A membantu menghasilkan dan membaiki sel-sel kulit daripada kusam, kering dan mengelupas. Manakala vitamin C pula membantu dalam penghasilan kolagen kulit iaitu protein bagi mengekalkan keanjalan kulit, agar rambut kekal sihat dan kuat.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.