Oleh : Nury Kadir
Hari Ahad minggu ke-2 bulan Mei setiap tahun adalah Hari Ibu. Jika mengikut sejarah idea Hari Ibu dibawakan oleh Anna Jarvis pada 1872 bertujuan memberikan ruang untuk golongan ibu bersama-sama menyuarakan isu semasa kepada masyarakat. Sambutan Hari Ibu pertama adalah pada 10 Mei 1908 sempena memperingati ulang tahun kematian ibu Anna, Maria Jarvis.
Sejarah Hari Ibu banyak bergantung kepada budaya masyarakat dan zaman. Misalnya ketika zaman Yunani dan Rom, sambutan Hari Ibu adalah untuk memperingati Dewi Cybele, Dewi Kesuburan dan Rhea (ibu kepada Dewa). Manakala dalam budaya Kristian, sambutan tersebut adalah unuk memperingati Virgin Mary.
Walauapapun latar belakang sejarah Hari Ibu, sebagai orang Islam raikanlah dan hormatilah ibu sebagaimana yang diperintahkan Allah dan disuruh oleh Rasulullah SAW. Hari Ibu hanya sebagai tambahan hari istimewa sahaja untuk meraikan ibu. Hormat dan taat kepada ibu dan ayah kena sepanjang masa berlandaskan tuntutan agama.
Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muʻawiyah bin Jahimah al-Salami seperti berikut:
أَنَّ جَاهِمَةَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَدْتُ أَنْ أَغْزُوَ، وَقَدْ جِئْتُ أَسْتَشِيْرُكَ. فَقَالَ: هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ؟ قَالَ: نَعَمْ. قَالَ: فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا
Maksudnya: Bahawasanya Jahimah pernah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku ingin pergi jihad, dan sungguh aku datang kepadamu untuk meminta pendapatmu. Baginda bertanya: “Apakah engkau masih mempunyai ibu?” Dia menjawab: Ya, masih. Baginda bersabda: “Hendaklah engkau tetap berbakti kepadanya, maka sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.” (Riwayat al-Nasa’i)
Dalam kitab Birr al-Walidayn karangan Imam Bukhari (yang dipetik dari www.muftiwp.gov.my) ada dinukilkan sebuah kisah menarik untuk kita bersama-sama renungkan. Kisah ini diriwayatkan oleh Jaafar ibn Sulaiman ad-Dubai yang diceritakan oleh Malik bin Dinar kepadanya, katanya: Ketika menunaikan haji, beliau melihat ramai jemaah yang menunaikan haji pada tahun itu. Lalu terdetik di hatinya, “Berapa ramai jemaah yang diterima amalannya untuk aku mengucapkan tahniah dan berapa ramai yang tidak diterima amalannya oleh Allah SWT untuk aku mengucapkan takziah kepadanya”.
Pada malam itu, beliau bermimpi seseorang berkata kepadanya, “Wahai Malik bin Dinar, sesungguhnya semua jemaah yang menunaikan haji dan umrah pada kali ini, demi Allah SWT, Allah SWT telah mengampunkan dan menerima amalan mereka semua kecuali seorang lelaki sahaja. Allah SWT amat murka kepadanya, tidak menerima hajinya dan melemparkannya kembali ke wajahnya.”
Beliau merasa khuatir jika lelaki itu adalah dia. Pada malam seterusnya, beliau bermimpi lagi dengan mimpi yang sama namun suara itu berkata, “Lelaki itu bukanlah kamu, lelaki itu berasal dari bandar Balkh, Khursan dan namanya Muhammad bin Harun al-Balkhi. Allah SWT amat murka sekali kepadanya. Allah SWT tidak menerima hajinya dan melemparkannya kembali ke wajahnya.”
Apabila waktu pagi, beliau keluar mencari insan itu lalu menemui orang-orang Balkh dan bertanyakan, “Kenalkah kalian dengan lelaki bernama Muhammad bin Harun?” Mereka membalas, “Bakh !!! Bakh !!!, wahai Malik bin Dinar, kamu bertanya tentang seorang lelaki paling baik dan tiada di Khurasan seorang pun yang lebih banyak beribadah dan lebih zuhud melainkan dia”. Malik bin Dinar amat takjub dengan indahnya puji-pujian mereka terhadap insan itu padahal apa yang beliau dengar di dalam mimpi adalah amat berbeza.
Lalu Malik bin Dinar menuju ke arah kawasan rumah-rumah usang dan mendapati Muhammad bin Harun al-Balkhi sedang berdiri di belakang dinding. Tangan kanannya putus dan tergantung di lehernya. Tulang selangkanya telah ditebuk dan diikat dengan rantai besi dan digari pada kakinya. Lantas beliau berkata, “Siapa kamu wahai tuan?” “Aku Malik bin Dinar”. Dia bertanya lagi, “Wahai Malik bin Dinar, mengapa kamu datang ke mari, adakah kamu mendapat suatu mimpi? Ceritakan mengenainya kepada aku.” Jawab Malik bin Dinar “Aku malu untuk berjumpa kamu tambahan pula menceritakannya mimpiku ini kepada kamu.” Dia menjawab, “Usah malu.” Lalu Malik bin Dinar menceritakan apa yang dialami dalam mimpinya, lalu dia menangis begitu lama. Selepas itu dia berkata, “Wahai Malik bin Dinar, kisah mimpi ini diceritakan kepadaku sejak 40 tahun lepas, setiap tahun akan ada seorang lelaki alim seperti kamu bermimpi bahawa aku termasuk dalam penghuni neraka.”
Malik bin Dinar terus bertanya, “Adakah kamu telah melakukan suatu dosa yang besar terhadap Allah SWT?” Dia menjawab, “Ya, dosaku lebih besar daripada segala langit, bumi, gunung-ganang, Aryash dan Kursi.” Malik bin Dinar membalas, “Ceritakan mengenainya kepadaku agar aku dapat memberi peringatan kepada manusia yang tidak mengetahuinya”.
Dia mula bercerita, “Wahai Malik bin Dinar, aku dahulunya sangat suka minum arak, pada suatu hari aku meneguknya bersama-sama seorang rakan sehingga aku mabuk dan hilang akal. Aku pulang ke rumah dan aku dapati ibuku sedang menyalakan api di pendiangan (fireplace) kepunyaan kami. Melihatkan aku terhuyung-hayang akibat mabuk, ibu datang ke arahku dan menasihatiku, kata ibu “Wahai anakku, petang ini petang terakhir Syaaban dan malam ini malam pertama Ramadan, esok semua Muslim akan berpuasa tetapi kenapa kamu masih lagi mabuk? Tidakkah kamu malu kepada Allah SWT?” Dengan perasaan marah, aku mengangkat tangan lalu menampar mukanya. Lantas ibu berkata, “Wahai anakku, kamu mahu ditimpa celaka?” Kata-kata itu membuatkan aku menjadi amat geram dan marah. Akhirnya, dengan perasaan amarah yang meluap-luap, aku mengangkat ibuku lalu aku campakkannya ke dalam pendiangan yang sedang marak membakar.
Isteriku yang melihat perbuatan itu terus membawaku masuk ke satu bilik dan menutup pintunya. Apabila menjelang tengah malam, aku mulai sedarkan diri daripada mabuk. Lalu aku memanggil isteriku, namun dia menyahut dengan nada yang amat kasar. Aku tanyakan padanya, “Kenapa engkau bersikap kasar, aku tidak pernah melihat engkau sebegini?” Isteriku menjawab, “Engkau tidak layak mendapat layanan baik daripada aku. Engkau telah membunuh ibumu sendiri dan engkau telah campak tubuhnya ke dalam pendiangan api hingga dia terbakar rentung”.
“Mendengarkan kata isteriku itu, aku tidak dapat mengawal diri lalu menuju ke pendiangan dan melihat tubuh ibuku seperti sebuku roti yang hangus. Dengan kesedihan dan kekesalan yang teramat sangat, aku terus mencapai sebatang beliung, aku letakkan tangan kananku di papan pintu lalu aku tetak sehingga terputus. Lalu aku tebuk lubang di sekitar tulang selangka dan aku masukkan rantai besi ini kemudian aku ikat kedua-dua kakiku dengan gari besi. Harta aku sebanyak 8,000 dinar, aku sedekahkan semuanya sebelum senja.
Aku bebaskan seramai 26 hamba perempuan dan 23 hamba lelaki yang aku miliki. Aku wakafkan harta aku yang lain di jalan Allah SWT. Aku berpuasa pada siang hari dan melakukan qiyam pada malamnya selama 40 tahun dan aku tidak berbuka puasa melainkan dengan segenggam kacang kuda. Bahkan, aku juga menunaikan haji pada setiap tahun. Tetapi aku merasa sedih sekali, pada setiap tahun akan datang seorang lelaki alim seperti kamu yang akan menceritakan mimpinya sebagaimana kamu bermimpi bahawa aku termasuk dalam kalangan penghuni neraka.”(Birr al-Walidayn).
Kisah itu memperlihatkan kepada kita bertapa Allah SWT murka dan menghina mereka yang berbuat dosa kepada kedua-dua ibu dan ayah ketika masih hidup lagi. Bahkan amalan birr al-walidayn (berbuat baik kepada kedua ibu bapa) merupakan antara ibadah yang paling besar selepas tauhid kepada Allah SWT Ini seperti yang ditunjukkan oleh firman Allah SWT, Maksudnya: “Dan bertauhidlah kamu kepada Allah dan jangan sesekali kamu mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” (Surah Al-Nisa’, ayat 36).
Ikuti sambungan dalam artikel akan datang bagaimana taat kepada ibu dan bapa menjadikan kita santun dan bahagia.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.