Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Siti Nordiana/Koleksi Syed Wafa
PERIBAHASA yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang membawa maksud kegemilangan serta kecemerlangan hanya akan hadir apabila terus berusaha hingga mencapai titik kejayaan.
Biarpun terpaksa menunggu selama 25 tahun sebelum berkesempatan mengadakan konsert solo berskala besar, Siti Nordiana Alias, 40, tidak pernah lemah semangat.
Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana yang memulakan kerjaya seni sejak usia 15 tahun terpaksa menunggu begitu lama berbanding rakan artis lain untuk merealisasikan impiannya menjayakan konsert solo.
Akhirnya pada 11 Mei lalu bertempat di Zepp Kuala Lumpur, Nana telah merealisasikan impiannya yang terpendam itu menerusi Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun.
“Selamat datang ke konsert Memori Siti Nordiana. Akhirnya tercapai juga impian Nana untuk buat konsert. Konsert ini adalah untuk anda Siti Nordiana FC. Ada yagn datang dari Brunei dan Singapura?
“Terima kasih semua sebab terima Nana seadanya. Nana akan terus keluarkan karya yang baik. Untuk cikgu vokal Nana, Datuk Syafinaz dan rakan artis, Nubhan, terima kasih kerana datang,” katanya terharu dengan sambutan yang diberikan oleh penonton.
Sebagai penyanyi yang pernah lalui pelbagai cabaran, Nana yang telah menerbitkan enam album studio mengakui dia amat terharu kerana dapat merealisasikan impian yang terpendam lama.
Nana yang sebelum ini menjadi bualan ramai kerana gandingannya dengan Allahyarham Acik Spin menerusi lagu Resipi Berkasih, Gurauan Berkasih, Memori Berkasih, Mainan Cinta dan Paling Comel, ada satu ketika namanya tenggelam sekejap.
Malah untuk konsert tersebut juga Nana ada segmen khas menyanyikan lagu-lagu duetnya bersama Acik di mana penonton secara spontan menjadi pasangan duetnya.
Meskipun itu konsert pertamanya yang berskala besar, kata Nana rentetan daripada konsert anjuran Icon Entertainment itu ada beberapa penganjur lain yang berminat untuk menganjur konsertnya.
“Tawaran untuk buat konsert lagi pun ada Nana terima daripada beberapa penganjur, tapi Nana kena fikirkan dulu daripada pelbagai sudut. Lagi pula, nak buat konsert ini perlukan sepenuh komitmen,” katanya.
Gegar Vaganza kembali mengangkat nama Nana
Bagi menyemarakkan semula kerjaya seninya, Nana menyertai program realiti Gegar Vaganza musim kedua pada 2015 dan kebetulan dia muncul sebagai juara, sejak itulah nama Nana kembali menjadi bualan.
Selain kembali aktif menyanyi Nana juga berkesempatan menunjukkan bakatnya dalam bidang lakonan menerusi drama TV, Dia Semanis Honey (2016) dan Klik! Pengantin Musim Salju (2018).
Dia Semanis Honey arahan Michael Ang yang diadaptasi daripada novel karya Dila Dyna itu menggandingkan Nana dengan Alif Satar. Ternyata lakonan mereka mendapat tempat di hati peminat, sehingga drama itu menjadi kata carian paling banyak di Google Malaysia.
Atas permintaan ramai, drama ini disambung ke siri Dia Semanis Honeymoon sebanyak lima episod dan telefilem Dia Semanis Honey Raya. Malah drama ini juga dipentaskan di pentas teater di Istana Budaya pada 3 Januari hingga 12 Januari 2017. Lakonan bersahaja Nana dan Alif membuatkan penonton mahu mereka terus digandingkan untuk drama-drama lain pula.
Selain itu, Nana juga paling dikenali menerusi kerjasamanya bersama Fikry Ibrahim melalui telefilem Cekelat Semanis Honey dengan memegang watak sebagai Maya.
Selain berlakon, penyanyi yang dilahirkan di Felda Sendayan, Seremban, Negeri Sembilan itu juga memberanikan diri menerbitkan buku berkaitan dirinya yang diberi nama Life Goes On pada 2018 yang menceritakan tentang perjalanan hidupnya sebagai ibu tunggal kepada seorang anak.
Meskipun ramai penyanyi baharu muncul, Nana boleh dikatakan seorang yang beruntung kerana lagu-lagu dendangannya malar segar dan hingga kini terus diminati oleh peminat lama dan baharu.
Bukan itu saja, Nana juga disayangi oleh peminat-peminat tegarnya yang digelar Siti Nordiana Fan Club (SNFC) yang setia menyokongnya sejak dulu hingga kini.
Nana yang membahasakan dirinya sebagai Mader dengan Siti Nordiana FC sepanjang kerjayanya telah menerima pelbagai anugerah dan pencalonan dalam muzik dan televisyen, antaranya ialah Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Anugerah Juara Lagu dan Anugerah MeleTOP Era.
Penyanyi yang pernah mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham pelakon Faizal Yusup (2006) dan bercerai pada 2009 itu dikurniakan seorang anak, Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini merupakan teman rapatnya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.