Oleh Wawa Najwa
Foto Ehsan Che Puan Sarimah/ Koleksi Syed Wafa

Bukan mudah untuk melakonkan watak Sharifah Qaidah yang menjadi perhatian umum menerusi drama Lelaki Itu, arahan Nur Ain Sharif dan Along Kamaluddin yang ditayangkan di saluran TV3 itu sejak 19 Mac lalu.

Peneraju watak Sharifah Qaidah yang dilakonkan oleh Che Puan Sarimah Ibrahim, 48, untuk tempoh 30 episod itu beliau telah berlakon dalam 400 adegan.

Memang berbaloi watak yang dibawa oleh Sarimah selepas berbelas tahun tidak berlakon drama. Penampilan Sarimah selaku watak utama berjaya menarik kira-kira 6.2 juta penonton selepas empat episod disiarkan di TV dan 90 juta tontonan di media sosial, malah menjadi drama nombor satu di perkhidmatan penstriman video, Tonton.

Watak Sarimah menyerlah dalam ‘Lelaki Itu’

Lelaki Itu dihasilkan bukan kerana adaptasi novel tapi dibuat berdasarkan kisah benar dan lakaran perjalanan ceritanya disumbangkan oleh penulis skrip hebat Erma Fatimah yang juga pemilik Rumah Karya Citra.

“Pada saya tak susah sangat untuk melakonkan watak ini tetapi ada juga cabarannya sebab pegangan hidup Qaidah ini berbeza dengan cara hidup saya. Qaidah agak trauma kerana dia membesar dalam sebuah keluarga di mana ibunya tidak memiliki apa-apa dan merupakan seorang mangsa keganasan rumah tangga.

Pemegang watak Sharifah Qaidah dalam drama Lelaki Itu.

“Berbeza dengan realiti kehidupan saya kerana saya seorang yang berdikari. Saya mula kerja sejak usia 18 tahun, saya berseorangan di Malaysia cari rezeki. Saya tidak mengharapkan sesiapa, meminta bantuan sesiapa.

“Semua yang saya miliki termasuk rumah dan kereta pertama yang saya beli adalah hasil titik peluh sendiri. Bagi saya, seorang wanita kena ada maruah serta kena pandai urus kewangan dan kerjaya supaya kita rasa bangga dengan diri sendiri,” kata Sarimah tentang prinsip kehidupannya.

Bergandingan dengan Adi Putra sebagai suami isteri.

Melihat kepada penampilan Qaidah yang merupakan isteri kepada Syed Mirza lakonan Dato’ Adi Putra itu, tak sangka ada juga penonton yang kasihan dengan watak wanita tersebut.

Jelas Sarimah, gandingannya dengan Adi ibarat orang mengantuk disorong bantal kerana sudah lama beliau menyimpan harapan untuk berlakon dengan pemegang watak Mat Kilau itu.

Sarimah berguru daripada Gerry Grennell yang juga guru lakon kepada pelakon hebat Hollywood.

“Saya tak pernah bekerja dengan pelakon yang terlibat dalam drama ini, sebab lama berehat. Terima kasih pada kak Erma kerana menemukan saya dengan Dato Adi Putra dan Fazura. Sejak dulu saya memang minat lakonan mereka. Bila dapat bergandingan, pastilah seronok.

“Walaupun kami tak pernah berlakon bersama tapi saya percaya keserasian itu akan terjalin dengan sendiri jika kita pandai bawa diri. Senang saja, apabila kita bersama kawan-kawan di set, jangan sombong kalau boleh kita lepak bersama.

Pernah merakamkan album sebagai seorang penyanyi

“Sebagai pelakon kita kena ambil masa untuk jauhkan diri sebentar untuk baca skrip dan tenangkan fikiran sebelum penggambaran.

“Paling penting adalah kita besama dengan watak-watak yang menjadi ahli keluarga kita seperti anak-anak saya Hanna Dalisha, Nadia Brian dan Sophia Albarakbah. Kami berempat ni memang sentiasa bersama, dalam bilik yang sama, lepak bersama, mekap dan makan bersama, ini sangat penting untuk mencari keserasian antara ibu dan anak-anaknya.

“Bila bersama dengan Dato Adi, saya cari keserasian untuk duduk bercerita dengan dia, tanya khabar, latar belakang dan pengalamannya sebagai pelakon. Sewaktu di set minum petang bersama kru dan inilah cara yang kita mampu dan mengikut batas,” katanya tentang cara beliau mencari keserasian dengan teman lakonan.

Berguru dengan guru lakonan hebat

Jelas Sarimah, apa yang dipaparkan dalam Lelaki Itu adalah hasil daripada berguru daripada Gerry Grennell yang juga guru lakon kepada pelakon hebat Hollywood seperti Tom Cruise, Oscar Isaac, Marlon Brando dan Heath Ledger.

Lokonan hebat Sarimah dalam filem ‘Janji Diana’

“Latihan untuk pelakon di UK dan US ada kelainan sedikit kerana mereka lebih kepada penghayatan watak yang mendalam. Contoh, kalau sedih tak bermaksud nampak air mata.

“Kalau marah tak semestinya kita kena menjerit, kalau kita curiga tak semestinya nampak curiga. Mereka lebih kepada mainan dalam. Kalau di Asia, permainan lakonan kita lain sikit, kita lebih kepada menununjuk perasaan kita kepada penonton.

Turut berlakom dalam filem ‘Puteri Impian 2’

“Tapi kalau mengikut gaya US dan UK, mereka tidak banyak menunjuk, sebaliknya banyak menyimpan. Saya cuba mengambil sedikit sebanyak mana tips dari guru saya di sana untuk digabungkan dengan cara-cara kita di Malaysia. Hasilnya ia mungkin satu stail lakonan yang rojak sikit, insya-Allah dapat diterima oleh penonton,” katanya yang sentiasa berusaha untuk memperbaiki mutu lakonan.

Tambahnya, untuk mencari keserasian bersama pasangan lakon, adalah mendengar pelakon lain apabila berlakon dalam satu babak.

“Apabila beraksi bersama pelakon lain, kita kena mendengar tonasi skrip dan apa yang mereka cuba sampaikan. Cara kita respons itu akan jadi natural kalau kita betul-betul dengar apa pasangan kita cuba nak sampaikan,” ujarnya.

Turut berlakon dalam filem ‘MX3’

Sarimah bukan sekadar mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar dari luar negara, malah beliau juga dilamar oleh satu syarikat pengurusan agensi lakonan di London iaitu Fiona Cross Management.

“Alhamdulillah, semuanya rezeki kehendak Allah SWT, kita merancang dan cuba, saya percaya kita kena berusaha untuk mempertingkatkan kualiti kita sebagai penghibur sama ada dari segi fizikal disiplin lakonan mahupun perbaiki mental, kesihatan supaya dapat tawaran, kita dah bersiap dan berilmu.

“Sepanjang berehat daripada berlakon, saya memerhati saja kawan-kawan masuk set sebab saya sudah bagi komitmen penuh pada bidang lain.

“Rindu jugalah masa tu sebab banyak tawaran filem, bila dah keluar nama-nama filem besar, saya dapat tawaran berlakon tapi tak boleh bagi komitmen. Saya jenis kalau tak boleh bagi komitmen sepenuhnya saya tolak,” katanya terus terang.

Keluarga bahagia Sarimah.

Sarimah bukan sekadar mendapat bimbingan daripada tenaga pengajar dari luar negara, malah beliau juga dilamar oleh satu syarikat pengurusan agensi lakonan di London iaitu Fiona Cross Management.

“Kalau dari segi pengacara di TV ada tawaran tapi sekarang ini saya nak fokus kepada lakonan dan insya-Allah kalau ada rezeki saya nak fokus di situ. Agensi saya di London juga banyak menghantar audition pada saya.

“Dia hantar kat saya skrip dan karakter diskripsi, lepas tu dia akan bagi tahu dateline dan saya perlu hantar balik audition tape untuk watak sekian dan saya akan cuba rekod di studio yang saya buat di satu sudut di rumah saya khas untuk saya rakam uji bakat. Kalau ada rezeki, adalah,” kata Sarimah yang merupakan isteri kepada Tunku Nadzimuddin atau Tunku Jamie dan ibu kepada Tunku Sofia Najihah.

Previous articleAmalan penjagaan di usia 50-an
Next articleThalia tak sangka ditipu pembantu rumah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here