Thalia kesal bibik yang dianggap seperti keluarga tidak jujur dalam pekerjaan.

Oleh: Wawa Najwa

PELAKON dan usahawan selebriti Datin Thalia Baiduri kesal kerana terlalu mempercayai pembantu rumahnya, Bibik Elly yang dianggap seperti keluarga.

Menurut Thalia, Bibik Elly tidak berlaku jujur malah melayan anak bongsunya dengan teruk sehingga membiarkan kanak-kanak itu berbau hancing dan bermain dengan air tandas.

“Saya tidak pernah mengesyaki apa-apa sebab dia sangat baik di depan saya malah tidak pernah tinggal solat Dhuha. Semuanya terbongkar apabila mesejnya bersama teman lelakinya dikirimkan oleh individu berkenaan.

Anak bongsunya sering diabaikan oleh bibik tatkala Thalia keluar bekerja.

“Bila saya tanya dia menafikan, tapi bukti jelas apabila kami menerima mesej yang dia kirimkan kepada kekasihnya dan memaki hamum kami termasuk mendoakan saya dan anak saya mampus,” katanya dalam pendedahan yang dibuat dalam satu siaran langsung di akaun TikTok Thalia.Baiduri minggu lalu.

Tambahnya lagi, bila ditanya pada Bibik Elly kenapa anaknya berbau busuk dan di badannya penuh dengan luka, pembantu rumah itu bersumpah dengan nama Allah yang dia jaga anak asuhannya itu dengan baik.

Thalia membuat pendedahan tentang masalahnya dengan pembantu rumah di media sosial, baru-baru ini.

“Rupa-rupanya anak saya sudah beberapa kali jatuh dan dibiarkan sendirian tanpa dibersihkan, bibik lain tidak berani dengan dia kerana dia sudah lebih setahun berkhidmat dengan saya.

“Saya memang tidak pernah syak sebab bila dia sebut Allah saya fikir takkan dia tergamak main nama Allah,” katanya yang mengusahakan produk kecantikan Dolly Milk dan fesyen jenama Talia.

Perkhidmatan bibik Elly terus ditamatkan oleh suami Thalia.

Lebih dari itu kata Thalia, pembantu rumah berkenaan juga didapati leka bermain cinta dengan lelaki senegara dengannya yang kononnya bekerja sebagai juruterbang.

Tambahnya, pembantu rumah berusia lewat 40-an itu terbuai dan asyik dilamun cinta dengan lelaki berkenaan sehingga sanggup mengabaikan tugas hariannya.

“Malah bila kita panggil untuk bersemuka pun dia tidak menunjukkan sebarang penyesalan serta tiada langsung ucapan maaf yang keluar dari mulut,” katanya yang pernah berlakon drama Misteri Kebaya Mak Esah, Seindah Sakura dan Cinta Dalam Hati.

Thalia bukan saja seorang pelakon malah seorang usahawan yang berjaya.

Lantaran itu, suami Thalia Datuk Shahriza Amir meminta bibik berkenaan keluar dari rumah dan menamatkan perkhidmatannya serta merta.

“Saya sendiri hilang kata-kata dengan sikap bibik berkenaan, tak apalah tiada rezeki dia bekerja dengan saya.

“Yang penting kita dah pulangan pada agen dan keselamatan anak kami terjamin,” akuinya yang serik dengan kejadian itu sehingga ragu-ragu untuk memilih pembantu rumah.

Previous articleChe Puan Sarimah popular kerana Qaidah, penampilan yang berbeza
Next articleRahsia Jeffrydin awet muda dan sihat!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here