Aksi bersahaja seorang bintang

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Hail Amir/Koleksi Syed Wafa

Mendengar lagu-lagu lagu popular seperti Ku Ingin Selalu Di Sampingmu, Semakin Hari Semakin Sayang, Kau Datang Lagi, Wajah Kesayangan Hamba Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu raya, Seloka Hari Raya pasti kita terbayangkan penyanyi popular Datuk Hail Amir dengan pasangan duetnya, Uji Rashid.

Lagu-lagu Hail Amir penyanyi popular era 1970-an yang malar segar hingga ke hari ini nampaknya turut membantu popularitinya bertahan walaupun munculnya penyanyi-penyanyi baru yang tidak mungkin dapat mengalahkan populariti dan suaranya yang begitu lemak merdu.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini mula berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1971 dan ditawarkan menyertai kelab budaya di Kementerian Belia dan Sukan.

Pose zaman kegemilangan Hail Amir dalam cover album Apa Jawabnya.

Sebagai penari kebudayaan, Hail berpeluang membuat persembahan di serata tempat di tanah air selain ke luar negara seperti Kuwait, London, Jepun dan lain-lain.

Hail atau nama sebenarnya Abdul Hail Amir yang berkebolehan menyanyi, berlakon, menari dan boria berkata, ada masanya dia seperti tidak percaya bagaimana dia yang asalnya seorang penari boleh mencipta nama sebagai penyanyi popular.

“Karier saya sebenarnya bermula sebagai penari dan bukannya sebagai seorang penyanyi. Sewaktu jadi penari Badan Budaya, saya banyak mengadakan persembahan ke luar negara antaranya di Myanmar, Jepun, Korea, Kuwait, England dan Perancis. Saya juga turut bermain gitar dalam persembahan-persembahan yang kami jayakan. Mungkin belum rezeki, nama saya kurang menonjol ketika itu.

Cover album Hail Amir bersama pasangan duetnya, Uji Rashid dalam lagu Hujan.

“Kemudian saya memberanikan diri menyertai uji bakat anjuran syarikat rakaman EMI pada 1975. Sejak itu, bermulalah kerjaya saya sebagai penyanyi sehinggalah saya merakamkan lagu Wajah Kesayangan Hamba,’’ katanya mengenai bakat seninya dikesan komposer terkenal, Datuk Ahmad Nawab.

Selain berkebolehan menari dan berlakon, bakatnya sebagai pelakon juga turut digilap menerusi filem pertamanya Jiwa Remaja pada tahun 1975 bergandingan dengan Uji Rashid dan Datuk Yusof Haslam. Antara filem lain lakonannya ialah Menanti Hari Esok (1977) Cinta dan Lagu (1976), Dendang Perantau dan Sesejuk Airmata Ibu (1979) dan Anita Dunia Ajaib (1981), Jaket Biru (1991) dan lain-lain lagi

Jelas Hail Amir anak kelahiran Kampung Kebun Lama, Pulau Pinang ini lagi, dia tidak menyangka pembabitannya dalam bidang seni suara turut mendapat pengktirafan yang cukup bermakna dalam hidupnya.

Pasangan duet Hail Amir dan Uji Rashid yang serasi dari dulu hingga sekarang serta lagu-lagu mereka sehingga kini menjadi malar segar.

Beliau menerima pengurniaan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022.

“Saya tak harapkan apa-apa sewaktu masuk dalam bidang seni ini. Bidang ini adalah minat dan perkerjaan saya. Pada saya, apa yang saya kecapi kini adalah di luar dugaan kerana hasrat saya menceburi bidang seni bukan kerana ingin mengejar kemasyhuran, tetapi lebih kepada minat.

“Namun apabila dikurniakan Darjah Kebesaran PMW, pada saya, anugerah ini merupakan sebuah pengiktirafan paling besar dan bermakna dalam hidup. Apatah lagi, saya menerimanya ketika saya masih ada lagi dan setelah lima dekad saya mengabdikan diri dalam dunia seni ini,” kata Hail Amir lagi.

Kini Hail Amir bahagia bersama isterinya, Datin Safiah Ibrahim bersama empat anaknya Chintafifi, Chintahailfi, Chintasyafiana, dan Lutfi Ameer dan sembilan orang cucu.

Gaya seorang seniman

Sepanjang penglibatan dalam dunia seni, Hail Amir telah menghasilkan 12 album selain turut terkenal dengan nyanyian bersama rakan duetnya, Uji Rashid. Antara album yang pernah dihasilkannya ialah Wajah Kesayangan Hamba (1976), Kabus (1977), Antara Matamu Dan Mataku (1977), Hujan (1977), Bergembira Di Hari Raya (1977), Menanti Hari Esok (1977).

Selain itu album, Apa Jawabnya (1978), Ku Kejar Bayanganmu (1980), Lain Dulu Dan Lain Sekarang (1985), Memori Hit Hail Amir (2006), Memori Hit Uji Rashid & Hail Amir (2009) dan Lagenda Hit Uji Rashid & Hail Amir (2010).

Hail Amir akan menyanyi selagi diperlukan

Setiap kali tibanya Hari Raya selain lagu raya popular Menjelang Hari Raya nyanyian DJ Dave, Datuk Ahmad Jais (Selamat Hari Raya) dan ramai lagi adalah antara lagu Raya yang cukup diminati ramai termasuk lagu Seloka Hari Raya nyanyian gandingan Datuk Hail Amir dan pasangan duetnya, Uji Rashid.

Populariti lagunya yang malar segar menyebabkan sehingga kini Hail Amir masih terus menerima undangan membuat persembahan. Walaupun pernah berdepan dengan masalah serangan jantung pada Mac 2018 namun ini sesekali tidak pernah mematahkan semangat Hail Amir untuk terus menyanyi.

Hail Amir bersama isteri tercinta, Safiah Ibrahim.

“Alhamdulillah dah enam tahun peristiwa itu berlalu dan kini keadaan saya bertambah baik. Walaupun kehidupan saya tak seperti dulu lagi namun saya bersyukur kerana masih dapat menyanyi lagi. Saya tak mempunyai masalah mengingati lirik lagu kerana ia ibarat ‘makanan’ saya sejak dulu lagi.

“Saya juga bersyukur kerana sehingga sekarang, saya masih lagi menerima undangan menyanyi. Tambahan pula nak Hari Raya ini, memang banyak permintaan untuk saya. Saya tidak akan menolak rezeki kerana sekali ditolak, belum tentu rezeki itu akan datang lagi. Lagipun ia perbuatan yang Allah tidak sukai,” ujar Hail Amir anak kedua daripada tiga beradik ini.

Hail Amir penyanyi yang popular dengan lagu Kau Datang Lagi Dalam Fikiran Ku itu menyifatkan peluang menyanyi di hadapan penonton adalah terapi buat dirinya.

“Semangat saya untuk menyanyi lagi memang masih kuat lagi. Dalam usia emas ini, saya sangat gembira kerana masih menerima undangan untuk membuat persembahan. Bila dapat buat show dan menyanyi atas pentas ini ibarat ubat dan terapi buat diri saya. Kalau tidak, saya hanya duduk di rumah tanpa sebarang aktiviti. Boring juga.

“Alhamdullillah, sehingga kini Allah masih lagi mengizinkan saya untuk menyanyi, menghiburkan orang ramai. Saya gembira dan akan terus melakukannya selagi ada penganjur yang memanggil,” katanya yang selalunya pulang berhari raya ke rumah belah keluarga isterinya di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Wajah terkini Hail Amir yang tetap ceria.

Hail Amir menambah, sehingga kini, gandingannya bersama Uji Rashid masih diterima ramai di mana mereka terus mendapat undangan menyanyi di merata-rata tempat seluruh negara.

“Sampai sekarang, ramai yang masih meminati lagu-lagu duet saya dengan Uji Rashid terutamanya lagu Antara Matamu Dan Mataku dan Menunggu Nasi Minyak. Saya anggap Uji Rashid adalah pasangan duet saya yang paling serasi sejak dulu sampai sekarang.

“Saya pun kurang pasti mengapa kami diterima oleh para peminat. Mungkin suara saya dan Uji Rashid ada keserasian antara satu sama lain. Walaupun lagu-lagu yang kami nyanyikan ini sudah berusia lebih 30 tahun, namun ia terus diminati sehinggalah ke hari ini.”

Kini pada usia lebih separuh abad, Hail banyak menghabiskan masa bersama anak-anak dan cucu-cucunya, selain memenuhi undangan menyanyi dan menjalankan perniagaan jualan langsung bagi menyara kehidupannya.

Previous articleSofia Jane jalani kehidupan sebaik mungkin
Next article‘Kisah cinta Aini dengan Abang Beraim’ popularkan Aini Jasmin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here