Oleh Wawa Najwa
Foto Ehsan Sofia Jane/Koleksi Syed Wafa
Meskipun usianya sudah mencecah 52 tahun, namun wajah Datin Sofia Jane tak nampak tua. Mengakui tidak mengamalkan sebarang petua, sekadar menjalani kehidupan yang sihat saja.
Tidak dinafikan ramai yang memerhati perubahan sosok tubuh Sofia yang mula menjadi public figure seawal usia 16 tahun sebagai pelakon iklan di bawah agensi kelolaan Tiara Jacquelina.
Anak sulung daripada tiga beradik yang dilahirkan di London, England itu merupakan anak kepada pasangan Noreen Abdullah, berbangsa Inggeris dan Hisham Pilus berketurunan Melayu.
Sofia yang merupakan isteri kepada Meor Zain Azman Mohamad Taib sejak 9 September 1995 dan ibu kepada Arissa, Imran, Khadijah dan Soraya berkata apa yang penting adalah melalui kehidupan dengan sebaik-baiknya.
Pelakon tersebut juga sudah menerima menantu apabila anak sulungnya Arissa melangsungkan perkahwinan dengan jejaka asal Jerman bernama Maximilian Lotz pada 28 September 2019.
Mungkin ramai yang berpendapat Sofia ini jenis yang high demand tapi sebenarnya jika anda mengenalinya, dia adalah insan yang merendah diri.
“Saya jenis orang yang simple saja. Bagi saya perkara yang paling asas adalah kita cuba hidup sebaik mungkin, makan dan berolahraga sebaik mungkin.
“Lagi satu, kesederhanaan dalam semua perkara itulah yang paling afdal, bukan dari segi makanan saja tapi segala bentuk yang ada kait mengait dengan kemanusiaan. Bila berbuat baik sudah tentu kita mohon dipanjangkan umur agar dapat buat banyak lagi perkara baik,” katanya.
Justeru itu kata Sofia, sepanjang Ramadan, dia cuba mengelak daripada bekerja di set penggambaran. Baginya, Ramadan adalah bulan untuk diri sendiri dan keluarga.
“Dalam bulan Ramadan saya tak pernah bekerja, itulah waktu untuk diri sendiri dan keluarga serta buat apa yang tertinggal. Kita nak fokus pada diri sendiri dalam bulan Ramadan ini.
“Dari dulu saya cuba elakkan kecuali kerja yang tertangguh termasuk bulan puasa. kalau tak ada kerja saya tak akan buat. Lepas raya job dah mula perbincangan dan ada kerja yang dah diatur dari Julai sampai hujung tahun saya akan bekerja,” kata Sofia.
Sofia yang popular menerusi filem-filem lakonannya seperti Harry Boy (1992), Kekasih Awal dan Akhir (1993), Perempuan, Isteri dan… (1993) dan Sayang Salmah (1995) sempat berkongsi pengalamannya sewaktu beraya di luar negara.
Penerima anugerah Artis Paling Popular Bintang-Bintang Popular Berita Harian 1993 (ABPBH) berkata, walaupun beraya di luar negara, dia dan sekeluarga tak rasa asing.
“Masa di Australia pun saya ramai kawan-kawan yang seagama dengan kita dari Turki dan Indonesia. Cara mereka meraikan bulan puasa dan raya memang berbeza dengan kita tapi itu yang menyeronokkan.
“Di mana kita bersatu di dalam agama dari aspek itu tapi cara perayaannya pula berbeza. Ia membuka mata saya betapa pentingnya untuk kita belajar cara kehidupan orang lain, cara mereka mengamalkan apa saja untuk kita memahami dan mendalami acara mereka yang berbeza daripada kita.
“Itu yang saya ambil iktibar bila saya diberi peluang untuk mengembara untuk mengisikan diri kita dengan infomarsi yang membantu kita untuk menjadi manusia yang lebih baik. Itu saya rasa penting sekarang ini bagi diri saya.
“Bila kita mengamalkan begitu, ia lebih mudah untuk kita berkenalan dan beramah mesra dengan orang sekeliling, jadi kita lebih kaya dari segi pengetahuan. Ia buat saya aman dan bahagia yang saya mempunyai peluang begitu,” katanya yang melakonkan watak Zaitan dalam filem Mencari Ramlee yang bakal temui penonton pada tahun ini.
Kehebatan Sofia dalam bidang lakonan tidak dapat dipertikai kerana lakonan telah mengangkat namanya sebagai pemenang beberapa anugerah.
Antara anugerah yang diraih oleh Sofia adalah Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin TV3 pada 2007 menerusi karya Sebuah Ijtihad dan Pelakon Wanita Terbaik (Teater) pada 2014 untuk Anugerah Seni BOH Cameronian.
Jelas Sofia, sebelum menerima sesuatu tawaran berlakon, dia akan melihat watak yang ditawarkan dulu. Adakah watak yang ditawar itu membantu jalan cerita atau tidak.
“Saya terima apa saja, selalunya saya lihat bagaimana watak itu membantu jalan cerita tersebut. Kalau watak itu sekadar ada di situ saja tanpa ada fungsi, saya tak akan terima walaupun ia watak utama.
“Apa yang penting bagi saya adalah penulisan si penulis untuk mengembangkan watak-watak bersama jalan cerita. Dari situ saya akan membuat keputusan untuk terima atau tidak. Tidak kira watak apa pun,” katanya terus terang.
Sofia yang sempat menyertai program Citra Cipta – Hari Puisi Sedunia di Ipoh sebelum ini dan mempersembahkan monodrama berkata, dia gembira dijemput menyertai program tersebut.
“Terima kasih kerana menjemput saya dalam acara Cipta Citra ini. Saya sudah berkecimpung dalam bidang seni lebih daripada 30 tahun. Sebagai seorang pelakon tidak mendapat banyak teks yang berunsur sastera atau puisi untuk filem atau drama.
“Ini kerana industri perfileman tempatan sudah revolusi kerana berpendapat menampilkan unsur-unsur sastera susah untuk dijual filem tersebut.
“Ada juga yang cuba adaptasi dari sastera ke filem tapi tak boleh jalan sebab kita tak ada penonton yang mengenali kerja-kerja berunsur sastera dan mereka tidak didedahkan dengan perkara itu,” katanya yang berpeluang mengadakan persembahan satu pentas dengan penyair tenama.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.