Oleh: Wawa Najwa
BILA dua nama bersatu di pentas yang sama, pasti menggegarkan! Itulah yang bakal berlaku bila Dato’ Jamal Abdillah dan Dato’ Hattan menjayakan Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan di Royale Chulan, Seremban pada 29 Mac ini.
Pasti ada yang mempersoal kenapa konsert pada bulan Ramadan? Janganlah hanya menganggap kalau pergi konsert untuk bergembira saja. Apa yang penting menerusi konsert ini, ambillah pengisian daripada persembahan tersebut.
Bagi penyanyi, Kekasih Awal Dan Akhir, Jamal berharap pengisian daripada persembahannya dengan Hattan tidak hanya diterima dari sudut nyanyian semata-mata, tetapi apa yang lebih penting adalah makna Ramadan dalam diri.
“Saya berharap agar pengisian daripada persembahan kami tidak hanya diterima dari segi kebolehan nyanyian semata-mata, tetapi lebih jauh lagi, agar makna Ramadan yang mendalam dapat terserap dan dihayati oleh setiap individu yang mendengarnya.
“Agar kita semua tahu, pentingnya untuk menyampaikan pesan keagamaan bukan saja menerusi dakwah dan ceramah, tapi juga melalui seni dan hiburan,” katanya tentang konsert yang dianjur oleh Berkat Budi dengan kerjasama HS Shazlicious Trading itu.
Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan turut mendapat kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan selaku rakan strategik. Sumbangan juga bakal diberikan kepada bekas atau balu anggota polis dan artis kelahiran Negeri Sembilan yang kurang berkemampuan.
Sementara itu, Hattan yang sebelum ini mengumumkan mahu bersara daripada nyanyian pada Jun depan berkata, beliau memilih untuk menjayakan persembahan ini kerana mahu berkongsi pentas dengan legenda dalam industri muzik tempatan yang dianggap sesuatu yang mengujakan.
“Saya memang mahu berkongsi pentas bersama legenda dalam industri muzik tempatan. Ia adalah satu peristiwa yang tidak hanya menarik, tetapi juga dinantikan dengan penuh keterujaan oleh peminat setia muzik tempatan.
“Sesuatu yang cukup istimewa untuk dapat berkongsi pentas dengan seorang legenda dalam industri muzik tempatan. Ia pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Semoga persembahan ini akan memberikan inspirasi dan kegembiraan kepada semua yang hadir menonton,” katanya.
Berkongsi mengenai persembahan pada Konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan, Hattan berharap penonton yang hadir bukan sahaja dapat berhibur, tetapi juga memberi suntikan rohani dalam diri mereka sesuai dengan bulan suci Ramadan ini.
“Saya berharap agar penonton dapat merasai kegembiraan yang luar biasa dan juga mendapat inspirasi rohani yang membangkitkan semangat mereka dalam bulan mulia Ramadan ini.
“Insya-Allah, saya bersama Dato’ Jamal bakal mempersembahkan kesinambungan muzik dengan begitu indah dalam suasana yang penuh dengan keberkatan ini,” katanya.
Bagi yang ingin menonton konsert ini, tiket menerusi penjualan meja dijual pada harga RM15,000 (Table VVIP), RM12,000 (Table VIP), RM8,000 (Table Platinum), RM6,000 (Table Gold) dan RM4,000 (Table Silver). Untuk tempahan boleh menghubungi Hatta 018 223 9934 dan Shasha 019 769 5588.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.