Inteam sekali lagi berkolaborasi dengan Khai Bahar menerusi lagu "Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24)".

Oleh: Wawa Najwa

PADA 2020, kumpulan Inteam pernah bekerjasama dengan penyanyi Khai Bahar menerusi lagu “Setanggi Syurga” yang dinyanyi semula.

Tahun ini, sekali lagi Khai menjadi pilihan Inteam untuk berkolaborasi menerusi lagu “Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24)”. Lagu “Rabiatul Adawiyah” antara lagu yang dimuatkan dalam album “Impian Kekasih” yang diterbitkan pada 2001.

Khai Bahar secara peribadi memang peminat lagu-lagu dendangan Inteam.

Menurut Syah atau Mohd Syahril Abdul Khalid, Inteam masih mahu berkolaborasi dengan Khai kerana antara mereka ada keserasian.

“Kami pernah bekerjasama dengan Khai Bahar di dalam ‘remake’ lagu “Setanggi Syurga” pada tahun 2020 dan kami melihat kerjasama tersebut sangat serasi dan mendapat sambutan hangat dari peminat serta suara Khai juga sesuai dengan lagu-lagu Inteam.

“Melihatkan maklum balas tersebut, rasanya tak salah untuk kami meneruskan kerjasama dengan Khai dan dia juga tidak menolak,” kata Syah tatkala ditanya kenapa memilih Khai untuk berduet dalam lagu “Rabiatul Adawiyah 2024”.

Bagi Khai, 30, yang memang meminati lagu-lagu dendangan Inteam, pelawaan daripada kumpulan tersebut ibarat orang mengantuk disorong bantal.

“Saya memang meminati lagu-lagu Inteam dan pernah menyanyikan lagu-lagu mereka secara ‘cover’ di media sosial. Lebih istimewa lagi, lagu “Rabiatul Adawiyah” ini adalah di antara lagu yang sangat disukai oleh arwah ibu saya dan pastinya ia menggamit nostalgia yang indah,” katanya.

Sewaktu majlis pelancaran lagu “Rabiatul Adawiyah 2024 (RA24)”, baru-baru ini.

Lagu ciptaan Munif Ahmad dari Kumpulan Hijjaz dan lirik oleh Abdul Kahar ini mengisahkan tentang serikandi sufi bernama Rabiatul Adawiyah.

“Lagu ini sangat bermakna untuk dihayati lebih-lebih lagi dengan ketibaan Ramadan kerana ia menceritakan kisah perjalanan seorang hamba Allah iaitu serikandi yang mencari Tuhannya dan akhirnya hanya meletakkan cinta Allah di dalam hatinya mengatasi segala-galanya,” jelas Hazamin atau Muhammad Hazamin Harun tentang maksud lagu ini.

Sementara itu, seorang lagi anggota Inteam iaitu Rahim pula mengulas mengenai susunan muzik baharu yang dilakukan oleh Chaan untuk lagu “Rabiatul Adawiyah” versi 2024.

“Susunan muzik oleh Chaan kali ini lebih segar dan mengikut arus semasa namun tidak sesekali menghilangkan keaslian dan penghayatan asal lagu ini. Durasi lagu juga dipendekkan sedikit dengan sebahagian besar lagu dinyanyikan Khai Bahar dan sebahagian lagi oleh Inteam sendiri,” katanya.

Apabila ditanya mengapa sering menghasilkan lagu lama nyanyian semula dan tidak lagu baharu, Hisyam Ahmad tampil menjawab.

“Sebenarnya sejak sebelum pandemik, kami telah menghasilkan lebih 10 lagu baharu seperti Labbaikallah, Love of God, I Love Muhammad, Sollu Alan Nabi, Gapura, Selimut Kasih dan lain-lain, cuma sudah menjadi kebiasaan bagi kami menjelang Ramadan untuk menyanyikan semula lagu lama dan berduet dengan artis arus perdana.

“Ini kerana lagu-lagu lama ini ada unsur nostalgia dan kami cuba memperkenalkan semula lagu-lagu berkualiti terdahulu kepada generasi sekarang yang mungkin masih belum dilahirkan ketika lagu ini dilancarkan dahulu,” ulas Hisyam.

Lagu “Rabiatul Adawiyah 2024” dilancarkan pada 8 Mac lalu dan kini berada di seluruh platform digital seperti Spotify, Deezer, Apple music, Kkbox termasuk rangkaian YouTube Inteam Digital.

Previous article‘Rosz Ignite’ Peluang Untuk Menjadi Usahawan Berjaya Bersama Datuk Sri Rozita Ramelan!
Next articleJamal Abdillah, Hattan bersatu jayakan konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here