Oleh Nury Kadir

Ada satu doa yang Nabi SAW ajarkan sebelum melangkah keluar dari rumah dan doa itu sangat ‘powerful’. Doanya pendek sahaja iaitu hadis daripada Anas bin Malik, bahawa sesungguhnya Nabi SAW bersabda: “Seorang lelaki (termasuk perempuan) apabila dia keluar daripada rumahnya, lalu dia berkata

بِاسْمِ اللهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ

Maksudnya: “Dengan Nama Allah, aku bertawakkal kepada-Nya, dan tiada daya dan kekuatan melainkan daripada Allah.”

Maka akan dikatakan kepadanya (yakni para malaikat akan mendoakannya): “Sesungguhnya kamu akan diberi hidayah, dicukupkan (keperluan) dan dipelihara (dalam musafir agar selamat sampai dan selamat kembali).” Lalu syaitan-syaitan akan menjauhkan diri daripadanya, sedang syaitan yang lain berkata: “Mana mungkin engkau boleh menghadapi seorang lelaki yang sudah dipandu dengan hidayah, dicukupkan dan dipelihara!” (Riwayat Abu Daud)

Doanya pendek tapi di situ letaknya kebergantungan kita kepada Sang Pencipta yang Maha Berkuasa. Penyerahan diri bulat-bulat kepada-Nya kerana kita manusia yang tiada daya tiada upaya kecuali Allah yang Maha Berkuasa. Percayalah jika ada kesulitan Allah akan tolong, segala keperluan akan dicukupkan dan sentiasa berada perlindungan semasa dalam perjalanan sehingga kembali dengan selamat.

Man inside vehicle
Photo by JESHOOTS.com on Pexels

Sedangkan hendak keluar rumah pun ada doanya, apatah lagi jika hendak memulakan perjalanan yang jauh atau bermusafir. Mengikut satu pandangan fuqaha’, musafir bermaksud seseorang yang melakukan perjalanan jauh melebihi dua marhalah atau 81 kilometer (seperti yang dinyatakan dalam www.muftiwp.gov.my). Itu bermakna perjalanan balik ke kampung jika melebihi 81 kilometer juga termasuk di dalam bermusafir, jadi jangan lepaskan peluang berdoa seperti yang Nabi Muhammad SAW ajarkan.

Semua doa yang dinukilkan di dalam atrikel ini dipetik daripada www.muftiwp.gov.my , sebagai panduan kita bersama agar perjalanan selamat dan sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Mari mulakan dengan doa yang dipetik daripada Al-Quran dalam surah al-Zukhruf ayat 12-14, Allah berfirman:

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12) لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13) وَإِنَّا إِلَىٰ
رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (14)
Maksudnya: “Dan (Dia-lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya.”Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

Imam al-Alusi berkata dalam tafsir Ruhul Ma’ani, “Sesungguhnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menentukan arah tuju haiwan tunggangan mahupun alam semesta hanya Allah sahajalah yang mampu untuk berbuat demikian.”

Manakala Imam Ibnu Kathir menjelaskan, Ia bermakna kekuatan, kalau tidak kerana bantuan daripada Allah SWT kepada kita, tidaklah mampu kita melakukan apa-apa.” Seperti yang tercatat dalam tafsir al-Quran al-Azhim, berkata, Ibnu Abbas Qatadah dan Assadi dan juga Ibnu Zaid bahawa yang dimaksudkan dengan “مقرينين” adalah yang mampu atau boleh dikawal.
Imam Fakrurazi di dalam tafsir al-Kabir, “Tiada kekuatan bagi kami mahupun upaya untuk diikat haiwan tunggangan mahupun alam semesta juga tidak mampu bagi kami untuk menetapkan kedua-duanya (supaya tidak lari). Maha Suci Allah yang telah memberi bantuan kepada kami dengan ilmu-Nya dan kebijaksanaan-Nya serta kesempurnaan kudrat-Nya”.

Kemudian perhatikan pula hadis riwayat Ibn Umar yang menyebut Rasulullah SAW berdoa jika ingin bermusafir. Baginda akan duduk tetap di atas binatang tunggangannya lalu apabila tunggangannya mula bergerak, Baginda membaca:
اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali! Ya Allah! Kami mohon daripada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan dikira sebagai amalan yang Engkau redha. Ya Allah kami mohon agar musafir ini menjadi ringan atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika musafir! Penjaga bagi ahli keluarga yang ditinggalkan! Ya Allah! Kami mohon agar engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga.” (Riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud).

Ketika mensyarahkan hadis itu Imam al-Baidhawi menjelaskan, ‘al-wa`tha’ bererti kepayahan dan kesusahan. Manakala ‘al-kaabah’ bermaksud keadaan yang buruk dan suatu bentuk kesedihan. Dikehendaki daripada hadis ini, doa memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan dan daripada kepulangan yang teruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan, kematian).

Imam al-Nawawi berkata: “Hadis ini menunjukkan sunat memulakan permusafiran dengan membaca doa ini. Manakala Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam doa ini terkandung permohonan hamba itu agar Allah SWT melindungi daripada sebarang kesusahan, kepayahan dan menjauhkannya daripada perkara yang menyedihkan.

Di dalam doa itu juga terkandung rintihan hamba itu agar Allah SWT menjaga baginya setiap yang telah ditinggalkan dan setiap yang terpisah disebabkan permusafiran ini daripada ahli keluarga serta harta. Ini dapat difahami agar Allah SWT mengubah segala perkara yang tidak baik kepada hanya perkara yang baik dan menggembirakan serta nikmat-nikmat yang berterusan.

Nabi SAW juga mengajarkan kepada kita doa orang musafir kepada orang yang ditinggalkan seperti yang disebut dalam hadis daripada Abi Hurairah Rasulullah SAW bersabda,”Sesiapa yang ingin pergi, hendaklah dia mendoakan orang yang dia tinggalkan,

أَسْتَوْدِعُكُمُ اللَّهَ الَّذي لا تَضِيعُ وَدَائِعُهُ
Maksudnya: “Aku mengamanahkan kamu kepada Allah yang tidak pernah hilang simpanan-Nya.” (Riwayat Ahmad, al-Nasa’ie dan Ibn Majah).

Syeikh Sa’id al-Qahtani berkata, “Hendaklah orang bermusafir berdoa untuk kaum keluarga dan orang yang dikasihinya, “Semoga Allah menjaga kamu dan aku jadikan kamu dalam hifzillah (pemeliharaan Allah) dan ri’ayah-Nya.”

Abu Hurairah R.A turut meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila salah seorang kamu akan pergi, maka hendaklah dia mendoakan saudara-saudaranya yang akan ditinggalkan. Kerana sesungguhnya Allah SWT menjadikan kebaikan dalam doa mereka.” (Riwayat -Tabarani dalam al-Awsat dan Abu Ya’la dalam Musnadnya)

Doa Kepada Orang Bermusafir

Unrecognizable woman riding train and looking out window
Photo by Genine Alyssa Pedreno-Andrada on Pexels

Dalam sebuah hadis sahih, diceritakan bahawa apabila ada seseorang yang hendak berjalan jauh, Ibnu Umar berkata kepada orang tersebut, “dekatlah kepadaku, akan aku doakan engkau, sebagaimana Rasulullah SAW mendoakan kami jika kami akan pergi.
Lalu Ibn Umar berkata:
أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ
Maksudnya: “Aku doakan agar Allah memelihara agamamu, amanahmu dan penutup-penutup amalmu kepada-Nya.” (Riwayat al-Nasa’ie dan al-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah R.A menyebut, “Bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak berjalan jauh. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda, Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya:
اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ ، وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ
Maksudnya: “Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata, “Pesanan agar bertakwa kepada Allah supaya sentiasa takut dan berwaspada dari melakukan maksiat kepada-Nya. Sedangkan perintah untuk bertakbir pada tempat yang tinggi kerana sifat ketinggian disukai oleh nafsu yang boleh merasakan takabbur lantas diperintahkan orang yang terkeliru dengan hal ini agar diperingatkan dengan kebesaran Allah. Di samping itu, ia melahirkan kesyukuran kepada-Nya dan akan mendapat lebih banyak kurniaan Tuhan.

Lengkap sudah panduan sebelum memulakan perjalanan balik beraya di kampung. Semoga doa yang dititipkan di sini menjadi amalan sebelum memulakan perjalanan agar sentiasa dalam peliharaan Allah SWT. Doa itu akan makbul jika selalu diamalkan dan meletakkan sepenuh keyakinan hanya kepada Allah.

Previous articleJamal Abdillah, Hattan bersatu jayakan konsert Kepadamu Kekasih Simfoni Ramadan
Next articleDuit raya 100K dan dua buah kereta menanti pengunjung bertuah Starvendors

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here