Oleh Nafsiah Jani
Foto Afhzahafiez Kamaruddin/Koleksi Syed Wafa

Mungkin bagi sesetengah penyanyi beranggapan, tugas mereka hanya menyanyi dan tidak perlu berfikir banyak. Selesai membuat persembahan selesailah kerja mereka. Namun ini tidak kepada penyanyi Muss atau nama sebenarnya, Mustaffa Din kerana pengalaman lebih 30 tahun dalam industri muzik banyak mematangkan dirinya.

Populariti yang dikecapinya tidak pernah membuatkan Muss berbangga dengan dirinya. Dari dulu hingga sekarang, itulah dia Muss seorang yang baik hati, peramah, cukup merendah diri dan menghormati semua orang tak kira siapa pun yang ditemuinya.

“Kerja kami orang ingat mudah, hanya menyanyi sahaja. Tapi itu tidak kepada saya kerana format yang saya amalkan inilah yang membuat saya kekal relevan sehingga hari ini. Mungkin bagi sesetengah penyanyi mereka tidak mengambil kira tentang penampilan dan persembahan mereka berbanding saya.

Di awal kemunculan Muss dalam dunia seni bersama kumpulan May

“Sejak dulu lagi, secara otomatik keluar dari rumah saya anggap diri keluar bekerja dan bila nak menyanyi bukan sekadar persembahan yang saya fikirkan. Saya kena fikirkan cara nak bercakap dengan peminat, penampilan kerana segala gerak-geri saya diperhatikan peminat. Itu sebabnya bila ‘bekerja’ saya tak mahu pandang ringan benda-benda itu…saya cukup jaga semuanya. Format inilah yang buat saya terus kekal dalam industri muzik ini,” kata Muss anak kelahiran Ipoh, Perak ini.

Sesuai dengan usianya yang kini sudah menjangkau 55 tahun, namun Muss masih laku dipasaran sebagai penyanyi solo lelaki. Kehebatan, kelunakan suaranya dan tidak berkira tentang bayaran membuatkan Muss masih menerima banyak undangan menyanyi.

Muss bersama kumpulan May telah gegarkan dunia muzik rock tanah air.Pengilbatan awalnya bersama kumpulan May sejak 1986 berakhir pada awal tahun 2019 setelah bertahun-tahun bersama. Malah namanya juga ditukar dari Mus May kepada Muss.Sejak itu Muss bergerak solo dan menyertai seketika kumpulan Strangers, Wings dan terkini bersama kumpulan Barbarik.

“Saya masih bergerak solo dan Barbarik adalah projek band. Anggota kami yang lain semuanya ada kerja mereka sendiri. Namun kami serius dengan muzik bila ia melibatkan projek berkumpulan. Grup kami ketuanya Joe Wings, saya, Ainol (dram), Rozaimi (bass) dan Adi (keyboard)

Kini Muss dan kumpulan May hanya tinggal seribu kenangan.

“Bulan puasa ini kami rancang rakam dua buah single untuk kumpulan Barbarik yang menampilkan irama perlahan dan past. Masa dengan May dulu saya memang tak pandai sangat tentang muzik. Tapi bila dah lama-lama dan saya pula bila minat sesuatu saya akan fokus dan nak tahu detail apa yang saya perlu tahu dan buat. Akhirnya banyak yang saya tahu tentang muzik ini.

“Bila berkait dengan muzik atau menyanyi saya memang serius. Itu sebabnya saya suka bekerja dengan Joe Wings sebab dia memang detail bila bab bekerja. Tambah pula, saya ini jenis suka nak ambik tahu dan nak buat lebih detail,’’ kata Muss yang juga seorang pencipta lagu dan penulis lirik.

Kini Muss ( Berdiri paling tengah) bersama projek band, Barbarik.

Ditanya sampai bila dia akan menyanyi, dengan pantas Muss menjawab, “Sejak umur belasan tahun lagi saya dah minat menyanyi dan bidang ini dah sebati dalam diri ini kerana sebahagian besar dunia saya adalah nyanyian. Saya suka menyanyi kerana ia kerjaya saya dan menyanyi juga adalah hidup saya.
“Berpegang pada prinsip, saya akan melakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh, hingga semaksimun mungkin atau hingga habis kemampuan saya. Saya memang tak suka buat cincai-cincai. Tapi adalah dalam hidup saya…ada dua atau tiga perkara saya buat lebih kurang. Bila buat kerja saya sukakan kepuasan,’’ kata Muss yang pernah membintangi filem Hantu Kak Limah 3 (2018) arahan Mamat Khalid.

Sepanjang pembabitannya, Muss pernah tampil dengan album bersama kumpulan May iaitu Juara-Juara Rock 1, 2 & 3 pada tahun 1987, Dilema (1988), Hakikat (1989), Rahsia (1990), Strategi (1991), Sinar (2003), Otai Jamm!!! (2004), Live & Unplugged at Planet ’05 (2005), Otai Jamm 2 (2006), Rock Klasik (2008).

Kehebatan Muss ketika beraksi di atas pentas.

Manakala album solo beliau pula ialah Gemilang (1993), Optimis (1994) dan Akustika Istimewa (1995). Bersama Strangers dengan sebuah album Strangers (1992) dan bersama kumpulan Wings pula tampil dengan album Biru Mata Hitamku (1996), Puisi Aidilfitri (1996), Masterpiece JS Kevin & Wings (1997), Double Trouble 2, bersama Search (1998), Mencari Asal Usul (1998) dan Best Of Wings 2 (1999).

Tak mahu lupa diri

Walaupun dirinya sudah berada di puncak, namun Muss tidak mahu lupa diri. Hingga kini Muss masih sanggup mengambil komen-komen peminat untuk memperbaiki dirinya untuk jadi yang lebih terbaik.

Gaya seorang rockers yang berjaya dan diminati ramai.

“Kalau nak memperbaiki diri…kita kena dengar cakap orang terutamanya peminat kerana komen mereka dari hati yang luhur. Itu cara boleh buat kerjaya kita terus berjaya, selebihnya usaha sendiri. Lagipun kita ini manusia, bukan semuanya sempurna.

“Kadang ada juga orang yang tak suka apa yang kita buat. Kita sebenarnya tak mampu nak penuhi kehendak semua orang, jadi kita buat semampu yang boleh. Lagipun permintaan orang, bukan semua kita dapat penuhi…kita buat semampu yang boleh. Begitu juga dengan komen peminat, jika elok saya akan ikut demi karier.

Masih banyak menerima undangan show di seluruh negara.

“Nak berjaya, kita kena sentiasa merendah diri, tak berbangga dengan apa yang kita ada. Kadang-kadang orang puji kita…kita jadi bangga dan lupa diri. Tapi percayalah, itu semua tak ada dalam diari hidup atau fikiran saya. Saya akan cuba elak jadi begitu. Kita ini manusia dan mudah lupa…ialah bila dah berjaya,” kata Muss yang bersyukur kerana sehingga kini masih banyak menerima undangan menyanyi berbanding artis-artis seangkatannya.

 

Muss bersama isteri tercinta, Suraya.

Menurut Muss yang popular dengan lagu Hakikat Perjuangan dan Sinar, dia tak pernah terfikir nak dikenali sebagai artis legenda kerana sejak dulu dia memang minat menyanyi.

“Tak pernah terlintas dalam kepala dan target saya nak jadi artis legenda kerana impian saya minat muzik dan nak jadi penyanyi. Kalau boleh biarlah saya begini terus kekal dengan imej dan identiti saya sendiri,”ujar Muss lagi yang kini bahagia bersama isterinya Suraya yang juga merangkap pengurusnya.

Muss masih berbisa!

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, Muss juga pernah menyertai Gegar Vaganza musim ke-7 pada tahun 2020 dan berjaya bergelar Naib Juara. MSebelum bergelar penyanyi, Muss juga pernah memenangi gelaran Penyanyi Terbaik dalam Pertandingan Juara Rock Malaysia (1986), Juara Rock Perak (April 1986) dan Juara Rock Malaysia (November 1986).

Malahan album nyanyiannya, Hakikat (1990) terjual melebihi 200,000 dan menerima Anugerah Cakera Platinum Berkembar Empat. Album Rahsia (1991) pula terjual melebihi 160,000 unit dan menerima Anugerah Cakera Platinum Berkembar Tiga. Album Sinar pula dipilih sebagai Album Hard Rock Terbaik, penerbit Bong dalam Anugerah Industri Muzik ke-11 (2004) dan begitu juga dengan album Otai Jamm!!! dipilih sebagai Album Hard Rock Terbaik, penerbit Johan Aziz dalam Anugerah Industri Muzik ke-12 (2005)

Previous articleTugas Haiza bukan di konti radio saja, banyak tanggungjawab yang perlu digalas
Next articleZiana Zain kini duta CSA Academy, organisasi dalam membantu merancang kewangan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here