Oleh Wawa Najwa
Foto Ehsan Haiza/Koleksi Syed Wafa

Setiap hari pendengar berpeluang mendengar celoteh Haiza di radio Kool 101 menerusi segmen Pagi On Point Extended bersama Datuk Aznil dan Muaz dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.

Pasti ada yang kata seronoknya kerja sebagai penyampai radio sebab waktu kerjanya tak lama macam orang kerja di pejabat. Jelas Haiza, tugasnya tidak habis di konti saja, malah beliau ada tugas-tugas lain yang perlu dilakukan sebaik melangkah keluar dari konti.

“Kalau orang tengok kerja hakiki kat radio saja, di mana saya bersiaran dari Isnin hingga Jumaat, hari-hari orang dengar suara saya, kecuali kalau saya cuti.

Album pertama Haiza pada tahun 1995 yang menjadikan beliau seorang anak seni yang berjaya hingga sekarang.

“Tugas saya bukan setakat di konti saja tapi juga di luar. Saya kena kental dan tahan sikit la sebab kadang-kadang kena shooting di luar waktu konti, dalam keadaan panas. Ini semua untuk pendengar tersayang.

“Tambah-tambah bila kena buat content dalam bulan Ramadan ini, itu tugasan yang pendengar tak tahu. Tahu-tahu saja ada video baharu kat media sosial. Bagi saya bekerja di bulan Ramadan atau tidak, kerja tetap sama.

“Sebenarnya orang tak tahu selepas melangkah keluar dari konti radio saya juga seorang penyanyi, seorang hos, pengacara majlis dan saya juga masih rindukan kerjaya lakonan,” akuinya.

Haiza yang mula dikenali ramai sebagai penyanyi dan popular dengan lagu “Dag Dig Dug…Mana Tahan” itu, rupa-rupanya sudah menyertai empat stesen radio.

Bermula dari jam 6 pagi hingga 10 pagi Haiza akan ke udara dari stesen radio Kool 101.

“Sampai sekarang ini, saya sudah kerja dengan empat stesen. Yang pertama dengan Wanita FM tapi itu macam jemputan dan seminggu sekali sebab saya bukan kerja sepenuh masa di situ.

“Stesen kedua yang mengambil saya sebagai penyampai radiao adalah KLFM bermula 2012 hingga 2014. Pada 2015 pula saya bersama dengan Best FM selama setahun dan pada 2016 hingga kini saya bekerja di Kool 101 di bawah syarikat Media Prima Audio,” katanya.

Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 44, berkata, walaupun kerjanya semakin bertambah namun di waktu yang sama, kerjayanya sebagai penyanyi tetap diteruskan.

Menurut Haiza, dalam bulan Ramadan ini beliau terlibat dengan Festira atau Festival Ramadan Selangor untuk membuat persembahan di beberapa tempat di bawah PKNS (Perbadanan Nasional Negeri Selangor) di seluruh Selangor setiap hari minggu.

Haiza tidak mahu terikat dengan satu genre muzik saja.

Sepanjang bergelar penyanyi, kata Haiza, beliau bersyukur kerana ada tiga lagu raya baharu, selain lagu-lagu raya yang didendang semula atau permintaan syarikat rakaman.

“Saya gembira kerana sempat merakam tiga lagu raya yang dicipta khas untuk saya, antaranya “Rindu Di Anjung Lebaran” pada 2017, ciptaan Datuk S. Atan.

“Sebenarnya, saya mendapat nasihat daripada Allahyarham Datuk Nasier Wahab. Arwah pernah cakap pada saya, selagi Datuk S. Atan tu sihat, pergilah dapatkan lagu raya daripadanya.

“Sekurang-kurangnya artis Malaysia ni mesti ada satu lagu raya daripada beliau. Itu yang saya terus pergi kepada komposer tersohor itu dan dapatlah lagu “Rindu Di Anjung Lebaran”.

“Siapa yang tak kenal dengan sentuhan lagu raya Datuk S.Atan. Orang Malaysia ni kebanyakannya membesar dengan lagu-lagu raya ciptaannya. Ibaratnya, kalau 100 lagu raya kita dengar 99 daripadanya adalah ciptaan dia.

Haiza akan ķeluarkan album menggunakan kos sendiri.

“Alhamdulillah, setakat ini saya ada tiga lagu raya. Biar tak banyak tapi sekurang-kurangnya ada kerana bila nyanyi di khalayak ramai, kita nyanyi lagu sendiri selain lagu raya orang lain. Sekurang-kurangnya untuk repertoir saya ada lagu sendiri,” katanya yang berhasrat untuk mengeluarkan album.

Untuk album ini, kata Haiza kalau boleh beliau nak siapkan cepat sebab menggunakan duit sendiri. Buat masa ini Haiza belum rakam lagi tapi sudah tanya beberapa orang yang bakal terlibat dalam projek tersebut.

“Saya tak mahu terikat dengan satu genre saja, kalau boleh album yang bakal dikeluarkan nanti ada pelbagai genre. Cukup orang dah kenal saya dengan dangdut, itupun dah alhamdulillah. Untuk buat album ini, saya lebih suka pelbagaikan genre.

“Saya suka ambil contoh Biduanita Negara Allahyarham Datuk Sharifah Aini kerana saya membesar dengan lagu-lagu dia dari kecil sampai sekarang. Kebanyakan artis lama tak hadkan diri dengan satu genre saja, sebab itu artis lama kalau kita campak kat mana-mana pun, petik saja lagu apa, mereka boleh nyanyi lagu itu.

“Sharifah Aini banyak warna dalam dirinya. Dia boleh nyanyi rentak Asli, Melayu Deli, dangdut dan pop. Sedikit sebanyak contoh yang saya nampak itu saya nak apply dalam album sendiri,” katanya penuh semangat.

Tatkala ditanya, siapakah penyanyi yang ingin beliau berduet bersama jika diberi peluang. Kata Haiza, jika ada rezeki beliau mahu berduet dengan Haziq Rosebi.

Sepanjang Ramadan ini Haiza sibuk dengan acara Festira.

“Duet dengan penyanyi lain memanglah ada impian tapi tak tahulah orang yang kita sebut ni sudi ke nak berduet dengan kita. Kadang-kadang orang ini kita tak boleh nak baca, kalau nyanyi dengan Haiza gini ke gitu, kita tak tahu. Pada hal saya ini sangat terbuka dan tak kisah.

“Satu nama yang saya sangat selesa dan boleh dengan dia ialah Haziq Rosebi yang saya dah kenal dan pernah pergi bercuti bersama. Saya mengenali keluarganya. Rasanya, kalau nak bekerjasama dengan Haziq sangat selesa. Kalau event show orang minta nama, itulah nama pertama yang saya cadangkan,” katanya.

Disebabkan Ramadan ini Haiza terikat dengan Festira, beliau tidak berpeluang untuk menyertai mana-mana festival jualan seperti selalu.

“Saya tak sempat nak sertai mana-mana festival yang jual produk sebab terlalu sibuk dengan aktiviti Festira pada hujung minggu. Saya juga terlibat dengan iftar bersama peminat dan orang ramai. Banyak jemputan dan tak dapat nak bahagi masa untuk sertai festival jualan kecuali sebelum puasa sempat berniaga di Singapura, Februari lalu.

“Sebenarnya ada tawaran untuk buka booth tapi terpaksa tolak sebab keberadaan saya tak dapat dijanjikan. Kalau sertai festival jualan, saya jenis suka berada di lokasi. Ada orang akan upah orang lain dan muncul sekali-sekala.

“Saya tidak, walaupun ada staff, saya tetap akan berada di situ sampailah tutup. Saya faham orang datang nak jumpa kita. Untuk bulan Ramadan tahun ini saya tak sempat untuk berada di mana-mana festival jualan.

“Kalau peminat nak beli produk saya, My Haiza Perfum, saya masih buat jualan di dalam talian dan mereka akan hubungan saya secara langsung dan ia berjalan seperti biasa,” katanya lagi.

Boleh dikatakan setiap tahun, Haiza akan mengadakan acara Rumah Terbuka sempena Syawal.

“Acara Rumah Terbuka antara aktiviti tahunan yang saya sangat suka buat. Agaknya tabiat saya ini ikut mak sebab mak memang suka meraikan, kalau bukan orang kampung, kawan-kawan dia sebab mak saya ni seorang peniaga.

“Dari dulu ada saja Hari Pelanggan dan macam-macam hari dia suka buat untuk jamu tetamu. Jadi saya ni sedikit sebanyak terikut juga dengan perangai mak yang suka menjamu orang itu. Nasib baiklah suami (Norhanapfe Omar) faham dan suka buat macam tu tapi masih melihat kepada bajet.

“Jika ada rezeki lebih, kita berkongsi bersama-sama. Insya-Allah untuk acara Rumah Terbuka lepas raya nanti, saya akan cadangkan kepada suami untuk buat. Saya suka buat ini untuk jamu kawan-kawan dan di waktu yang sama dapat kumpul ahli keluarga sekali,” ujarnya.

Previous articleBayi gugur? Ini yang perlu anda tahu! (Bahagian 1)
Next articleMuss, legenda rock yang masih popular !

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here