Salma Asis kembali dengan single "Atas Nama Cinta'.

Oleh: Wawa Najwa

SERING menyertai program realiti televisyen seperti Mentor musim kelima pada 2011, All Together Now (2022), 3 Juara (2016) dan telah melancar single sulung, “Seruan Jiwa’ pada 2013 dan “Maafkan” pada 2014.

Selepas itu Salmah Andi Asis atau nama komersialnya, Salma Asis, 34, mempertaruhkan single “Akhirnya Cinta” pada Oktober 2017 dan ternyata lagu tersebut layak dipertandingkan di Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32).

Kemudian pada Januari 2019, Salma muncul dengan single “Stop Love” hasil nukilan Ajai dan ia merupakan lagu rancak pertama dendangannya.

Harap single baharunya itu mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Walaupun sudah ada beberapa single namun rezeki Salma dalam bidang nyanyian tidak terus melonjak seperti rakan-rakan artis lain.

Tanpa mahu mengaku kalah, kini Salma tampil mempertaruhkan single “Atas Nama Cinta” yang diperkenalkan pada 23 Februari lalu.

Salma berharap “Atas Nama Cinta” hasil ciptaan bersama Knight Cydeen dan Syaf Ramli dapat memacu kembali namanya dan sekali gus memahat posisi selesa pada perjalanan karier seninya selepas hampir 13 tahun berjuang.

“Sebelum Atas Nama Cinta, ada beberapa single yang saya hasilkan cuma kurang mendapat sambutan. Namun saya sentiasa percaya dengan rezeki yang tertulis dan berusaha mencari lagu baharu yang memenuhi kehendak saya serta peminat.

“Sebaik mendengar lagu ini, terdetik di hati saya untuk merakamkannya sebagai single terbaharu. Saya tertarik dengan komposisi dan lirik lagu ini yang sangat puitis.

“Kali pertama mendengar demo dan menghayati bait liriknya, saya seperti mahu menangis. Serius, ia sangat menyentuh hati dan perasaan membuatkan saya tidak mampu menolaknya,” kata anak kelahiran Tawau, Sabah itu.

Salma mengakui, pengalaman lalu banyak membantunya sepanjang menyiapkan proses rakaman Atas Nama Cinta.

Dalam mengejar impian Salma tidak pernah mengalah.

Mengambil masa dua jam untuk melengkapkan kerja rakaman, Salma berkata, dia memanfaatkan semua pengalaman selama 13 tahun berada dalam industri muzik dan dicurahkan sepanjang merakamkan “Atas Nama Cinta”.

“Salma membuat persediaan lebih rapi, terutama dalam memahami melodi dan lirik supaya dapat memberikan penghayatan yang terbaik ketika proses rakaman. Salma tahu ramai yang menaruh harapan tinggi untuk melihat Salma terus mencipta kejayaan.

“Alhamdulillah, pengalaman lalu banyak membantu Salma ketika menyiapkan single ini. Mungkin dulu Salma lebih memikirkan bagaimana untuk mencapai nota-nota tinggi ketika menyanyi, tetapi sekarang itu bukan lagi keutamaan.

“Salma kini lebih memberikan fokus kepada penghayatan kerana mahu pendengar benar-benar merasai nyanyian Salma. Itu lebih penting kerana Salma mahu nyanyian Salma lebih seimbang, pada masa sama menyentuh hati ramai,” katanya.

“Atas Nama Cinta”, akui Salma, sedikit istimewa kerana lagu itu pernah cuba dirakamkan oleh beberapa penyanyi, tetapi tidak diterbitkan atas beberapa alasan.

“Mungkin ini yang dikatakan rezeki. Alhamdulilah, apabila lagu ini sampai ke tangan saya, semua proses berjalan dengan begitu baik sekali. Cuma dari sudut susunan muzik, saya minta diubah sedikit untuk disesuaikan dengan cara penyampaian saya.

“Secara peribadi, saya tiada masalah untuk bekerja dengan komposer senior atau baharu. Saya tidak pernah meletakkan sebarang syarat kerana apa yang penting, saya mahu terus melangkah, berusaha dan bekerja keras untuk memastikan karya saya diterima.

“Saya yakin pada rezeki dan siapa tahu lagu ini dapat membawa saya untuk kembali beraksi di pentas AJL selepas kali terakhir membolosi dengan “Akhirnya Cinta” pada AJL 32,” katanya.

Salma mahu melakar kejayaan besar dalam karier seninya.

Mengulas mengenai cabaran dan persaingan dalam industri muzik, Salma tidak menafikan ada ketika dia terkesan apabila peminat sering membandingkan kemampuannya dengan penyanyi lain.

Bagi Salma, seperti insan lain, dia juga mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Justeru, dia berharap peminat lebih terbuka dan menerima kekurangan serta kelebihannya kerana itu yang membentuk identitinya sebagai Salma.

“Saya berterima kasih kepada peminat yang sentiasa memberi kata perangsang dan semangat untuk saya terus berkarya. Cuma, saya berharap mereka menerima saya dengan segala kelebihan dan kekurangan yang saya ada.

“Pada era media sosial, perjalanan seseorang anak seni itu lebih mencabar tetapi saya sentiasa positif. Saya peka dengan komen yang diberikan dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

“Lagu “Atas Nama Cinta” sangat bermakna buat saya kerana ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus bertahan dalam industri muzik. Pastinya saya ingin membawa bakat ini pergi lebih jauh,” katanya.

Menyifatkan kelahiran “Atas Nama Cinta” sebagai permulaan yang baik untuk 2024, Salma menyimpan impian untuk mencipta nama lebih besar di rantau Nusantara, termasuk menembusi pasaran Indonesia.

“Itu antara impian besar saya dan semua itu tidak mustahil jika kita bekerja keras. Namun, saya akur, semua itu berbalik kepada rezeki. Saya sangat berharap “Atas Nama Cinta” menjadi pilihan untuk dimainkan di stesen radio dan dapat dicalonkan dalam carta Muzik Muzik.

“Doakan semoga usaha terbaharu saya ini membuahkan hasil kerana saya juga memasang impian untuk melakar kejayaan besar dalam karier yang saya cintai ini,” katanya.

Previous articleYbae Suria Masuk Kampung untuk berkongsi rezeki
Next articleInilah Ramadan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here