Oleh Nury Kadir

Selamat datang Ramadan. Artikel kali ini akan buat ulangkaji sedikit beberapa permasalahan puasa yang sering menjadi persoalan. Semua jawapan yang diberikan pernah dibincangkan di dalam www.muftiwp.gov.my.

Mari kita mulakan dengan permasalahan niat. Sebagaimana yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat dan setiap orang (perbuatannya) dikira berdasarkan apa yang diniatkan. (Riwayat Muslim)

Niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib. Tanpa niat maka tidak sah puasa seseorang itu. Ini kerana berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat. Firman Allah SWT dalam surah al-Bayyinah ayat 5, maksudnya: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya.”

SOALAN: Bagaimanakah caranya untuk berniat puasa?

JAWAPAN: Dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi agar ianya dinamakan berniat. Kebanyakan kitab-kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya.
Al-Jazm (الجزم): yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
Al-Ta’yiin (التعيين): penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ianya puasa Ramadan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura). Tidak memadai dengan berniat secara mutlaq untuk berpuasa.
Al-Tabyiit (التبييت): menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.
Berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW riwayat Hafsah, maksudnya: “Barang siapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).” (Riwayat Abu Daud).

Photo by Thirdman: Photo by Thirdman

SOALAN: Adakah perlu memperbaharui niat pada setiap malam atau memadai dengan niat 30 hari sekaligus dipermulaan niat?

JAWAPAN: Dalam menjelaskan permasalahan ini para ulama telah membahagikannya kepada dua pendapat:
Pertama- Puasa boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat. Ianya sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu berniat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain. Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.

Kedua- Tidak memadai dengan niat sebulan sekaligus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam. Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadis Hafsah seperti yang dinyatakan di atas. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya). Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak. Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.

Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini maka niat perlu diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa. Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan dipermulaan niat, maka tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.

SOALAN: Apakah perlu menyebut “fardhu” ketika berniat?

JAWAPAN: Orang yang tidak menetapkan “fardhu” di dalam niat puasanya, puasanya adalah sah kerana ia bukanlah perkara yang wajib di dalam niat (bagi puasa yang wajib). Walaupun begitu, menetapkan “fardhu” ketika berniat adalah termasuk di dalam kesempurnaan niat. Oleh itu, bagi mendapatkan niat yang sempurna, perlu disertakan “fardhu” ketika berniat.

Perbezaan niat puasa yang wajib dan sunat pula adalah diwajibkan tabyit dan ta’yin bagi puasa yang wajib dan tidak diwajibkan pada puasa yang sunat. Tabyit adalah menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas terbenamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar yang menandakan masuknya waktu solat Subuh. Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.

Adapun ta’yin pula adalah menentukan jenis puasa tersebut seperti puasa Ramadan, nazar, kaffarah dan juga Qadha’. Justeru itu, menetapkan “fardhu” di dalam niat puasa (puasa yang wajib) bukanlah wajib mengikut pandangan yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie kerana tidak berlaku kepada orang yang telah baligh dan berakal melainkan apa yang fardhu sahaja.

SOALAN: Sekiranya seseorang itu tidak berniat puasa pada malam hari tetapi bangun sahur sebagai persiapan untuk berpuasa, adakah sah puasanya?

JAWAPAN: Puasa adalah salah satu ibadat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada hamba-hambanya. Maka, setiap ibadat atau perbuatan yang khusus dilakukan kerana Allah SWT memerlukan niat sebagai membezakan di antara ibadat dan adat kebiasaan seperti membezakan di antara orang yang menahan diri daripada makan dan minum kerana berpuasa dengan orang yang tidak mempunyai makanan untuk dimakan.

Imam Ibn hajar al-Haithami menjelaskan, sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat). Terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa.

Puasa orang yang melakukan sahur dan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa sebelum fajar lagi dikira sah walaupun orang itu lupa menghadirkan niatnya secara khusus.

SOALAN: Biasanya orang bujang suka makan sahur awal sebelum tidur dengan alasan malas hendak bangun sebelum waktu imsak. Adakah waktu mereka makan sebelum tidur dikira waktu bersahur atau waktu bersahur adalah hanya pada waktu imsak?

JAWAPAN: Baginda Nabi SAW menyarankan umatnya untuk bersahur kerana terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatan padanya. Ini seperti hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA sabda Nabi SAW, maksudnya: “Hendaklah kamu bersahur kerana dalam makanan sahur itu ada keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari).

Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat bahawa bersahur merupakan perkara yang disunatkan dan digalakkan. Ianya bukanlah perkara wajib namun pada zahirnya terdapat keberkatan ketika bersahur.

Waktu Sahur dan Afdhal Melewatkannya
Imam al-Nawawi menyebut di dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, waktu sahur di antara pertengahan malam dan terbitnya fajar.

Imam Khatib al-Syirbini juga menyebut perkara yang sama, iaitu masuknya waktu sahur adalah pada pertengahan malam seperti yang disebut oleh Imam al-Rafi’e di dalam al-Iman dan disebut berkenaan dengannya di dalam al-Majmu’. Dan mengikut pandangan yang lain masuknya (waktu sahur) pada seperenam akhir waktu malam.

Dr Muhammad Zuhaili dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, waktu sahur adalah di antara pertengahan malam dan terbit fajar dan ianya dikira bersahur sama ada dengan makan yang banyak atau sedikit dan ia dikira bersahur juga dengan hanya minum air. Dan disunatkan supaya melewatkan sahur.

Hal ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Hakim binti Wada’ menyebut bahawa aku mendengar Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Bersegeralah berbuka puasa dan lewatkanlah bersahur.” (Riwayat al-Thabrani)

Imam al-Nawawi juga menyatakan telah bersepakat ashab mazhab Syafi’e dan para ulama selainnya bahawa sahur itu Sunnah dan melewatkannya adalah afdhal.

Kadar melewatkan waktu sahur dengan waktu fajar adalah sekadar 50 bacaan ayat al-Quran. Ini sepertimana yang diceritakan tentang sifat sahur Baginda SAW hadis daripada Zaid bin Thabit menyebut, maksudnya: “Kami telah bersahur bersama Nabi SAW kemudian kami mendirikan solat (solat sunat). Aku telah berkata (iaitu Anas bin Malik RA bertanyakan kepada Zaid bin Thabit RA): “Berapakah kiranya (masa) di antara azan dan sahur itu?”. Jawab Zaid bin Thabit RA: “Sekadar bacaan 50 ayat (al-Quran).” (Riwayat al-Bukhari)

Setelah mengambil pendapat ulama, boleh dijelaskan bahawa makan sahur pada awal waktu malam ianya tidak dinamakan sebagai bersahur dan tidak mendapat fadhilat Sunnah.

Ini seperti yang disebut oleh al-Syeikh al-Dimyati, bahawa waktu sahur itu masuk pada pertengahan malam, maka sekiranya makan pada waktu sebelumnya (pertengahan malam) bukanlah dinamakan waktu sahur. Oleh itu tidak mendapat pahala Sunnahnya bersahur. Afdhal melewatkannya dekat dengan waktu fajar kadar bacaan 50 ayat al-Quran.

Begitu juga yang dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri bahawa makan sebelum sampai pertengahan malam (Nisfu al-Lail) tidak mendapat Sunnah bersahur kerana waktu sahur bermula pada pertengahan malam sehingga terbitnya fajar.

BERSAMBUNG
*Artikel akan datang memberi tumpuan kepada beberapa masalah berkaitan wanita ketika berpuasa.

Previous articleAyah Ibu, single sulung Amir Sisi
Next articleCEO FINAS harap penerbit filem bijak dalam mempromosi filem!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here