Oleh Wawa Najwa
Sejak menjadi salah seorang peserta program realiti The Chosen One, nama Amir Sisi, 13, kanak-kanak Orang Asli suku kaum Temiar yang berasal dari Pos Kemar, Gerik, Perak, mula mendapat perhatian ramai.
Atas bimbingan Putera Muhammad, seorang penyanyi dari kumpulan MADAM, Amir dinobatkan sebagai juara bagi program realiti televisyen The Chosen One musim pertama.
Keserasian gandingan mereka terbukti apabila hampir setiap minggu Amir berjaya memukau hati juri dengan nyanyiannya yang merdu dan unik. Sosok kecil yang berbakat besar ini juga mempunyai auranya yang tersendiri dan sering memberi kelainan dalam setiap persembahannya.
Kejayaan yang diraih itu memberi peluang kepada Amir untuk bekerjasama dengan komposer terkenal Ikhwan Fatanna untuk single sulungnya yang bertajuk, ‘Ayah Ibu’.
Lagu ini mengisahkan tentang pengorbanan ayah dan ibu dalam membesarkan anak-anak. Mesej yang ingin disampaikan dalam lagu ini juga sangat dekat dengan kehidupan Amir dari pedalaman.
Single yang pertama ini juga merupakan hadiah daripada Rocketfuel Entertainment untuk Amir di atas kemenangan beliau dalam program realiti tersebut.
Proses rakaman lagu ini juga agak mencabar memandangkan Amir masih lagi bersekolah dan tinggal di kawasan pedalaman yang agak jauh dari Kuala Lumpur.
“Amir rasa sangat gembira dan teruja dengan lagu ini sebab ini merupakan single pertama Amir. Terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan kepada Amir khasnya kepada ibu bapa, cikgu-cikgu dan rakan-rakan yang ada bersama sejak dari mula sehingga ke hari ini.
“Terima kasih juga kepada pihak Rocketfuel Entertainment kerana percaya dengan Amir dan memberikan peluang untuk menghasilkan lagu ini.
“Perasaan ini sangat sukar digambarkan dengan kata-kata jadi Amir berharap agar lagu ini dapat memberi kesan yang baik kepada semua dan mesej yang disampaikan dapat diterima ramai. Teruskan memberi sokongan yang padu dan Amir berjanji akan sentiasa membanggakan ibu dan ayah Amir,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Rocketfuel Entertainment, Prem Anand berkata, pihak mereka telah menyedari bakat Amir sejak awal lagi.
“Kami telah menyedari potensi Amir semenjak kemunculan pertama Amir dalam sebuah program realiti dan pihak kami terus mengikuti perkembangannya sehingga tamat program.
“Apabila Amir dinobatkan sebagai juara, kami merasakan ini adalah masa yang sesuai untuk terus membantu mengembangkan bakatnya. Amir juga merupakan salah seorang artis rakaman di bawah naungan syarikat pengurusan Rocketfuel Entertainment,” jelas Prem Anand.
Lagu ‘Ayah Ibu’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.