Selain berlakon Erma Fatima juga seorang pengarah, penulis skrip dan penerbit.

Oleh Wawa Najwa
Foto Ehsan Erma Fatima/Koleksi Syed Wafa

Nama Erma Fatima tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau adalah antara aktres yang berjaya mencatat nama sebagai Pelakon Wanita Terbaik untuk Festival Filem Malaysia kesembilan (1990) dan ke-11 (1994), menerusi filem Hati Bukan Kristal dan Femina.

Meskipun pembabitan awalnya pada 1986 sebagai pelakon, namun dari masa ke semasa Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 56, berjaya membentuk dirinya menjadi pengarah, penerbit dan penulis skrip.

Cuma sejak kebelakangan ini, Erma yang diperkenalkan menerusi filem ‘Rozana Cinta 87’, arahan Nasir Jani jarang menonjolkan dirinya sebagai pelakon kerana lebih tertumpu dengan kerja-kerja di belakang tabir.

Filem ‘Hati Bukan Kristal’ kerjaya besar Erma Fatima sebagai pelakon, melalui filem ini beliau memenangi Pelakon Wanita Terbaik di FFM 1990.

Erma yang mengarah filem pertama ‘Jimi Asmara’ pada 1995, lakonan Allahyarham Hani Mohsin turut mengangkat namanya sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Seoul, Korea Selatan.

Manakala drama arahan Erma yang menjadi bualan hingga kini adalah ‘Tahajjud Cinta’, ‘Dejavu Di Kinabalu’ dan ‘Ratu Jamu’. Erma yang sinonim dengan karakter Mak Cun yang diperkenalkan pada 2014 memberitahu penulis, beliau kini tidak lagi mengarah dan berlakon.

Sering menjadi cover majalah ternama tanh air.

“Saya dah lama berhenti mengarah dan berlakon, kecuali terpaksa berlakon watak Mak Cun. Tak boleh nak tukar orang dah. He…he…he tapi masih menerbitkan drama. Drama ‘Lelaki Itu’ sebanyak 30 episod terbitan produksi Rumah Karya Cinta itu akan keluar Ramadan ini.

“Antara pelakon yang menjayakan drama arahan Along Kamaluddin dan Nur Sharif ini adalah Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Fazura, Nabila Huda, Aedy Ashraf dan Hana Delisha,” beritahunya tentang drama yang bakal disiarkan di slot Samarinda, setiap Isnin hingga Khamis, 10 malam di TV3.

Bagaimanapun kata Erma, jika diizinkan Allah, beliau mahu memberi nokhtah pada karier pengarahannya dengan sebuah filem Islamik berjudul ‘Murtad’ pada tahun ini.

Erma mahu tumpukan kepada kerja-kerja dakwah sebagai persiapan masa depan.

“Pada usia sekarang ini tak ada apa lagi yang nak dikejarkan di dunia ini. Buat masa sekarang, saya memang lebih mengutamakan persiapan untuk akhir hayat.

“Alhamdulillah, sekarang ini saya berada di Makkah menunaikan umrah dan bersama kru untuk shooting drama ‘Lelaki Melayu Terakhir’ yang dilakonkan oleh Fattah Amin serta Wanna Ali,” katanya tentang drama arahan Datin Seri Umie Aida yang bakal ditayangkan di TV3 itu.

Bersama sahabat artis.

Sempena kedatangan Ramadan, Erma juga mengatur beberapa program dakwah yang telah dimulakan sejak setahun lalu dan aktiviti yang memberi manfaaf kepada orang ramai itu akan diteruskan selagi terdaya.

“Aktiviti yang terdekat akan dilakukan sempena Ramadan ini adalah tadarus Quran selama 30 hari tanpa berhenti sepanjang bulan puasa ini.

Sebelum bersara sebagai pengarah Erma mahu terbitkan filem Islamik.

“Sebenarnya tahun lepas Ribath Fatimah Az Zahra telah buat 168 jam tanpa henti. Tahun ini kita sasarkan 30 hari tanpa henti. Doakan ya, semoga program ini berjalan lancar.

“Menerusi Ribath Fatimah Az Zahra banyak sudah program agama yang saya anjurkan. Saya juga ada sebuah rumah mengaji yang saya buka secara percuma untuk sesiapa saja yang nak mengaji,” katanya yang pernah membawa beberapa agamawan dari Indonesia untuk berkongsi ilmu dengan rakyat tempatan.

Sering menganjurkan festival perniagaan dan majlis ilmu.

Memandangkan watak Mak Cun ditonjolkan sebagai seorang usahawan, dalam kehidupan harian pun Erma tetap mengikut jejak karakter yang dilakonkannya itu.

Jelas Erma sejak tahun lalu lagi, beliau telah mengendalikan festival jualan menerusi syarikat miliknya.

Erma, bahagia dengan kehidupannya kini.

“Festival jualan itu memang dah buat dari tahun lepas lagi. Bukan apa bila saya anjurkan aktiviti begini, dapatlah peniaga atau yang baru nak berjinak-jinak dengan bisnes menjual produk mereka.

“Selagi ada permintaan, saya akan usahakan untuk menganjurkan festival jualan yang dikendalikan oleh Syarikat Event Erma Specktra,” ujarnya.

Previous articleSering Sakit Perut? Mungkin Anda Tak Subur! (Bahagian 1)
Next articleHati, single baharu Ramlah Ram

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here