Afdlin Shauki artis serba boleh!

Oleh: Nafsiah Jani
Foto : Afhzahafiez Kamaruddin/Koleksi Syed Wafa

Bertuah sungguh seorang lelaki bernama Datuk Afdlin Shauki Aksan. Bintangnya bukan saja bersinar dalam dunia perfileman, dia juga kini merupakan Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan Media Sdn. Bhd. yang merupakan subsidiari milik Yayasan Wilayah Persekutuan yang juga pemilik WilayahKu sejak 2 Mei lalu.

Bukan itu saja kredibilitinya sebagai penerbit, pelawak, pengarah, pelakon filem, penulis skrip dan penyanyi juga telah melayakkan Afdlin Shauki, 52, dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) yang baharu bagi penggal 2024 hingga 2025.

Soal Hati filem pertama Afdlin Shauki membawakan watak romantis bergandingan dengan Erra Fazira.

Kini Afdlin Shauki merupakan salah seorang Ahli Lembaga Penasihat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya hanya buat kerja-kerja pentadbiran dan saya bertuah kerana diberi kebebasan untuk terus berkarya. Lagipun saya berada dalan jawatan Non Eksekutif dikedua-dua tempat itu sebabnya tak ada masalah untuk saya aktif dalam bidang perfileman, terus mengarah dan berlakon,’’ kata Afdlin anak kelahiran Johor ini.

Afdlin Shauki anak sulung daripada 10 beradik ini menambah, kini tugasnya mengembangkan lagi operasi penerbitan akhbar WilayahKu.

Buli filem pertama arahan Datuk Afdlin Shauki.

“Tugas saya sekarang sebagai pengerusi akhbar WilayahKu ialah menaikkan sasaran pembaca dan buat portal baru. Kami juga ada rancangan nak kembangkan lagi penerbitan dengan menerbitkan semula majalah hiburan macam dulu-dulu. Konsep kami lain sikit kerana kami nak bagi orang susah menjualnya bagi mencari pendapatan.

“Macam kat United Kingdom ada akhbar jalanan,The Big Issue yang dijual gelandangan dengan keuntungan yang dapat menyara kehidupan mereka. Contohnya, mereka beli pada harga kos RM2.00 dan boleh menjual pada harga RM10.00 dengan keuntungan sebanyak RM8.00. Itulah yang cuba saya nak buat tidak lama lagi.

“Idea ini yang saya nak gunakan bagi membantu gelandangan di negara kita. Kami akan cari gelandangan yang hendak bekerja dan ada pendapatan sendiri berbanding sebelum ini hanya duduk menagih simpati dan tunggu bantuan orang ramai. Bila kami bagi mereka menjual majalah ini nanti, adalah sesuatu untuk gelandangan ini berusaha.

Filem Papadom arahan Afdlin Shauki memenangi empat anugerah dalam Festival Filem Malaysia ke-22.

“Mungkin mereka juga akan dibekalkan baju bagi menyatakan mereka adalah agen jualan DBKL. Tempat jualan yang strategik adalah ditempat-tempat orang awam menunggu untuk menaiki pengangkutan awam. Kini kami baru merancang dan harap idea saya ini dapat dilaksanakan tahun ini juga.”

Sesuai dengan jiwanya yang lebih terarah membuat kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan, jadi tidak hairanlah sebelum ini Afdlin pernah ke Jordan pada tahun 2016 dan tahun berikutnya bersama Yayasan Kubra dan Yayasan Pendidikan Qasimul Ulum ke Beirut, Lubnan menyertai misi kemanusiaan membantu pelarian Syria.

Bapa kepada Mia Sara, Anais dan Ileana Matin ini dikurniakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dengan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 26 September 2017.

Baik Punya Cilok antara filem komedi terbaik arahan Afdlin Shauki.

Afdlin seronok mengarah filem

Walaupun masanya kini terhad, namun Afdlin Shauki tidak mahu minatnya mengarah filem terhenti begitu sahaja. Dalam kesibukannya dengan kerjaya barunya, Afdlin masih sempat mengarah dan berlakon dalam beberapa buah filem.

“Mungkin dah jiwa seni dan seronok mengarah filem dan berlakon, buat saya tak boleh nak tinggalkan bidang ini. Tahun lepas saya baru siapkan filem Harimau Malaya: The Untold Story berdasarkan kisah benar mengenai pasukan bola sepak negara kita berada ditangga tercorot 180 dan sekarang sudah berada di kedudukan 130.

“Itulah yang akan saya tonjolkan perubahan yang telah dilakukan pihak pentadbiran yang selama ini dihentam pelbagai pihak. Ditambah pula dibawah pimpinan jurulatih dari Korea, Kim Pan Gon membuatkan pasukan bola sepak negara kita kembali menyinar dan dapat menyertai pertandingan bola sepak dalam Piala Asia AFC.

Pengarah popular Afdlin Shauki

“Pelakon yang saya pilih semestinya yang boleh berlakon dan bermain bola sepak. Filem ini dah siap shooting pada tahun lepas dan kalau tak ada halangan April ini akan ditayangkan. Saya harap peminat dapat berbangga dan menyokong filem ini,’’ kata Afdlin lagi.

Tambah Afdlin lagi, kini ada beberapa buah filem yang menanti untuk dia arahkan.

“Sekarang ini saya sedang sibuk dengan beberapa filem antaranya yang bercorak patriotik yang saya selitkan dengan unsur-unsur hiburan juga. Selepas itu, filem bertajuk Adam dan Eva: Cari Baby. Ceritanya berkisar tentang sukarnya ibu bapa yang tidak mempunyai anak ingin mendapatkan anak angkat.”

Afdlin Shauki sewaktu memperkenalkan pelakon-pelakon filem Harimau Malaya: The Untold Story.

Lakonannya yang bersahaja membawa watak, Ahmad Daniel dalam filem Soal Hati telah melayakkan Afdlin dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin Panca Delima 2000.

Manakala percubaan pertamanya sebagai penulis skrip dan pengarah filem Buli telah membuahkan hasilnya. Melalui filem ini, Afdlin menerima anugerah Sutradara Harapan, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM ke-17)

Manakala filem Papadom arahannya juga turut memenangi anugerah FFM ke-22 sama bagi kategori Cerita Asal Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Filem Terbaik dan Skor Muzik Terbaik untuk Filem.

Suka membuat kerja-kerja kebajikan dan sukarelawan

Garapan filem Sumolah yang mantap dan bagus membuatkan filem ini ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Fukuoka. Manakala filem arahannya Papadom dijemput bertanding dalam Festival Filem Antarabangsa Asia Pasifik yang diadakan di Taiwan pada Disember 2009. Filem ini turut bertanding dalam Festival Filem Osaka Asia 2010 di Pertandingan Antarabangsa dan menerima tempat ke-3 bagi kategori Anugerah Pilihan Penonton daripada 12 buah filem yang mengambil bahagian.

Previous articleHati, single baharu Ramlah Ram
Next articleSet promosi Crispy Buttermilk Chicken dapat sambutan hangat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here