Oleh: Asmat Fikri
Sakit pinggang, perut memulas, tarik urat rasa macam nak putus, kejang! Setiap bulan, pasti ada wanita yang tak terlepas merasainya. Sakit, pening, mual, rasa nak pitam dan sakit badan adalah rasa yang akan hadir bila dekatnya tempoh ‘datang bulan’. Sakit itu dinamakan senggugut.
Senggugut kerap dialami oleh golongan wanita yang masih datang haid. Ia sering kali menjadi keluhan kerana boleh mengganggu emosi dan mental setiap wanita yang nengalaminya.
Malah ia turut mengganggu kerja-kerja seharian dan menjadi sebab utama mereka tidak pergi ke sekolah atau kerja. Sengugut ini sakitnya tidak dapat dijelaskan, hanya yang mengalami sahaja mengetahui.
Maksud senggugut
Menurut laman website rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu MyHeatlh.my, Senggugut dalam bahasa Inggeris dipanggil “dysmenorrhoea” adalah kesakitan yang dialami di bahagian bawah perut atau pelvis semasa datang haid. Pelvis adalah tempat di mana organ berikut berada iaitu rahim, ovari (kilang telur), dan saluran falopio dan pundi kencing.
Setiap orang mungkin mengalami keadaan yang berbeza dengan tempoh yang juga berbeza. Ada wanita mengalami senggugut sebelum keluar darah haid, ada yang sakit ketika haid di hari pertama dan ada juga pengalaman mereka yang keluar selepas dari haid.
Jenis senggugut
Menurut MyHealth juga, senggugut ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
- Senggugut Primer
Senggugut ini berlaku kepada kebanyakan perempuan remaja tetapi tidak mempunyai patologi di pelvis dan rahim, setelah pemeriksaan oleh doktor. Ia biasanya berlaku selepas enam hingga 12 bulan dari akil baligh apabila kitaran ovulasi bermula. Tetapi ia juga boleh berlaku dalam kalangan wanita yang masih subur. - Senggugut Sekunder
Senggugut ini disebabkan oleh patologi di pelvis dan rahim yang biasanya berlaku di kalangan wanita yang lebih berumur dan masih subur. Sebab-sebabnya :-- Penyakit Endometriosis.
Penyakit ini dihidapi oleh 5-15% wanita yang mempunyai haid. - Cyst Ovari dan tumor
- Fibroid (bengkak pada rahim). Kesakitan ini berlaku semasa kedatangan haid yang banyak.
- Jangkitan ke rahim atau saluran dari rahim ke kilang telur (penyakit radang pelvis).
- Kongenital (contoh: Rahim bicornuate, rahim subsepta).
- Alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD). Senggugut boleh jadi lebih teruk semasa penggunaan ini pada sekumpulan kecil wanita.
- Penyakit Endometriosis.
Punca Senggugut
Lebih daripada 60% perempuan remaja mengalami senggugut primer. Satu dalam 10 wanita mengalami kesakitan yang teruk sehingga mengganggu aktiviti seharian.
Perkara ini lebih kerap berlaku kepada seseorang yang merokok, mereka yang mengalami akil baligh yang lebih awal dan mempunyai haid yang banyak.
Senggugut jarang berlaku di kalangan wanita yang pernah atau baru bersalin dan yang menggunakan pil perancang.
Menurut laman Hello Doktor yang sering berkongsi tentang Kesihatan dari sudut pandang pakar bertauliah, senggugut boleh datang dengan banyak cara.
Antara penyebab berlakunya senggugut adalah seperti berikut:
- Sindrom pramenstruasi (PMS)
PMS adalah kondisi biasa di mana berlaku perubahan pada keseimbangan hormon dalam tubuh badan. Ia biasa akan berlaku satu atau dua minggu sebelum tempoh haid bermula.
Bagi sesetengah wanita pula, sindrom ini akan menyebabkan rasa sakit yang mungkin abnormal. Bantuan ubatan dan rawatan mungkin sangat diperlukan oleh mereka ini. - Endometriosis
Ia adalah kondisi yang akan berlaku apabila sel dari lapisan rahim itu tumbuh di bahagian tubuh badan lain seperti di ovari, tiub fallopio atau lapisan tisu pada pelvik. - Fibroid
Ia adalah kondisi yang akan berlaku apabila wujud tumor bukan kanser yang memberi tekanan pada rahim. Kebiasaannya, ia sukar untuk dikesan di peringkat awal. - Radang pelvis
Penyakit radang pelvis ini disebabkan oleh infeksi bakteria faraj pada ovari, tiub fallopio atau rahim. Ia akan jadi punca radang pada organ pembiakan wanita imdan membuatkan rasa sakit. - Stenosis serviks
Kondisi ini akan jadi punca serviks wanita mengecil dan menyempit lantas melambatkan aliran haid pada saluran darah. Kesannya, maka akan wujud tekanan pada rahim. - Adenomiosis
Ia adalah kondisi jarang berlaku di mana tisu patut wujud di luar rahim tumbuh pada dinding otot rahim. Selain tekanan, ia juga akan jadi punca keradangan dan kesakitan. Selain menjadi antara punca sakit senggugut teruk, adenomiosis juga boleh buat haid lebih berat dan lama. - Ketidaknormalan pada rahim
Sekitar 5% wanita di dunia ini lahir dengan rahim abnormal di mana 25% daripada jumlah itu berisiko tinggi mengalami keguguran atau melahirkan bayi pramatang. Kondisi yang jadi sejak dari lahir ini juga adalah antara punca senggugut teruk berlaku pada wanita.
Begitulah, jika anda pernah mengalami senggugut, pastikan dapat rawatan selanjutnya kerana dikhuatiri akan lebih membahayakan kesihatan. Ini kerana, kesannya bukan nampak hari ini, tapi pada masa akan datang.
Ikuti sambungan cara merawat senggugut di artikel akan datang..
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.