Photo by Masjid Pogung Dalangan on Unsplash

Oleh Nury Kadir

Sebelum masuk bab doa bulan Rejab, apa kata kita sambung sedikit hal puasa sunat. Ini kerana tidak lama lagi akan sampai 27 Rejab atau Israk Mikraj dan ramai yang mengambil kesempatan berpuasa sunat sebagaimana biasa yang diamalkan.

Adakah puasa 27 Rejab termasuk dalam puasa yang disunatkan? Sebelum menjawab, rasanya lebih baik kita sentuh dahulu mengenai peristiwa Israk Mikraj itu sendiri. Di kalangan ulama, tidak sependapat dengan tarikh sebenar berlakunya peristiwa tersebut. Namun yang pasti, ia berlaku sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah.

Ada banyak pendapat ulama mengenai tarikh tersebut antaranya 17 Rabiulawal, Zulkaedah, Syawal, Ramadhan, Rejab, 17 Ramadhan, 27 Rejab dan banyak lagi. Sedangkan tarikh berlakunya peristiwa itu pun tidak disepakati ulama, jadi mana mungkin ada solat sunat 27 Rejab sempena Israk Mikraj.

Berikut adalah jawapan yang diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (www.muftiwp.gov.my), bahawa sebarang bentuk puasa sunat tidak dianggap sunat melainkan terdapatnya nas, sama ada daripada al-Quran atau hadis yang menggalakkan puasa sunat tersebut.

Mengikut kitab al-Fiqh al-Manhaji ada beberapa puasa sunat yang memang ada sandaran dari Al-Quran dan hadis:

1. Puasa pada Hari Arafah

Sunat berpuasa pada 9 Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Ini berdasarkan hadis, daripada Abu Qatadah katanya: “Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Arafah. Baginda bersabda, maksudnya: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” (Riwayat Muslim).

Hari Arafah adalah hari yang afdhal antara hari yang lainnya. Ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Tiada hari lain yang lebih banyak Allah membebaskan hamba-hamba-Nya daripada api neraka selain hari Arafah.”(Riwayat Muslim).

Adapun orang yang sedang mengerjakan ibadat haji, tidak sunat berpuasa pada hari tersebut. Bahkan mereka disunatkan berbuka mengikut perbuatan Nabi SAW, di samping menguatkan tenaga untuk berdoa pada hari tersebut.

2. Puasa hari Asyura’ dan Tasu’aa’

Asyura’ adalah hari yang ke-10 bulan Muharam, manakala Tasu’aa’ pula adalah hari yang ke-9 pada bulan tersebut. Ini berdasarkan hadis, daripada Ibn Abbas katanya: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura’ dan Baginda menyuruh puasa pada hari tersebut.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manakala dalam hadis yang lain pula, daripada Abu Qatadah, Rasulullah SAW ditanya tentang puasa pada hari Asyura’. Baginda bersabda, maksudnya: “Ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu.”(Riwayat Muslim).

Hadis seterusnya, daripada Ibn Abbas katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Jika aku masih hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada hari yang kesembilan Muharram.” (Riwayat Muslim).

Namun, Rasulullah SAW telah wafat sebelum tiba masa tersebut. Hikmah berpuasa hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’ adalah untuk berhati-hati daripada kemungkinan berlaku kesilapan awal bulan. Begitu juga halnya supaya tidak menyerupai perbuatan orang Yahudi. Mereka juga berpuasa pada hari ke-10 bulan Muharam. Justeru, sesiapa yang tidak berpuasa pada hari Tasu’aa’ dan hari Asyura’, maka disunat berpuasa pada hari yang ke-11 bulan tersebut.

Photo by Monstera Production: https://www.pexels.com/photo/multiethnic-couple-praying-at-table-before-eating-5996995/

3. Puasa pada hari Isnin dan Khamis

Dalil sunat berpuasa pada kedua-dua hari tersebut ialah hadis daripada Aisyah R.Anha, katanya, “Rasulullah SAW mengambil berat tentang puasa pada hari Isnin dan Khamis.” (Riwayat al-Tirmizi).

Hadis seterusnya, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Semua amalan dipersembahkan pada hari Isnin dan Khamis. Justeru, aku ingin amalanku dipersembahkan ketika aku sedang berpuasa.” (Riwayat al-Tirmizi).

4. Puasa selama tiga hari pada setiap bulan

Hari yang afdhal untuk melakukan puasa sunat ialah pada malam bulan mengambang, iaitu pada hari yang ke-13, 14 dan 15 setiap bulan Islam yang dikenali juga sebagai hari-hari putih. Ini berdasarkan hadis, daripada Abu Hurairah katanya, maksudnya: “Rasulullah SAW meminta aku melakukan tiga perkara, iaitu puasa selama tiga hari pada setiap bulan, solat Dhuha dua rakaat dan solat Witir sebelum tidur.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis seterusnya, daripada Abu Qatadah katanya Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Kelebihan puasa pada tiga hari setiap bulan menyamai puasa sepanjang tahun.”(Riwayat Muslim).

Hadis yang lain pula, daripada Abu Dzar katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sekiranya engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, puasalah pada 13, 14, dan 15 haribulan.” (Riwayat al-Tirmizi).
Begitu juga hadis, daripada Qatadah bin Milhan katanya, maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14, dan 15 haribulan. Baginda juga bersabda: Puasa tiga hari tersebut seolah-olah puasa sepanjang tahun.” (Riwayat Abu Daud).

Walau bagaimanapun, puasa pada 13 Zulhijjah dikecualikan kerana haram berpuasa pada hari tersebut.

5. Puasa enam hari di dalam bulan Syawal

Cara yang afdhal adalah puasa berturut-turut sebaik sahaja selepas Hari Raya Aidilfitri. Namun, cara demikian tidaklah menjadi syarat. Malah, sunatnya tetap didapati, sekalipun dilakukan secara berselang-selang hari. Ini berdasarkan hadis daripada Abu Ayub Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, dia seolah-olah berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim).

Berdasarkan kitab ini dan juga dalil-dalil yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita bahawa puasa 27 Rejab tidak dianggap termasuk dalam puasa-puasa sunat yang dituntut kecuali ia berlaku pada hari Isnin atau hari Khamis.

Doa Rejab dan Sya’ban

Di dalam Musnad Imam Ahmad: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW bersabda:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ، قَالَ: “اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي رَمَضَانَ”. وَكَانَ يَقُولُ: ” لَيْلَةُ الْجُمُعَةِ غَرَّاءُ، وَيَوْمُهَا أَزْهَرُ”.

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau berkatikanlah kepada kami pada bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang- benderang.” (Musnad Imam Ahmad).
Imam Ibn Sunni, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bazzar dan Abu Nu’aim juga menyebut hadis ini di dalam kitab mereka: Diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa Nabi SAW apabila masuknya bulan Rejab, Baginda SAW bersabda:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبٌ قَالَ: “اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا شَهْرَ رَمَضَانَ”. قَالَ: وَكَانَ يَقُولُ: “إِنَّ لَيْلَةَ الْجُمُعَةِ لَيْلَةٌ غَرَّاءُ، وَيَوْمَهَا يَوْمٌ أَزْهَرُ”.

Maksudnya: “Ya Allah, Kau berkatilah kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan Kau pertemukan kami dengan bulan Ramadhan”. Baginda SAW bersabda lagi: “Malam Jumaat adalah mulia dan harinya terang- benderang.” (Ibn Sunni, Amal al-Yaum wa al-Lailah, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, al-Bazzar-Musnad al-Bazzar, dan Abu Nu’aim-Hilyah al-Awliya).

Setelah melihat dan menekuni pendapat para ulama berkaitan kesahihan hadis ini, maka cenderung untuk mengatakan bahawa hadis ini sanadnya teramat lemah kerana padanya terdapat dua orang perawi yang bermasalah. Pada masa yang sama kita tidak boleh menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.

Walaubagaimanapun, matan atau teks hadis tersebut tidak mempunyai masalah jika kita ingin berdoa dengannya. Ini kerana di dalam berdoa, kita dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT selagi mana perkara yang diminta itu tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Satu lagi yang sering diviralkan setiap kali masuk bulan Rejab adalah hadis istighfar Rejab dan fadhilatnya. Sesiapa yang membacanya akan memperolehi pahala 80 ribu nabi, 80 ribu siddiqin, 80 ribu malaikat, 80 ribu mati syahid dan 80 ribu pahala haji serta umrah.

Jawapan balas yang dikeluarkan di dalam www.muftiwp.gov.my, istighfar Rejab berserta fadhilat dan kelebihannya yang dilakukan khusus pada bulan Rejab tidak ditemui asal hadis tersebut dalam mana-mana kitab hadis yang muktabar.
Istighfar secara umumnya bermaksud memohon keampunan kepada Allah SWT selaku hamba kepada Pencipta. Oleh itu, kita digalakkan untuk melafazkan istighfar dalam amalan seharian.

Dalam hadis sahih, Nabi SAW beristighfar paling kurang 70 hingga 100 kali sehari. Daripada Abu Hurairah berkata, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:“Demi Allah, sesungguhnya aku benar-benar memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya setiap hari lebih dari 70 kali.” (Riwayat al-Bukhari).

Daripada al-Aghar bin Yasar al-Muzani berkata, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:“Wahai manusia bertaubatlah kamu kepada Allah dan mintalah ampunan kepada-Nya, karena sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak seratus kali.” (Riwayat Muslim).

Dalam kehidupan seharian digalakkan beristighfar kepada Allah SWT sebanyak mungkin tanpa mengira masa, mahu pun hari tertentu. Tidak perlu tunggu Rejab, Syaaban mahupun Ramadhan untuk beristighfar.

Previous articleTahniah!… Konsert Milenia 2024 Konsert Dangdut Terbaik!
Next articlePeritnya Tiap Bulan Senggugut Teruk! – (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here