Muhammad Mahdi Karim, GFDL 1.2 , via Wikimedia Commons

Oleh : Nafsiah Jani

Penyakit demam denggi cukup ditakuti sekarang ini kerana silap langkah ia boleh membawa maut kepada penghidapnya. Kini demam denggi dilapurkan sebagai penyakit endemik di lebih 100 negara dimana tiada vaksin dan rawatan khusus serta penggunaan antibiotik yang mampu mencegah denggi dan merawat pesakit.

Peningkatan kes demam denggi juga telah mendorong masyarakat mencuba pelbagai cara dan petua moden dan tradisional untuk merawatnya. Bahkan, setiap kali ada yang menghidap demam denggi, pasti ada yang mengesyorkan pengambilan sup ketam, minuman isotonik dan jus daun betik sebagai rawatan alternatif bagi membantu meningkatkan platelet dalam darah.

Dikatakan ini semua adalah mitos kerana tiada bukti saintifik bagi menyokong dakwaan tersebut. Dikatakan daun betik boleh memudaratkan pengguna kerana mengandungi sianida yang bertindak seperti racun yang boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang sekali gus membawa maut. Manakala minuman isotonik pula mempunyai kandungan gula yang tinggi dan tidak sesuai untuk penghidap kencing manis.

Malah ada yang mendakwa punca kematian akibat demam denggi bukan disebabkan platelet darah rendah.Kebanyakan kematian pesakit denggi sebenarnya berpunca daripada kebocoran plasma akibat tiada tekanan dalam salur darah sehingga menyebabkan tekanan darah rendah dan tidak sampai ke jantung.

Image by jcomp on Freepik

Demam denggi hanya boleh berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes. Gejala biasanya berlangsung dalam tempoh dua hingga tujuh hari, dengan tempoh antara empat hingga 10 hari selepas digigit nyamuk Aedes.

Namun bagi mereka yang mengalami tanda demam denggi akan mengalami gejala demam, loya, muntah, ruam di kulit, sakit tulang, sakit kepala, otot atau sendi yang teruk. Sila pergi dan rujuk ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan dan pemerhatian yang sewajarnya daripada doktor.

Dibawah ini kami paparkan beberapa nasihat dan petua bagi rawatan alternatif untuk pesakit demam denggi:-

  1. Minum air secukupnya sekurang-kurangnya tiga liter setiap hari. Ia juga bagi mengawal suhu badan agar tidak mengalami dehidrasi. Minum air dengan banyak bukan sahaja membantu tubuh mengekalkan hidrasi, tetapi juga membantu demam yang dialami untuk lebih cepat pulih. Sebaik-baiknya, minum air yang telah dimasak.
  2. Banyakkan berehat, itulah antara pesan doktor kepada pesakit demam denggi. Rehat katanya dapat membantu memulihkan simptom yang dialami pesakit demam denggi kerana tekanan akan memburukkan demam.
  3. Orang ramai perlu menitik berat mengenai pengambilan makanan yang berkhasiat dan memenuhi nutrisi badan kerana kesannya boleh dilihat dalam jangka panjang apabila seseorang sentiasa sakit dan menghidap penyakit kronik.
  4. Demam denggi menjadi parah apabila sistem imun menjadi terlebih aktif lalu memusnahkan organ penting dalam badan seperti saluran darah, hati dan jantung. Malah bahan fenolik pada madu kelulut didapati boleh membunuh pelbagai virus seperti influenza serta herpes kerana terdapat kira-kira 700 elemen seperti antioksida, sukrosa, hidrogen peroksida dan fenol aromatik (elemen kimia).
  5. Bila seseorang dikesan demam denggi, paling ditakuti bacaan platelet mereka jatuh. Apabila kiraannya jatuh, tubuh menjadi lemah dan kuasa untuk membina semula dirinya berkurangan. Ekstrak daun betik dikatakan dapat membantu mengembalikan kiraan platelet.

    Image by takedahrs from Pixabay
  6. Pengambilan sup sama ada sup ketam nipah atau sup ketam biasa bukanlah satu alternatif untuk menyembuhkan demam denggi. Namun ia merupakan makanan yang cukup berkhasiat dan memberi zat serta dapat menambah tenaga untuk pesakit denggi.
  7. Ubat demam seperti paracetamol boleh digunakan untuk menurunkan suhu badan. Namun demikian, ubat ibuprofen atau aspirin adalah tidak digalakkan memandangkan ubat tersebut boleh menyebabkan peningkatan risiko pendarahan dalam kalangan pesakit denggi.
  8. Jus jambu merah mengandungi vitamin C dan ia meningkatkan imuniti terhadap bakteria yang terdapat dalam badan. Selain itu, ia juga dapat menyembuhkan luka dengan cepat. Air buah jambu berperanan penting untuk melawan radikal bebas dalam tubuh badan manusia.
  9. Tembikai merah juga dapat membantu mereka yang mengalami demam denggi. Tembikai merah boleh dimakan begitu saja atau dijadikan jus. Amalkan setiap hari dan ambil dalam kuantiti yang banyak kerana tembikai dapat menyejukkan badan dan menggantikan cecair yang kurang di dalam tubuh.
  10. Jus buah kiwi dan jus buah kurma juga dapat membantu mereka yang mengalami demam denggi. Hanya perlu mengisar buah kiwi yang segar kemudian diminum jusnya. Begitu juga dengan buah kurma di mana kisar lebih 15 biji isi kurma bersama segelas air masak. Minum dua kali sehari pada waktu pagi dan petang. Minum sehingga sembuh. Insya-Allah anda akan gembira dengan kesannya.

 

Previous articlePeritnya Tiap Bulan Senggugut Teruk! – (Bahagian 1)
Next articleKetegasan Mas Idayu bukan berniat negatif, sekadar berkongsi ilmu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here