Mas Idayu sering diundang menjadi juri untuk program realiti hiburan.

Oleh Wawa Najwa

Di awal kemunculannya, Mas Idayu atau Masidayu Mesnun, 52, berjaya mencipta nama sebagai salah seorang penyanyi dangdut terkenal menerusi lagu “Cintaku 100%” yang dipasarkan pada awal 1996.

Sejak itu namanya terus melonjak dan lagu-lagu daripada album “Cintaku 100%” juga berjaya menjuarai banyak carta muzik dan album tersebut terjual lebih dari 100,000 unit dalam tempoh kurang dari satu tahun hingga melayakkan beliau  menerima anugerah platinum berkembar.

Selain popular dengan single “Cintaku 100%”, lagu “Robek Hatiku” dan “Gelitik Cinta” juga menjadi perhatian pendengar.

Memberi komen demi kebaikan peserta agar mereka tahu kelemahan masing-masing.

Kejayaan terus melingkari perjalanan seni Mas Idayu apabila album Dunia Cinta terbitan Ruslan Mamat berjaya terjual melebihi 150,000 unit.

Album itu mempopularkan lagu dangdut berentak jaipong iaitu “Senggol-senggolan, Cubit-cubitan” yang diakui antara lagu dangdut yang cukup malar segar hingga kini. Bukan itu saja, lagu seperti “Selangit” dan “Satu Tambah Satu” yang dimuatkan dalam album tersebut juga mendapat perhatian ramai.

Lebih manis lagi album tersebut dicalonkan sebagai Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-5 dan memenangi kategori Album Dangdut Terbaik menewaskan saingan dari Iwan Syahman dan Amelina.

Kini nama Mas Idayu atau senang membahasakan dirinya dengan panggilan Mummy lebih menyerlah sebagai juri untuk program realiti televisyen.

Sebelum menjadi juri, pernah menjadi mentor kepada Black Hanifah untuk program Mentor musim ketiga (2009). Berkat didikan dan tegurannya, Black muncul sebagai juara untuk musim tersebut.

Pada tahun 2015 beliau dipilih untuk menyertai barisan pengkritik tetap di pertandingan D’ Academy Asia. Kini ibu kepada Nur Dayini Ashiqah, 26, itu diberi tanggungjawab sebagai juri tetap untuk program Famili Duo.

Turut mendapat kepercayaan stesen televisyen Indonesia untuk menjadi juri bagi program D’ Academy Asia.

Kebanyakan peserta dapat menerima komen daripada Mas Idayu dengan hati terbuka tapi netizen pula yang tidak puas hati dengan apa yang dilontarkan oleh penyanyi itu.

“Selama saya menjadi juri, belum pernah terfikir nak jatuhkan orang lain.Tak ada komen yang menjatuhkan perserta ! Tiada ! Firm (tegas)  itu bukan menjatuhkan, bila kita firm dengan nada yang kuat, lebih kepada ingin buat mereka (peserta) lebih baik untuk persembahan seterusnya.

“Bila seseorang menilai orang dengan menghina, dengan perkataan kotor, menyebut hingga keturunan, itu satu penghinaan! Dalam program TV, mana boleh mghina atau body shaming?

“Apa yang saya betulkan adalah cara mereka bernyanyi dan menyanyi, dengan cara saya, nampak tak mentaliti mereka berfikir, sebab itu saya malas berdebat, semua pun boleh menilai, saya tetap saya.

“Kecuali ada program yang suruh saya tukar jangan jadi diri sendiri dan menyokong kepada peserta yang tak bagus, saya tak akan ambil program tu, untuk jatuhkan nama saya, sebagai juri atau komentator,” katanya yang berpegang kepada prinsip tatkala memberi pandangan.

Mas Idayu antara penyanyi dangdut Malaysia yang masih aktif.

Ternyata selepas 33 tahun dalam bidang seni membuatkan penyanyi asal Kota Tinggi, Johor ini lebih kental dan tidak mudah goyah dengan tanggapan orang sekeliling.

“Masaalah kutukan cacian hinaan netizen terhadap saya dah lali, lagi pun apa saja yang berlaku saya tak pernah tau kerana pembantu peribadi akan larang saya untuk membaca komen dan team (pasukan) saya selalu pantau telefon saya.

“Saya pernah tanya kenapa, ada yang tak puas hati dengan saya yang sudah 13 tahun menjuri program? Saya dah lali dengan cacian dan hinaan, kenapa kita perlu sambung sifat mereka (netizen)? Sebenarnya secara tak langsung mereka sedang memberitahu didikan mereka, kenapa mesti kita turut serta?

“Yang perlu saya jalankan adalah kepada para peserta, bagus kita (juri), baguslah mereka, buruk kita buruklah mereka, itu contoh terbaik semua yang bergelar tenaga pengajar, kami berkongsi pengalaman kami yang baik, yang gemilang, bukan kongsi yang buruk-buruk sebab mereka (peserta belum tentu bolrh sampai pengalaman sepert kami),” katanya yang turut menjayakan Konsert Milenia 2024, baru-baru ini.

Mas Idayu pada hari bahagianya tatkala menjadi isteri kepada Muhammad Sufian Che  Isa pada  2022.

Elak makan makanan berminyak

Sebagai penyanyi yang masih aktif menjayakan  undangan persembahan Mas Idayu tetap menjaga suaranya agar sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Untuk suara ini, saya tak ada amal apa-apa petua cuma sentiasa beringat. Kalau hampir dengan persembahan, saya cuba elak diri daripada mengambil makanan berminyak dan sejuk.

“Bukan setiap masa elak, cuma bila ada konsert atau show saja. Kalau tak ada show saya makan saja supaya tak terkilan. Vokal ni apapun kita buat lama kelamaan ia tetap akan kedengaran season (lama)  juga … bikan suara tu boleh virgin selama lamanya.

Jadual kerja Mas Idayu untuk tahun ini sudah diatur rapi oleh pihak pengurusannya.

“Suara ni sama seperti usia , boleh jaga kalau kita rajin buat latihan. Namun untuk sama seperti usia belasan tahun tak mungkin, satu dunia penyanyi sama saja perubahan suara tu pasti ada,” katanya terus terang.

Perancangan untuk tahun ini, Mas Idayu yang kini bergelar isteri kepada Muhammad Sufian Che Isa selepas mendirikan rumah tangga pada 16 September 2022 berkata, ada banyak program yang perlu dilaksana.

“Tahun ini ada program yang dah tersusun u tuk bulan-bulan seterusnya. Saya kena selesaikan semua yang telah diatur oleh pengurusan.

“Sempena kedatangan Ramadan ini, saya cuba mengambil program yang ke arah keislaman saja dan menjayakan beberapa rakaman program raya. Selebihnya saya nak ambil peluang menjalani ibadah puasa dengan baik,” akuinya.

Previous articleCara merawat demam denggi
Next articleDi sebalik Mawi World

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here