Oleh Syed Wafa
Setinggi tahniah perlu diberikan kepada Pengarah Urusan Mission Sight Sdn. Bhd., Jeffri Yaacob yang akhirnya telah berjaya menjadikan Konsert Melenia 2024 satu kenyataan dan penuh sejarah.
“Sebenarnya saya hampir putus asa kerana beberapa kali konsert ini ditunda dan paling mencabar saya ditipu beratus ribu ringgit oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Atas kesabaran dan sokongan ramai pihak, saya berusaha untuk teruskannya bagi merealisasikan impian peminat menonton persembahan artis-artis dangdut dan saya juga tidak mahu dituduh sebagai scammer,” kata Jeffri bersungguh-sungguh.
Sesuatu yang luar biasa kolaborasi antara penyanyi dangdut Malaysia dan Indonesia menerusi Konsert Milenia 2024 di Zepp Kuala Lumpur memberikan pengalaman yang sungguh mengujakan.
Konsert berdurasi lebih tiga jam itu seolah-olah tidak cukup untuk peminat tegar dangdut terus bergelek selepas sekian lama tidak dapat menyaksikan persembahan penyanyi pujaan masing-masing. Rata-rata penonton amat terhibur dan berpuas hati serta amat berharap penganjur akan mengadakan lagi konsert hebat seperti ini.
Dengan menampilkan penyanyi dangdut terkenal dari Malaysia iaitu Amelina, Mas Idayu, Baby Shima, Ani Maiyuni termasuk penyanyi dangdut terkenal dari Indonesia seperti Rheyna Morena, Hesty Klepek Klepek dan legenda Thomas Arya, Konsert Milenia 2024 memberikan pengalaman berbeza.
Bukan itu sahaja, konsert yang turut menghimpunkan lebih 1,000 peminat Malaysia dan Indonesia ini dilihat saling berpadu memberi sokongan kepada barisan penyanyi di pentas.
Lagu-lagu yang dibawakan setiap penyanyi dengan iringan pemuzik dari Indonesia cukup menghiburkan, sekali gus menambah seri konsert. Begitu juga dengan persembahan spin lagu-lagu irama dugem oleh DJ Ace dan DJ Bob Arjuna.
Antara lagu dangdut popular dipersembahkan termasuklah Cintaku 100% dan Senggol-Senggolan nyanyian Mas Idayu, Dasar Buaya Cinta dan Sedap (Ani Maiyuni), Cintaku Klepek Klepek, Rungkad dan Cikini Gondangdia (Hesty), Memori Daun Pisang, Rindu dan Yang Indah Yang Hangat (Amelina).
Rheyna Morena pula dengan lagu Dayuni, Ojo Dibanding Ko dan Seperti Mati Lampu turut membuatkan badan penonton bergoyang ke kiri dan ke kanan mengikut alunan irama dangdut yang cukup mengasyikkan. Baby Shima menggamatkan lagi suasana dengan goyangnya ketika mendendangkan lagu Pura-Pura Bujang, Pantun Janda dan Ikan Dalam Kolam.
Majlis dihangatkan dengan gandingan duet Baby Shima dan Thomas Arya menyanyikan lagu Satu Hati Sampai Mati. Meneruskan persembahan, Thomas Arya menyampaikan lagu hit dendangannya, Berbeza Kasta, Sahara dan Bunga amat dinantikan penonton.
Konsert anjuran Mission Sight Sdn. Bhd. itu juga menampilkan Along Cham dan Angah Raja Lawak selaku hos yang berjaya menceriakan suasana.
Sepanjang konsert ini berlangsung, jelas menyaksikan kesemua penonton turut menyanyi dan menari bersama. Lebih mencuri tumpuan, terdapat beberapa orang rakan artis termasuk usahawan hadir ke konsert berkenaan. Antara yang hadir ialah, Dato Seri Vida, Datuk Ifa Raziah, Ayu Damit, Liana Rosli (Kak KM), Azharina Azhar, Syafiq Erwin dan anak kepada bekas penyanyi dangdut Iwan iaitu Aprena Manrose.
Penonton yang bertuah semalam, turut menerima hadiah t-shirt dan wang ringgit daripada pihak penganjur.
Ramai pihak media bertanya sama ada penganjur bakal mengadakan Konsert Milenia 2.0 ataupun tidak selepas ini, Jeffri memberitahu, ia bergantung kepada permintaan masyarakat dan peminat lagu-lagu dangdut serta paling utama beliau mahu memartabatkan irama dangdut di Malaysia.
Kata beliau lagi, kalau ada 2.0 mungkin ada rombakan sikit dari segi artis, tapi ini semua kita akan fikir nanti. Beliau sungguh puas hati tengok ramai yang seronok dan berhibur dengan konsert yang dirindui ini
Menurut artis-artis yang melakukan persembahan pula, mereka sangat gembira dan berpuas hati apabila penonton yang hadir turut menari dan menyanyi tanpa henti sepanjang konsert itu berlangsung.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.