Zaharah Agus seniwati berbakat besarnyang sentiasa dirindui.

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

“Orang ni saya kenal benar, memang pemalu orangnya…Jamil…Jamil…kusangkakan dua, rupanya tiga.”

“Nasib baik tak empat Chek!”

“Apa yang dua…apa yang tiga?”

POSTER filem “Madu Tiga” dengan pelakon utamanya, P. Ramlee, Sarimah Ahmad, Zaharah Agus, Jah Mahadi dan Ahmad Nisfu.

BAGI anda yang meminati filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pasti ingat dialog ini yang dipetik dari filem “Madu Tiga” (1964) yang mana buat pertama kali mengesahkan ketiga-tiga mereka bermadu dan isteri kepada ‘Abang Jamil’ ( P. Ramlee).

Babak itu adalah kali kedua mereka bertemu setelah pertama kali di kedai emas tetapi ketika itu mereka tidak tahu mereka bertiga bermadu dan bersuamikan ‘Abang Jamil’ dengan isteri pertama, Cik Latifah (Allahyarham Seniwati Zaharah Agus), isteri kedua, Cik Hasnah (Allahyarham Seniwati Jah Mahadi) dan isteri ketiga, Cik Rohani (Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad).

SEBAGAI suami isteri dalam “ Madu Tiga”…Encik Jamil dan Chik Latifah.

Pertemuan di rumah Cik Rohani di tepi laut yang pada mulanya ‘tenang’ tetapi ‘bergelora’ apabila Cik Latifah dan Cik Hasnah saling ‘berbalah dalam diam.’

Perbalahan itu akhirnya telah mencetuskan idea kepada Cik Hasnah dan Cik Latifah agar mereka bertiga ‘berperang’ setelah Cik Hasnah terpandang gambar dalam bilik Cik Rohani bersama suaminya, ‘Abang Jamil.’

Tetapi isteri muda, Cik Rohani, seorang wanita yang bijak dan berhemah tinggi menolak cadangan itu kerana bukan mereka yang bersalah “tetapi Abang Jamil yang bersalah!”

Maka bermulalah babak kejar mengejar dari rumah Cik Rohani di tepi laut sehingga ke rumah Haji Latiff (bapak Cik Hasnah lakonan Allahyarham Seniman Ahmad Nisfu) sehingga menimbulkan kehairanan kepada mereka bertiga kerana ‘Abang Jamil’ masuk pintu lain dan keluar pintu lain dan mereka mendakwa suami mereka mengamalkan ‘ilmu Madu Tiga.’

CIK Latifah berpura ‘sporting’ apabila diberitahu ‘Abang Jamil’ kahwin lagi satu.
ANTARA babak lucu Zaharah Agus dalam filem Madu Tiga.

Babak kejar mengejar itu berakhir setelah ‘Abang Jamil’ terjun dari jambatan dan akhirnya Cik Rohani membuat ‘undang-undang’ yang adil untuk dipraktikkan ‘Abang Jamil’ dengan cara bergilir dengan ketiga-tiga isterinya ‘sehinggalah Abang Jamil…mampus!’

Walaupun babak dan dialog itu lucu tetapi dalam diam ia menyindir kaum lelaki yang pandai berkahwin lebih daripada satu tetapi tidak bersikap adil kepada isteri-isterinya.

SATU babak dari filem “Madu Tiga.”
BABAK di rumah Cik Rohani bukan sahaja menemukan Cik Latifah dan Cik Hasnah malah akhirnya rahsia Abang Jamil terbongkar!

Begitulah bijaknya P. Ramlee dalam berkarya. Beliau bukan setakat berfikir bagaimana filem itu boleh menarik peminat filem Melayu ke pawagam malah ia juga memberi nasihat kepada kaum lelaki yang hanya pandai berpoligami tetapi tidak adil dalam menjalani kehidupan sebagai seorang suami yang beristeri lebih daripada satu!

Filem ini bukan sahaja memaparkan kisah ‘kepincangan’ rumahtangga apabila suami tidak berlaku adil malah ia juga menampilkan bakat lakonan Zaharah Agus!

APABILA tiga madu berjumpa huru-hara jadinya.
Dari kiri: Cik Latifah (Zaharah Agus), Cik Hasnah (Jah Mahadi) dan Cik Rohani (Sarimah Ahmad).

“Madu Tiga” dikatakan telah membuktikan kehebatan Zaharah Agus (Cik Latifah) sebagai pelakon yang sentiasa dikenang sehingga hari ini. Filem tersebut adalah filem kedua daripada empat filem lakonannya sepanjang 15 tahun bergelar anak seni.

Zaharah Agus mula berlakon dalam filem “Angin Pesan”(1954), “Madu Tiga”(1964), “Miang-Miang Keladi”(1968) dan filem terakhir “Bukan Salah Ibu Mengandong”(1969).

Walaupun itu adalah filem ketiga lakonannya dan merupakan filem ke-16 daripada 35 arahan P. Ramlee namun dialog-dialognya yang lucu tetap mencengkam di jiwa dan sentiasa diingat para peminat filem Melayu sejak sekian lama.

P. RAMLEE ketika mengarah filem “Madu Tiga.”

Melihat lakonan Zaharah Agus, P. Ramlee yang memanggilnya ‘Zeera’ pernah berkata;

“Zeera mempunyai bakat sungguh terpuji. Dia tak ubah seperti permata asli, bagaimanapun dibentuk, cahayanya tetap berseri!”

Itulah kehebatan Seniwati Zaharah Agus atau Zara Agus (Zera Agus) yang dilahirkan di Palembang, Sumatera, Indonesia pada tahun 1922. Beliau adalah isteri kepada Allahyarham Seniman M. Suki atau nama sebenarnya Mohamed Suki Sutan Nordin yang lebih dikenali Pak Suki.

TURUT berlakon dalam filem ‘Miang Miang Keladi’

Sejak usianya sembilan tahun, Zaharah Agus mengikut bapa tirinya, Pengurus Borneo Star Opera menjelajah Malaya (Malaysia). Kemudian beliau menguruskan satu kumpulan sandiwara dan beliau berbakat sebagai penari, penyanyi dan pelakon pentas.

Bersandarkan bakatnya Zaharah Agus memulakan kerjaya seninya secara profesional sebagai penyanyi sejak era 1960-an sehingga 1970-an yang mana lagu-lagunya sering ‘dimainkan’ di Radio Malaya.

FILEM terakhir Zaharah Agus ‘Bukan Salah Ibu Mengandong’.

Selain berlakon, Zaharah Agus juga terkenal sebagai penyanyi dan pernah merakamkan lagu antaranya Tiang Ugama, Abdullah, Kalau Mau Kenal, Saya Cemburu, Mat Lodeh, Duka di Hari Mulia, Ikan Kekek, Malaya Merdeka, Pulau Aman, Mas Merah, Jiwa Merana dan Keindahan Bintang Malam.

Lagu “Keindahan Bintang Malam” nyanyian Zaharah Agus digubah semula oleh Tan Sri Dr. Ahmad Nawab dan dinyanyikan semula oleh Allahyarham Puan Sri Saloma dengan tajuk “Bintang Malam” pada tahun 1965.

ANTARA LP…Zaharah Agus.

Selain itu, lagu “Mat Lodeh” nyanyian asal Zaharah Agus telah dipopularkan semula oleh Anita Sarawak dengan tajuk “Lodeh Mak Lodeh” dengan lirik yang baharu.

Beliau juga dikatakan penyanyi nasyid wanita pertama dengan merakamkan lagu “Rukun Islam.” Lirik lagu nasyid tersebut antaranya mengingatkan tentang solat.

Walaupun Zaharah Agus hanya berlakon empat filem, namun bakat seninya diwarisi anak beliau, Noraini Muti, cucunya, Nanu Baharuddin dan cicitnya, Haneesya Hanee.

NANU Baharuddin…cucu Zaharah Agus, menyerlah sebagai pelakon.

Nanu Baharuddin yang telah berlakon 12 filem sejak tahun 1992 telah menerima Anugerah Pelakon Wanita Harapan melalui filem “Rimba Malam” pada Festival Malaysia ke-10 pada tahun 1992.

Sementara cicit Zaharah Agus, Haneesya Hanee yang pernah merangkul gelaran Juara Dewi Remaja pada tahun 2018/2019 (gelaran itu ditarik balik kerana kejadian kontroversi) telah berlakon banyak drama antaranya “Cinta Roller Coaster, Cik Reen & Encik Ngok Ngek, Tirai Keinsafan dan Roti Cicah Susu.”

BAKAT Zaharah Agus..:diwarisi cicitnya, Haneesya Hanee

Zaharah Agus meninggal dunia pada usia 56 tahun di rumah keluarganya di Jalan Caunterhall, Pulau Pinang pada 26 Mac 1978.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman… Amin.

Previous articlePes Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Kari Ayam !
Next articleTahniah!… Konsert Milenia 2024 Konsert Dangdut Terbaik!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here