Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Afhzahafiez Kamaruddin / Koleksi Syed Wafa
Bukan mudah untuk mencari seseorang yang sanggup mengabadikan dirinya untuk membantu orang lain. Tapi itulah yang terdapat dalam diri dan jiwa penyanyi, komposer dan juga Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez,70.
Sejak 2005 hingga sekarang, sudah 18 tahun Persatuan Karyawan berada dibawah pimpinannya. Kebolehan dan sikap keprihatinannya kepada golongan artis yang memerlukan membuatkan Freddie Fernandez kekal menerajui Karyawan bagi penggal 2023 hingga 2026. Ahli Karyawan terbuka untuk penyanyi, pelakon, penari, pelawak, penggubah lagu dan penulis lakon layar.
“Saya memang suka buat kerja-kerja amal. Pada saya jawatan ini bukan untuk suka-suka… tapi perlu. Siapa lagi nak tolong artis susah kalau bukan saya sebagai presiden persatuan membantu mereka di saat artis susah dan memerlukan bantuan untuk meneruskan hidup.
“Kita perlu membantu sebab kita adalah persatuan yang telah diamanahkan untuk menjaga kebajikan artis-artis. Sebagai persatuan, kami akan bantu orang-orang dalam industri hiburan terutamanya ahli-ahli atau sesiapa yang memerlukan.
“Selaku presiden saya kena menjaga dan bertanggungjawab bagi membantu ahli-ahli. Setakat ini ahli karyawan yang berdaftar dengan kami lebi 4,000 ribu orang dengan yuran sebanyak RM50.00 untuk keahlian seumur hidup,” kata Freddie anak kelahiran Segamat, Johor ini.
Freddie yang popular dengan lagu Namun Ku Punya Hati menambah, sejak dulu lagi, jiwanya lebih suka membuat kerja-kerja kebajikan.
“Memang ini jiwa saya… suka bantu orang. Sebenarnya bukan mudah…susah. Namun saya bertuah kerana saya dapat banyak sokongan orang perseorangan dan kawan –kawan seperjuangan. Lagipun saya ada kebolehan dan hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk media, ini memudahkan persatuan kami bergerak mencari dana.
“Untuk tahun ini banyak program yang telah dirancang bagi mengumpul dana untuk menjaga hak dan kepentingan ahli. Antaranya menganjurkan kejohanan golf, majlis makan malam dan lain-lain lagi. Persatuan juga turut membantu mana-mana penganjur bagi menjayakan event mereka. Secara tidak langsung dapatlah kami menjana lagi pendapatan untuk mengisi tabung.
“Banyak lagi isu yang akan kami perjuangkan bagi membantu ahli-ahli. Antaranya isu royalti artis, masalah dihadapi artis rakaman, pemuzik kelab dan hotel, pemuzik dan artis jalanan atau buskers, memberi nasihat pada artis dan lain-lain lagi. Saya juga bertuah kerana mempunyai 12 orang ahli jawatankuasa yang bagus dan cukup bertanggungjawab.”
Antara AJK Karyawan ialah pelakon Radhi Khalid sebagai Timbalan Presiden, Rozita Rohaizad (Setiausaha Kehormat), Kamal Kassim (Bendahari) dan enam Ahli Jawatankuasa iaitu Norshila Amin, Jude Singho, Don Guerzo, Putri Balqish Agalan, Helmi Gimmick serta Haniah Hassan.
Kini Freddie bahagia bersama isterinya, Jeannette ,54 serta empat orang anaknya, Ryan, 23, merupakan seorang pemain golf professional. Brandon,22, (bidang pengiklanan), Ethan, 21, (bidang bisnes) dan Ashley, 20, (kerja di sebuah kolej).
Tidak minat menyanyi lagi
15 tahun bersama kumpulan The Revolvers sejak tahun 1972 sebagai penyanyi dan pemain keyboard sudah memadai bagi Freddie Fernandez. Kini Freddie lebih suka membantu golongan artis daripada meneruskan karier seninya.
Kumpulan Revolvers popular dengan lagu Perpisahan (1980), Namun Ku Punya Hati (1982) dan Revolvers (1983).
“Cukuplah jadi penyanyi. Gang-gang kami pun semuanya dah bawa haluan masing-masing. Kini saya lebih senang bergerak dengan Karyawan. Saya juga bangga kerana lagu ciptaan saya cukup evergreen hingga ke hari ini. Lagi best lagu saya, Namun Ku Punya Hati dijadikan sebagai lagu tema untuk Persatuan orang-orang Buta Malaysia (MAB) dan juga buskers Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya pun dah tubuhkan Biro OKU dalam persatuan kami. Jika mereka mempunyai masalah dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kami akan membantu mereka. Bagi saya itulah pencapaian yang paling istimewa dalam hidup saya.
“Hingga kini kami masih memperjuangkan isu royalti artis berdasarkan penjualan album kerana setakat ini ada artis yang dapat royalti dan ada juga yang tidak mendapatnya sehingga ke hari ini,” kata Freddie lagi.
Freddie merupakan lulusan Universiti Malaya dengan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi 1975. Sebelum aktif sebagai Presiden Karyawan, beliau juga merupakan pengasas dan penerbit Anugerah Industri Muzik (AIM-1993), serta terlibat terus dalam pembangunan program Akademi Fantasia (AF), yang pernah menjadi program TV paling popular di Malaysia.
Tambah Freddie lagi, sepanjang penglibatannya dalam bidang seni banyak juga pencapaian yang membanggakan dirinya yang telah digapai. Antaranya Anugerah Nadi Cipta MACP dan Anugerah CISAC (Badan Antarabangsa Pencipta Muzik) di peringkat antarabangsa berdasarkan sumbangannya memperjuangkan hakcipta di Malaysia.
Sewaktu belajar di St John, Freddie bersama bandnya turut menyertai pertandingan yang diadakan di Stadium Negara di mana band Revolvers menjadi backing band mereka. Sewaktu menunggu keputusan peperiksaan tingkatan 6, Freddie terpilih untuk menyertai kumpulan The Revolvers pada Januari 1972.
Selepas menamatkan pengajiannya, Freddie bekerja sebagai Pegawai Pemasaran di Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB). Akhirnya pada tahun 1981 Freddie mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Beliau kemudiannya menubuhkan syarikat Betarecs dan bertindak sebagai komposer, penyusun lagu, penerbit muzik serta menerbitkan lagu-lagu iklan.
Pada tahun 1989, beliau juga menubuhkan Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Malaysia (MACP) untuk melindungi para penggubah muzik serta mengutip royalti bagi pihak mereka.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.