Oleh Wawa Najwa
Penyanyi Ifa Raziah atau Saripah Raziah Mustapha, 49, mula aktif dalam bidang seni menerusi program Asia Bagus mewakili Malaysia di Singapura pada tahun 1992.
Pada tahun 1996, beliau muncul dengan album studio solo pertama bergenre pop balada yang berjudul ‘I Miss You, I Love You’ terbitan Musicland.
Manakala album dangdut pertamanya, ‘Ser…Ser…Ser” yang diterbitkan pada 1997 berjaya melonjakkan nama Ifa Raziah sebagai penyanyi dangdut yang cukup popular pada era itu.
Sejak bergelar anak seni, Ifa merupakan antara artis yang tidak pernah lepas daripada menjadi mangsa kritikan netizean yang rata-ratanya tidak mengenali dirinya secara peribadi.
Ifa yang ditemui sewaktu sidang media Konsert Malam Amal Lagenda Bersama Dato Hattan, Man Keedal, Baby Shima, Ifa Raziah, Noraniza Idris & Bob Sentuhan di Draften Art Centre, Taman Daya, Kepong, Selangor, baru-baru ini sempat berkongsi rahsia bagaimana beliau tabah menghadapi kecaman daripada orang ramai.
Kata Ifa, beliau mampu menjadi kuat sehingga kini kerana sudah lama berkecimpung dalam bidang seni dan sebagai artis, segala pujian atau cacian adalah asam garam kehidupan.
“Saya jadi kuat macam ni sudah 28 tahun bukan 28 hari. Bukan senang nak jadi kental. Dulu tak koyak tapi terus maki saja. Bila umur dah semakin meningkat macam ni relaks-relaks saja.
“Benda ini semua melalui proses, bila kita lalui hari menua secara tak langsung kita juga semakin matang dan tak hairan dengan benda-benda begini (caci maki).
“Sebenarnya nak elak tekanan ni mudah saja, kita kena bijak mengawal minda dan dah cukup kental tidak akan ada masalah. Sebaliknya kita pula akan koyakkan orang yang sengaja nak uji kita itu,” katanya terus terang.
Tambah Ifa, dulu netizen mengecam artis dengan menulis surat dan dihantar ke syarikat rakaman. Sekarang ini, dengan adanya kemudahan teknologi semua itu berlaku di hujung jari.
“Dulu orang nak tulis buruk pasal kita, mereka hantar surat kepada syarikat rakaman. Zaman sekarang ini bila kita buat live kat media sosial, dia tak kenal kita pun tapi senang-senang maki kita. Kita kena lawan balik.
“Kita tak akan biarkan orang itu maki kita tapi cara kita balas balik itu mesti berhemah supaya dia malu dengan kelakuan dia, kata-kata dia dan ayat-ayat dia, biar dia malu sendiri.
“Daripada haters yang tak suka saya sewaktu tengok live saya, lama-lama mereka terfollow dan minat saya, terus jadi kawan. Itulah cara untuk atasi haters ni. Dari benci mereka jadi suka kat kita.
“Itu cara kita nak psiko mental mereka balik. Kalau nak ikut tersentap dengan kata-kata netizen, setiap lima minit boleh sentap. Nak sentap pun buang energi. Kalau energi dan aura kita positif, maka rezeki pun masuk.
“Bila benda itu negatif dan kita layan pula, jadi rezeki pun tak masuk. Jadi kita balas balik dengan positif, vibes tu kena ada. Mind set kita kena kuat dan kental, hati jangan mudah rabak dan koyak,” akuinya.
Berduet dengan Baby Shima
Seiring dengan kekentalannya melawan kecaman dalam kerjaya seni, terbaharu Ifa bersama Baby Shima muncul dengan lagu berjudul ‘Kena Kecam Pun Tak Kisah’ featuring Datuk Norman KRU.
Lagu ‘Kena Kecam Pun Tak Kisah’ adalah lagu versi baharu yang diambil daripada lagu asal dendangan KRU iaitu (Kena Marah Pun) Tak Kisah.
Kata Ifa, projek berduet dengan Baby Shima berlaku secara tak dijangka walaupun pada asalnya beliau mendapat pelawaan daripada penyanyi tersebut.
“Awalnya memang Baby Shima ajak saya berduet dengannya. Saya kata kat dia, kau tak menyesal ke ajak akak ni? Dia kata, kak kita ni kan perempuan viral. Kita selalu kena kecam, takut apa, jom kita buat.
“Dalam masa mencari lagu yang sesuai untuk kami berdua rakam, tiba-tiba Datuk Norman KRU datang tawar kami berdua. Ifa, saya nak buat lagu untuk awak berduet dengan Baby Shima tapi ini bukan lagu dangdut.
“Saya dan Baby Shima, sepakat on saja dengan idea dia. Kita orang pun masuk studio untuk rakaman di KRU Studio. Waktu itu baru kami tahu lagu apa yang nak dinyanyikan.
“Datuk Norman yang ajar kami menyanyi, kami berdua mana tahu nyanyi lagu macam KRU. Bolehlah nyanyi tapi hujung-hujung tetap bunyi dangdut. Nak asah lidah menyanyi stail KRU, Datuk Norman turun padang ajar kami satu baris satu baris.
“Alhamdulillah, kita orang boleh buat dalam masa empat jam saja. Saya dua jam, Baby Shima dua jam. Empat jam rakaman pada hari tu dan settle. Lepas tu kita buat pula video klip satu hari selesai. Pada 15 Januari lalu lagu release di pasaran dan di platform penstriman,” katanya lagu tersebu bukan untuk mereka berdua sebenarnya ditujukan untuk manusia yang ingat dirinya bagus.
Ifa akui, jika ada artikel yang memburukkan tentang dirinya, beliau tak pernah marah selama berada dalam industri ini. Jelas Ifa, bila ada isu sebegitu, beliau lebih senang pendam dalam hati dan diam saja.
“Saya hanya berdiam diri saja dan saya cakap pada diri sendiri, ini semua ada baik dan buruknya untuk naikkan nama. Ada pro dan kontra, satu dari segi pemasaran dan satu lagi content. Ada baik dan buruknya, tapi tak apa saya biarkan saja. Saya kena hadap la benda itu dan kental.
“Saya tak kisah orang nak kata atau kecam saya. Kepada yang kena kecam macam saya kenalah buat muka tebal. Engkau nak cakap apa cakaplah yang penting aku betul, ibaratnya,” akuinya.
Ifa yang bakal terlibat dalam Konsert Malam Amal Lagenda Bersama Dato’ Hattan, Man Keedal, Baby Shima, Noraniza Idris dan Bob Sentuhan itu sebagai pengacara pada 3 Mac ini berkata, pada konsert itu kelak, mungkin beliau akan berduet lagu ‘Kena Kecam Pun Tak Kisah’ dengan Baby Shima.
Konsert anjuran AS Travel & Tours Sdn. Bhd., dan Koperasi Usahawan Intelektual Siswazah Malaysia Berhas itu akan berlangsung di Hotel Whyndam, Klang, Selangor.
Tujuan penganjuran konsert amal itu adalah untk membantu beberapa artis yang menghadapi dugaan seperti Shima, To’ki, Uji Rashid, Zaiton Sameon dan Lord (Ella & The Boys).
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.