Sheila Majid masih relevan hingga kini.

Oleh Wawa Najwa

Walaupun publisiti tentang Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid jarang disiarkan di dada akhbar atau di platform digital seperti artis lain, namun hingga kini beliau masih relevan dalam industri seni tanah air.

Sheila atau nama sebenarnya, Shaheila Abdul Majid, 59, tidak perlu terlalu mencuba untuk ‘menjual diri’ seperti orang lain kerana sejak pembabitannya dalam seni pada 1984 hingga kini sokongan peminat terhadap beliau tidak pernah padam.

Kekuatan Sheila bukan sekadar bergantung kepada bakatnya sebagai penyanyi sahaja tapi disebabkan lagu-lagu yang pernah dirakamnya sebelum ini adalah malar segar.

Bersama keluarga tercinta.

Itulah bezanya antara lagu dulu dengan sekarang yang hanya popular ikut musim berbanding lagu lama yang bila disebut saja, peminat boleh menyanyi bersama.

Begitu juga dengan isteri kepada Datuk Acis atau Hashridz Murshim Hassim, biar pendatang baharu dalam bidang seni tumbuh bak cendawan selepas hujan, kedudukan Sheila tak pernah terjejas kerana beliau sudah ada ‘standard’ tersendiri.

Seperti tahun lalu, selepas lama tidak mengadakan konsert berskala besar, sekali Sheila umum untuk menjayakan Konsert Sheila Majid Big Band, bukan satu lokasi beliau beraksi sebaliknya tiga tempat yang dituju.

Bermula dengan Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 pada 18 Mac di World Trade Centre Kuala Lumpur, kemudian rombongan Sheila singgah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 12 Ogos dan pada 20 Oktober tahun lalu, beliau menjayakan konsert yang sama di The Star Theatre, Singapura.

Menerima Global Leadership Awards pada Julai 2023.

Ketiga-tiga konsert berskala besar yang dijayakan oleh Sheila mendapat sambutan hangat dan bayangkan pada usia 58 tahun, beliau mampu mengawal ribuan penonton dengan lagu dendangannya itu.

Utamakan kesihatan diri

Pada 3 Januari lalu, genaplah usia Sheila ke-59 tahun. Namun sekali pandang ibu kepada Kayda Aziz atau nama sebenarnya, Wan Nur Khaleda Roslan, Megat Abdul Majid Aziz Roslan, Khadeja Zaireen dan Khalefa Laila, tak ‘makan’ tua.

Meskipun setiap tahun usia akan berinjak tapi untuk memastikan dirinya sentiasa cergas, Sheila atau sinonim dengan watak Tipah dalam filem Ali Setan (1985) sentiasa menjaga gaya hidupnya yang sihat.

Afgan Syahreza antara artis Indonesia yang rapat dengan Sheila Majid.

Seperti yang pernah dikongsi oleh Sheila dalam beberapa majalah dan media sosial sebelum ini, memberitahu bahawa beliau sering melakukan senaman bagi memastikan sihat dan bertenaga.

Antara senaman yang dikongsinya adalah melakukan larian di treadmill dan pilates. Selain senaman, beliau juga amat menitikberatkan soal diet makanan.

Tiada nasi lemak atau roti canai seperti orang lain yang dijadikan santapan pagi. Sebaliknya, Sheila lebih selesa menjadikan yogurt sebagai peneman pagi bersama dengan secawan kopi dan buah-buahan.

Sering melakukan senaman untuk kesihatan diri.

Yogurt menjadi pilihannya kerana ia mengandungi probiotik iaitu bakteria sihat yang terdapat secara semula jadi dalam saluran penghadaman wanita yang boleh meningkatkan fungsi pencernaan yang baik.

Jelas Sheila, mengenai makanan beliau sering menjadikan ibunya (Allahyarham Datuk Paduka Saadiah Adam) sebagai idola terutamanya dari segi penyediaan makanan berkhasiat.

Justeru itu, kata Sheila, beliau sekeluarga tidak kerap dan amalkan minuman bergas, sebaliknya hanya minum air kosong dengan cukup untuk kesihatan mereka.

Bersama suami, Acis yang dinikahi pada 3 Jun 2003.

Beliau yang pernah berlakon dalam filem Bayi Tabung (1980) dan Sinaran (2015) itu juga amat menitikberatkan soal penjagaan kulit.

Sebagai artis yang kerap bersolek atas urusan kerja, Sheila tidak akan membiarkan solekan di wajahnya terlalu lama. Biarpun keletihan selepas menjayakan konsert atau program lain, beliau akan segera mencuci wajahnya sebelum beradu.

Setiap kali menjayakan konsert Sheila akan pastikan penonton berpuas hati.

“Setiap hari saya amalkan rutin penjagaan kecantikan secara sederhana tetapi konsisten. Saya lakukan rawatan wajah di spa sebulan sekali kerana saya sering bersolek tebal untuk sesi fotografi dan pertunjukan,” ujarnya.

Antara produk yang Sheila tidak lupa untuk guna adalah pelembap dan sunscreen kerana kedua-dua produk ini berkesan dalam memberikan kelembapan kulit yang berkesan dan melindungi kulit daripada kerosakan.

Setiap 3 Januari Sheila akan sambut ulang tahun.

Sheila yang pernah mengadakan konsert di Indonesia iaitu Konsert Perjalanan Seni Sheila Majid (2003), Sheila Majid 25 Years, Radiance Celebration Live in Jakarta (2011) dan Sheila Majid The Concert Jakarta (2018) sepanjang berkarya pernah memenangi beberapa anugerah.

Antara anugerah yang diraih ialah Artis Wanita Serantau Paling Popular pada 2001 sempena Anugerah Planet Muzik 2001, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada 2012 sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-25 dan Anugerah Sri Wirama sewaktu Anugerah Industri Muzik ke-22 pada 2016.

Previous articleKhasiat belimbing buluh
Next articleTidak ada istilah pencen dalam industri filem- Othman Hafsham

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here