Pengaruh wayang menyebabkan Othman Hafsham bercita- cita jadi pengarah.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Afhzahafiez Kamaruddin / Koleksi Syed Wafa

Bagi generasi baru mungkin ramai yang tidak mengenali siapakah pengarah Othman Hafsham. Namun jika disebut sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan dan terbitan syarikat Cinematic Sdn. Bhd. mungkin mereka terus mengingati namanya.

Ditanya mengenai pengarahan filem terbaru selepas filem terakhir arahannya iaitu Karipap-Karipap Cinta, Othman Hafsham berkata, dia masih lagi aktif berkarya dan tak ada istilah pencen bagi orang seni sepertinya.

Adik Manja filem pertama arahan Othman Hafsham

“Hati ini nak lagi mengarah tapi tenaga pula yang dah tak ada. Walaupun dah berusia tapi pemikiran saya masih macam orang-orang muda. Sekarang dah tua-tua ni, saya mudah penat. Saya juga ada penyakit kencing manis dan pernah buat tiga stent di jantung. Kini masalah gastrik pula mengganggu keseimbangan saya bergerak. Itu sebabnya saya kena guna tongkat untuk berjalan.

“Kini masa saya banyak dihabiskan menonton televisyen, baca buku dan sekali -sekala menonton wayang. Saya suka tengok wayang cerita Inggeris sebab ada saja perkembangan baru yang ditonjolkan dan juga jalan ceritanya berlainan. Kadang-kadang idea mereka boleh diceduk sedikit bagi mengembangkan lagi jalan cerita yang ingin kita buat.”

Othman Hafsham yang merupakan lulusan dari London Film School dan Guildhall School of Music and Drama di London ini adalah seorang pengarah filem terkenal, penulis skrip dan juga pelakon.

Barisan pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang cukup tinggi komitmen mereka dalam menjayakan sitkom tersebut.

“Saya belajar sejak umur 21 tahun dan sekarang umur saya dah 84. Sepanjang 60 tahun terbabit dalam industri perfileman, saya tidak pernah menyesal sebab ini adalah cita-cita saya nak jadi pengarah.

“Minat saya bercambah sejak umur 11 tahun lagi. Dulu arwah ayah selalu bawa saya tengok wayang Inggeris kerana ayah juga cukup meminati bidang filem. Setiapkali tengok wayang, saya selalu terfikir siapakah mereka dibelakang tabir pembikinan filem-filem sebegini. Dari situlah terbitnya minat saya untuk jadi seorang pengarah filem,’’ jelas Othman Hafsham atau nama sebenarnya Othman Shamsuddin.

Menyentuh mengenai nama penanya, jelas Othman Hafsham membuka cerita,“Masa kerja di Filem Negara Malaysia (FNM), ada lima orang yang mempunyai nama yang sama macam saya. Disebabkan itu, ketua pengarah minta saya menukar nama lain bagi memudahkan urusan kerja. Senang cerita saya gabungkan nama emak dan ayah saya. “

Filem Rahsia arahan Othman yang banyak menggondol anugerah pada FFM7 pada tahun 1987.

“Mak saya bernama Hafsah (Haf) dan ayah saya Shamsuddin (Sham). Gabungan nama mak dan ayah saya jadilah Hafsham. Sejak itu nama pena, Othman Hafsham telah saya gunakan hinggalah sekarang ini dan turut membawa tuah dalam hidup saya.”

Sekembalinya ke tanahair dan setelah tiga tahun menimba ilmu sebagai pengarah dokumentari di FNM, Othman terus mengorak langkah bekerja sebagai penerbit rancangan di RTM pula. Selepas beberapa tahun bekerja, Othman Hafsham berhenti dan memilih untuk bergerak sebagai pengarah bebas.

Bercakap mengenai Pi Mai Pi Mai Tang Tu lagi, jelas Othman Hafsham,“Hasrat nak buat sitkom itu memang ada. Tapi nak laksanakannya sukar kerana ramai pelakonnya `sudah tiada’. Lagipun sitkom dulu dan sekarang banyak berbeza. Pelakon sekarang nak buat cara mudah berbanding pelakon dulu bekerja kuat dan bertungkus lumus bagi menjayakan lakonan mereka.

“Kebanyakannya pelakon dulu adalah orang teater dan disiplinnya sangat tinggi berbanding pelakon sekarang. Dulu untuk satu episod kami ambil masa latihan selama enam jam, di mana latihan diadakan dua jam pada setiap hari. Saya juga bertuah kerana semua pelakon menunjukkan komitmen yang tinggi dalam latihan.

Othman Hafsham begitu serius dan komited sewaktu menjalani penggambaran filem arahannya.

“Waktu latihanlah kami baiki jalan cerita dan dialog. Mana bahagian yang tidak kuat, kita kuatkan dan yang tak lucu…kita lucukan dan kami saling bertukar-tukar idea bagi memberi persembahan yang terbaik. Pelakon sekarang nak cepat…mungkin banyak tawaran menunggu. Kalau mereka bersikap begitu, memang susah nak buat semula sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu.”

Sitkom ini mula disiarkan di TV3 sejak tahun 1983 sehingga 2004 dan telah mencatatkan sejarah sebagai sitkom paling lama ditayangkan. Selama 21 tahun bersiaran sitkom ini turut menjadi bualan peminat yang cukup meminati pelakon-pelakonnya seperti Allahyarham Zami Ismail (Pak Uda), Sabri Yunus (Wan Ismail Golok), Angeline Tan, Sulaiman Yassin (Mat Over), Allahyarham Ahmad Busu (Mat Deris) dan lain-lain lagi.

Impian Othman Hafsham tidak kesampaian?

Walaupun sudah lebih 60 tahun terbabit dalam industri perfileman namun masih ada lagi impian pengarah Othman Hafsham yang belum kesampaian.

“Walaupun tak larat, namun saya masih berminat nak mengarah filem. Tapi apa boleh buat, masih belum ada peluang lagi. Kalau boleh saya nak bersara dengan mencipta kejayaan

“Saya juga berharap agar dapat meninggalkan legasi dalam industri ini. Tapi apa boleh buat, anak-anak saya, Shamyl pengarah filem dan Shamine penulis skrip, walaupun dah ada `tanda-tanda’ boleh pergi jauh tapi masih belum dapat membuktikan keupayaan mereka kepada saya sebagai ayah mereka.

“Pada saya, untuk pergi lebih jauh mereka perlu dapat pengiktirafan hingga ke peringkat antarabangsa. Bila bakat mereka berdua diakui diperingkat antarabangsa barulah saya dapat iktiraf bakat mereka.”

Pengarah terkenal Othman Hafsham harap legasinya diterusksn.

Othman menambah,“Walaupun kami sama-sama dalam industri, namun anak-anak saya tidak pernah bertanya atau minta pendapat dalam melakukan sesuatu. Mungkin mereka rasa mereka boleh buat, terlalu berdikari dan sudah matang nak mengendalikan semuanya sendiri tanpa bantuan sesiapa

“Sebenarnya nak jadi pengarah, seseorang itu perlu kreatif. Kita perbaiki lagi apa yang kita lihat dan sebagai pengarah filem, mereka kena peka dan sensitif pada suasana. Mungkin ini anugerah Allah kerana saya lebih sensitif terhadap sesuatu perkara.

“Selalunya apa yang saya lihat dapat diterjemahkan pada satu situasi yang menggelikan hati. Jadi pengarah ini tanggung jawabnya berat. Kita kena jadi seseorang yang berpengaruh…kalau tidak berpengaruh susah kerana pelakon akan tengok apa yang telah kita buat dan kejayaan filem arahan kita. Dari situ lahirnya kepercayaan seorang pelakon pada pengarah itu.”

Sepanjang pembabitannya dalam industri perfileman, Othman Hafsham telah mengarah banyak filem antaranya Adik Manja (1980), Mekanik (1983), Rahsia (1987), Ujang (1988), Driving School (1990), Soal Hati (2000), Soalnya Siapa? (2002) dan Karipap-Karipap Cinta (2011).

Kehebatan filem Mekanik arahannya telah melayakkan Othman Hafsham dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM4) pada tahun 1983. Filem ini juga turut memenangi anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Penyunting Filem Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Bintang Harapan dan juga Anugerah Khas Juri.

Manakala dalam FFM7 filem Rahsia arahan Othman Hafsham telah membolehkan beliau dipilih sebagai Pengarah Terbaik. Filem ini juga turut merangkul anugerah Filem Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Penyunting Terbaik, Penataan Muzik Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Previous articleSheila Majid ada standard tersendiri
Next articleTerus Bersabar !

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here