Joygeorgek, CC BY 3.0 , via Wikimedia Commons

Oleh: Nafsiah Jani

Melihat pada buahnya yang kecil dan masam membuatkan buah ini tidak begitu digemari di kalangan masyarakat yang tidak mengetahui cara memasak atau khasiatnya yang tidak ternilai.

Namun bagi mereka yang pandai menikmati kelazatan belimbing buluh bila dimasukkan kedalam masakan sudah pasti tercari-cari atau ternanti-nanti musim pokok ini berbuah dengan lebatnya.

Belimbing buluh memang sedap dijadikan sajian masak lemak cili api jika dimasak bersama ikan dan udang. Bukan itu saja, belimbing buluh juga cukup popular di Pahang dan terkenal dengan keenakannya bila dijadikan sambal hitam.

Belimbing buluh atau nama saintifiknya, Averrhoa bilimbi ini mempunyai banyak khasiat bukan saja pada buahnya tetapi juga pada daun dan bunganya. Malah buah ini juga mengandungi asid amino, asid nitrat, fenolat, ion kalium, gula serta vitamin, mineral dan air. Buah ini juga kaya dengan vitamin B dan antioksidan seperti flavonoid, saponin dan tannin.

Tahukah anda, belimbing buluh mempunyai banyak manfaat dan khasiat yang pasti membuatkan anda semua teruja dengan hasilnya. Disini kami paparkan beberapa khasiatnya yang perlu anda tahu.

Pradeep717, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons
  1. Bagi menghilangkan jerawat dimuka, ambil daun belimbing buluh dan tumbuk hingga hancur bersama sedikit garam halus. Kemudian lumurkan campuran tersebut dikawasan muka yang berjerawat. Insya-Allah jerawat akan kecut dan muka anda akan kembali licin serta bersih daripada jerawat.
  2. Selain air rebusan belimbing buluh, bunganya juga dapat menjadi penawar kepada masalah batuk. Rendam bunga belimbing buluh dalam air panas dan biarkan seketika hingga keluar air warna merah bunganya dan minum ketika suam. Boleh gunakan bunga itu hingga warnanya habis dan boleh minum pada bila-bila masa sahaja.
  3. Jika badan atau muka anda berpanau jangan bimbang kerana belimbing buluh mampu menghilangkan panau tersebut. Ambil 10 biji buah belimbing buluh dan tumbuk hingga hancur. Kemudian tambahkan sedikit kapur sirih. Bila dah siap, sapukan campuran tadi di kawasan kulit yang berpanau. Biarkan lebih kurang 10 minit dan bolehlah bersihkan dengan air.
  4. Jus perahan belimbing buluh juga mampu untuk membantu menurunkan tekanan darah tinggi. Amalkan minum jus ini tiga kali sehari dan anda pasti gembira dengan hasilnya nanti.
  5. Kandungan vitamin C di dalam jus belimbing buluh juga bertindak sebagai antioksidan yang dapat meningkatkan daya ketahanan badan seseorang. Vitamin C ini dipercayai dapat merangsang pembentukan kolagen bagi menjaga kulit serta mempercepatkan proses penyembuhan luka.
  6. Mereka yang ada masalah sakit gigi juga boleh mengamalkan makan buah belimbing buluh segar yang dicicah bersama garam atau hancurkan buah belimbing buluh segar dan sapukan dibahagian gigi yang sakit. Biarkan selama sejam sebelum berkumur-kumur dengan air suam bagi membantu menghilangkan rasa sakit tersebut.
  7. Mereka yang ada masalah penghadaman bolehlah amalkan minum air rebusan daun belimbing buluh dan buahnya pula dimakan begitu saja. Kandungan dalam daun ini dapat meningkatkan kekuatan usus bagi membantu melancarkan proses penghadaman. Air rebusan daun dan buahnya yang masam ini dipercayai dapat membantu seseorang daripada sakit perut dan sembelit.
  8. Mereka yang mempunyai masalah kencing manis cubalah amalkan minum jus belimbing buluh tiga kali sehari. Jus ini bagus untuk kesihatan anda dan harganya juga tidak mahal berbanding ubat yang lain.
  9. Jangan risau jika anak anda yang baru dilahirkan menghadapi masalah kuning. Selain dijemur dibawah pancaran matahari pagi, mandikan bayi tersebut dengan air rebusan daun belimbing.
  10. Belimbing buluh juga dapat melindungi jantung anda kerana kandungan polifenol yang terdapat di dalamnya bertindak sebagai antioksidan yang mampu melindungi tubuh dari bahaya radikal bebas. Ia juga membantu melindungi sel-sel jantung daripada rosak serta membantu meningkatkan aliran darah ke jantung.

 

Previous articleAbai pap smear risiko kanser serviks? (Bahagian 1)
Next articleSheila Majid ada standard tersendiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here