Image by stefamerpik on Freepik

Oleh Asmat Fikri

“Eh! kau dah pernah buat ujian ‘muncung itik’?”
Borak seorang wanita dengan kawannya. ‘Muncung itik’ sangat popular dalam kalangan wanita yang telah berkahwin dan bersalin. Ujian ‘muncung itik’ merujuk kepada ujian pap smear yang disarankan bagi setiap wanita yang telah berkahwin atau yang pernah melakukan hubungan seksual.

Kenapa digelar ujian ‘muncung itik?
Ini kerana alat untuk menguji pap smear adalah spekulum atau berus serviks yang akan dimasukkan ke dalam faraj ini menyerupai bentuk muncung itik. Disebabkan itu, ingin lebih mudah difahami, kebiasaannya wanita-wanita di kawasan luar bandar akan menyebut pap smear itu adalah ujian ‘muncung itik’.

Pap Smear adalah ujian saringan bagi mengesan kanser serviks. Jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kanser serviks. Keadaan itu berlaku apabila sel di serviks bertindak secara tidak normal dan berkembang menjadi kanser.

Kanser serviks merupakan di antara kanser yang tertinggi di kalangan wanita-wanita di Malaysia. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Institut Kanser Negara (IKN), kanser serviks adalah antara 10 kanser paling kerap di Malaysia dengan kedudukan berada ditangga ke-tujuh.

Ujian pap Smear dapat mengesan peringkat awal sebelum kanser itu terjadi. Itu sebabnya wanita yang sudah berkahwin atau pernah melakukan hubungan seksual disarankan untuk membuat ujian pap smear kerana pengesanan dan rawatan awal dapat menyembuhkan penyakit ini sepenuhnya.

Photo of gynecologist sitting near medical equipment
Photo by MART PRODUCTION on Pexels

Siapa yang perlu lakukan ujian pap smear?

Ujian pap smear ini penting dan perlu dilakukan oleh semua wanita yang pernah melakukan hubungan seksual atau hubungan intim dan berumur antara 20 tahun hingga 65 tahun.

Ujian ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada masa haid dan nifas. Biasanya, wanita yang selamat melahirkan bayi akan disarankan oleh doktor untuk membuat ujian pap smear selepas tempoh tiga bulan usia bayinya.

Ujian ini tidak perlu pantang larang yang banyak, hanya perlu diingatkan sehari sebelum melakukannya, wanita tidak melakukan hubungan intim dan tidak memasukkan sebarang ubat ke dalam faraj. Peraturan ini perlu dipatuhi demi mendapatkan keputusan yang tepat nanti.

Ujian pap smear dilakukan dengan menggunakan spekulum atau berus serviks yang akan dimasukkan ke dalam faraj. Sel permukaan serviks akan diambil menggunakan spatula atau berus serviks dan kemudian dihantar ke makmal untuk diperiksa.

Setelah melakukan ujian, keputusan akan diberitahu selepas beberapa minggu berikutnya. Ini kerana pihak makmal harus memeriksa dengan teliti jika terdapat sebarang keraguan. Setelah mendapatkan keputusan, pihak hospital atau klinik akan memaklumkan kepada anda dengan kadar segera.

Keputusan itu mungkin dimaklumkan adalah normal atau tidak normal. Jika tidak normal, pesakit perlu dirujuk untuk pemeriksaan yang selanjutnya. Dan pemeriksaan ini bukanlah sekali seumur hidup, bukan juga sekali setahun, tapi pemeriksaan ini disarankan untuk dilakukan setiap tiga tahun sekali.

BERSAMBUNG
*Ikuti sambungan pada artikel akan datang betapa pentingnya ujian pap smear ini pada setiap wanita yang sudah berkahwin atau pernah melakukan hubungan seksual.

Previous articleIsyarat Finger Cross Membawa Tuah? (Bahagian 2)
Next articleKhasiat belimbing buluh

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here