MAK Dara sebagai Nyonya Mansoor dalam filem “Ibu Mertuaku” yang telah meletakkan nama Mak Dara sebagai seorang Seniwati hebat.

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

“Kassim Selamat? Siapa dia Kassim Selamat? Lawyer? Majistret?

“Ahli muzik? Memang pantang datuk nenek aku ahli muzik!”

WALAUPUN telah lebih enam dekad “Ibu Mertuaku” menemui para peminat filem Melayu tetapi dialog itu masih mencengkam jiwa siapa sahaja yang mendengarnya.

POSTER filem “Ibu Mertuaku” lakonan P. Ramlee, Sarimah, Allahyarham Seniman Ahmad Mahmood dan Seniwati Zaiton.

Dengan memek muka dan tonasi yang menyakitkan hati daripada Nyonya Mansoor lakonan Mak Dara ketika melontarkan dialog berkenaan, ia bukan sahaja membuatkan penonton menganggap beliau kejam malah menjadi kebencian mereka.

Walaupun “Ibu Mertuaku” merupakan filem ke-13 daripada 35 filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sepanjang 18 tahun beliau bergelar Pengarah (1955-1973) di Studio Jalan Ampas, Singapura dan Merdeka Studio, Hulu Kelang, Kuala Lumpur, namun setiap kali ditayangkan di televisyen filem terbitan tahun 1962 yang sudah berusia 61 tahun ini meninggalkan kesan sampai ke ‘tulang hitam’ para penonton!

WAJAH seorang ibu yang sombong, bongkak dan sanggup memisahkan kasih seorang suami demi menjaga martabatnya sebagai Nyonya Mansoor yang kaya dan ternama!

Begitulah hebatnya lakonan Allahyarham Seniwati Mak Dara atau nama sebenarnya Dara Mohd. Ali. Beliau dilahirkan pada 16 Februari 1907 di Bukit Tamsiri, Tanjong Pagar, Singapura.

Khabarnya, ketika P. Ramlee mencari pelakon untuk filem “Ibu Mertuaku,” beliau hanya mahukan Mak Dara melakonkan watak Nyonya Mansoor.

BABAK lucu antara Sabariah Mansoor yang ‘membohongi’ ibunya, Nyonya Mansoor dalam filem “Ibu Mertuaku.”

Bagaimanapun, Mak Dara menolak tawaran itu kerana bimbang tidak dapat menjiwai watak itu dengan baik dan tidak mahu menyusahkan P. Ramlee. Tetapi P. Ramlee tetap berkeras mahukan Mak Dara berlakon dalam filem tersebut!

Kata P. Ramlee; “Kalau bercakap tentang kebolehannya berlakon sebagai ibu mertua, Mak Dara memang nombor ‘wahid’ (satu), cuma satu perkara bagaimana beliau mahu menghafal dialog sebab ia bagaikan mengasah parang yang berkarat!”

SATU babak dari filem “Ibu Mertuaku” lakonan Mak Dara (Nyonya Mansoor) dan Seniwati Datuk Dr. Sarimah Ahmad (Sabariah Mansoor).

Menyedari Mak Dara tidak boleh membaca, tugas untuk beliau menghafal dialog diserahkan kepada Penolong Pengarah filem berkenaan, S. Sudarmaji

Adalah difahamkan untuk memudahkan Mak Dara menghafal dialog dalam tonasi tinggi dan rendah serta gerak tubuh yang sesuai dalam setiap babak, S. Sudarmaji melukis simbol pada setiap dialog dalam filem tersebut.

Bagi P. Ramlee walaupun filem “Ibu Mertuaku” mengambil masa enam bulan untuk disiapkan beliau berpuashati kerana watak Nyonya Mansoor yang kejam dan sanggup melakukan apa sahaja asalkan kemahuannya dipenuhi, mencatatkan sejarah dalam dunia perfileman Melayu.

BABAK di kubur yang mana akhirnya membongkar perbuatan kejam Nyonya Mansoor yang membuatkan Kassim Selamat marah dan kecewa dari filem “Ibu Mertuaku.”

P. Ramlee pernah berkata; “Bukan mudah untuk menzahirkan lakonan hebat Mak Dara sebagai Nyonya Mansoor, lima mangkok darah saya ‘dihirupnya.’

“Tetapi Nyonya Mansoor adalah watak ‘cult’ (menjadi pujaan). Walaupun kelemahannya tidak boleh membaca tetapi lakonannya sangat hebat dan bertaraf dunia!”

SIKAPNYA yang mementingkan darjat dan kedudukan, Nyonya Mansoor sanggup berbohong walaupun di kubur yang diibaratkan Kassim Selamat lebih baik beliau menjadi haiwan.

Filem “Ibu Mertuaku” bukan sahaja telah menjulang nama Mak Dara dalam dunia filem Melayu sehingga hari ini, malah ia juga telah melayakkan P. Ramlee menerima anugerah dari Golden Harvest Award: Most Versatile Talent pada Festival Filem Asia Pasifik ke-10 yang berlangsung pada 14 hingga 19 April 1963 di Tokyo, Jepun.

Anugerah tersebut diberikan kepada P. Ramlee setelah 12 juri yang mengadili festival berkenaan sebulat suara memberikan anugerah itu kepada beliau berdasarkan kehebatan beliau sebagai Pengarah, Pelakon, Penggubah Lagu, Penyanyi dan Penulis Lakon Layar untuk filem berkenaan. Selain itu, filem berkenaan turut dianugerahkan Sinematografi Hitam Putih Terbaik yang dimenangi oleh A. Bakar Ali.

APABILA P. Ramlee memilih Mak Dara sebagai Nyonya Mansoor, ia menjadi tanggungjawab Allahyarham S. Sudarmaji membimbing Mak Dara ‘menghafal’ skrip filem “Ibu Mertuaku” dengan melukis pelbagai simbol pada setiap dialog.

Menjejakki perjalanan seni Mak Dara, beliau mula berjinak-jinak dalam dunia hiburan di pentas opera dan bangsawan pada usia belasan tahun. Selain berlakon beliau juga adalah penari joget dan penyanyi.

Disebabkan bakat dan kehebatannya yang boleh berlakon, menyanyi dan berjoget, Mak Dara menjadi rebutan tauke kumpulan bangsawan sejak awal tahun 1920-an.

Mak Dara pernah menyertai kumpulan bangsawan antaranya City Opera, Maha Opera, Sri Noran Opera dan Peninsular Opera. Bersama kumpulan opera ini, beliau telah membuat persembahan bukan setakat seluruh Tanah Melayu malah beliau turut ke Sabah, Sarawak, Brunei dan sekitar Kepulauan Borneo dan Sumatera.

MAK Dara dan Sarimah Ahmad.

Nama dan populariti Mak Dara ketika itu dikatakan sebaris dengan pelakon bangsawan lain seperti Sharif Medan, Yem, Udo Omar, Malek Sutan Muda, Puteh Lawak, Habsah dan Siti Tanjong Perak.

Berbekalkan bakatnya itu, akhirnya pada tahun 1941, Mak Dara berpeluang berlakon dalam filem “Anak Tiri” terbitan Shaw Brothers. Namun perjalanan seni Mak Dara sebagai anak wayang terhenti seketika apabila Perang Dunia Kedua.

DARI kanan: Mak Dara, Allahyarham Seniwati Siti Tanjong Perak, Allahyarham Seniwati Ani Jasmin dan Allahyarham Seniwati Minah Yem dalam satu babak filem lakonan mereka.

Kalau sudah jiwa seni mana mungkin ianya dilupakan begitu sahaja. Selepas perang tamat, Mak Dara meneruskan kerjayanya dan kembali bersama kumpulan bangsawan membuat persembahan dari satu tempat ke satu tempat.

Bagaimanapun pada tahun 1950-an apabila ramai tokoh bangsawan beralih ke dunia filem, Mak Dara juga tidak ketinggalan apalagi ketika itu dunia hiburan melalui perubahan dan filem menjadi daya tarikan masyarakat menontonnya berbanding bangsawan.

MAK Dara dalam satu babak filem lakonannya.

Perubahan ini memberi peluang Mak Dara berlakon dalam filem arahan S. Ramanathan “Berdosa” (1951). Selain Mak Dara pelakon bangsawan seperti Yem, Daeng Idris, Siti Tanjong Perak dan AR Tompel turut berlakon dalam filem ini.

Selepas filem berkenaan, Mak Dara sekali lagi ditawarkan berlakon dan filem “Norma” (1951) arahan Aman Ramli Jaafar atau lebih dikenali AR Tompel telah menemukan Mak Dara dengan Salmah Ismail (Saloma), Bahar Said, Salbiah Harun, S. Kadarisman dan Daeng Idris.

FILEM “Ibu Ayam” yang diterbitkan pada tahun 1963 menemukan pelakon hebat antaranya Mak Dara, Seniwati Salmah Ahmad, Allahyarham Seniman Datuk Mustapha Maarof dan Allahyarham Seniman Datuk Mahmud June.

Sepanjang 28 tahun (1941-1969) menjalani hidup sebagai bintang filem, Mak Dara telah berlakon sebanyak 33 filem dengan tiga daripadanya arahan P. Ramlee iaitu “Penarek Becha”(1955), “Antara Dua Darjat”(1960) dan “Ibu Mertuaku”(1962).

Antara filem lakonan Mak Dara adalah “Perkahwinan Rahsia”(1951), “Anakku Sazali”(1956). Pada tahun 1961, beliau membintangi enam filem antaranya “Sultan Mahmood Mangkat Dijulang, Puteri Gunong Ledang, dan “Siti Zubaidah.”

Pada tahun 1962, Mak Dara membintangi tiga filem antaranya “Tun Fatimah dan Siti Payong” dan filem terakhir lakonan beliau adalah “Mat Toyol”(1969).

ALLAHYARHAM Seniwati Normadiah dan Mak Dara dalam satu babak filem lakonan mereka.

Mak Dara meninggal dunia pada usia 63 tahun pada 16 Februari 1970 sama tarikh kelahirannya (16 Februari 1907) kerana sakit tua, di Hospital Besar, Singapura.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bidadari, Singapura.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

 

Previous articleAtas jasa dan budi yang tidak terhingga, Tun M terima Anugerah Ikon Lelaki Ladybosz 2023
Next articlePes Gulai Ratu Tumis Rasa Rosz Melazatkan Sayur Lodeh !

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here