Maria Farida masih laris hingga kini.

Oleh Wawa Najwa

Sudah33 tahun pelakon Datin Seri Maria Farida Atienza berkecimpung dalam bidang seni lakonan tanah air dan hingga kini beliau masih lagi relevan.

Walaupun kemunculannya dalam drama atau filem bukanlah menggalas watak utama tapi kehadirannya dalam sesebuah karya itu tetap penting sebagai penyeri jalan cerita.

Maria yang masih anggun pada usia 55 tahun itu berkata, sejak bergelar anak seni, kebanyakan watak baik sebagai wanita kampung atau bandar semuanya pernah dilakonkan.

Harap pelakon senior diberi peluang melakonkan watak utama.

Namun sewaktu berbual dengan isteri kepada Datuk Seri Rahman Shakur sejak 27 November 2015 itu, Maria ada meluahkan sedikit rasa terkilan dengan senario seni lakon tempatan.

“Sejak berlakon, saya pernah bawa watak orang kampung, orang gila atau orang kaya. Dalam banyak watak, saya paling suka kalau lakonkan watak women empowerment (pemerkasaan wanita). Setakat ini kebanyakan watak dah pernah bawa.

“Cuma saya rasa sedikit terkilan sebab dalam industri kita, pelakon senior macam saya ni jarang diberi watak utama, sekadar diberi watak mak-mak saja. Kalau kita tengok di Hollywood, pelakon senior diberi watak utama yang boleh menghidupkan sesebuah drama atau filem itu.

“Sebab itulah sejak kebelakangan ini saya hanya lakonkan watak mak-mak saja. Harap pada tahun ini dan masa akan datang adalah perkembangan sikit untuk watak yang hendak ditawarkan kepada pelakon senior, selain ditawar jadi mak saja,” katanya meluahkan pandangan demi kebaikan industri seni tempatan.

Sentiasa tampak muda kerana Maria Farida menjalani kehidupan sihat.

Jelas Maria, beliau juga sering menyuarakan pandangannya itu kepada pengarah dan penerbit yang sering menawarkan beliau berlakon di dalam produksi mereka.

“Memang pernah suarakan pandangan saya bila borak-borak dengan mereka. Tapi itulah mereka (pengarah dan penerbit) pun nak jual drama terbitan mereka yang terpaksa ikut kehendak semasa.

“Maklumlah yang nak tengok pun orang muda, sudah tentulah netizen-netizen nak tengok hero dan heroin yang muda dan baru-baru ini pula, base kepada followers yang rama lagi. Jadi produksi kena ikut trend ini.

“Hollywood tak ikut trend ini sebab yang senior atau nenek-nenek pun masih boleh bawa watak utama dalam filem. Cuma Malaysia saja yang masih tak berubah. Orang lama kena jadi mak bapa saja,” katanya lagi.

Maria Farida beruntung kerana mendapat sokongan daripada suaminya.

Apapun kata ibu kepada Mizan Ashley, beliau sentiasa bersyukur kerana sehingga kini masih mendapat kepercayaan daripada pengarah dan penerbit.

“Alhamdulillah, sehingga kini khidmat saya masih diperlukan oleh penerbit dan pengarah, kiranya saya ni masih relevan lagi la. Mungkin sebab saya suka ikut perkembangan yang terkini seperti mengikuti TikTok, Instagram.

“Disebabkan saya dalam industri ini, jadi saya kenalah cuba ikut trend semasa walaupun tak boleh sama macam remaja lain. Tapi kita cuba lagi untuk kekal relevan dalam industri. Mungkin sebab itulah produser dan pengarah masih lagi ingat kita.

“Mungkin base on luck jugalah sebab itu sampai hari ini saya cuba jaga penampilan supaya tak jadi macam mak-mak yang betul. Saya selalu jaga grooming, penampilan supaya masih lagi mendapat perhatian daripada produser dan pengarah,” katanya terus terang.

Dalam pada itu, kata Maria sebelum bersedia bekerjasama dalam sesuatu projek, beliau akan kenal pasti siapa pengarah dan pelakon yang terlibat.

“Sebelum terima tawaran, saya akan tengok siapa pengarah, adakah dia pengarah bagus atau merepek. Faktor lain yang saya akan tengok, barisan pelakon. Kalau pelakon itu senang bekerja dan tak diva, saya okey. Tapi kalau saya tengok ada pelakon yang bermasalah kemungkinan saya akan tolak tawaran itu.

“Bukan apa, kita akan berada di set lokasi kadang-kadang tu sampai dua tiga bulan, kita perlu bekerja dengan orang yang kita boleh get along. Kita nak happy bila berada di set dan senang bekerja. Selain itu saya juga menitikberatkan soal jalan cerita,” katanya.

Tambahnya, dalam setahun mungkin beliau akan ambil tawaran berlakon untuk satu atau dua drama saja, selebihnya berehat.

Sering membantu rakan-rakan untuk mempromosi produk mereka.

“Mungkin dalam setahun saya akan buat satu atau dua job, kemudian rehat berbulan-bulan. Bila dah rasa bosan dan rindu, saya akan berlakon balik. Saya bukan berlakon selalu. Saya berlakon sekadar untuk lepaskan rasa rindu.

“Suami pun dah pencen dan duduk rumah saja dengan keluarga. Bila bersama keluarga, saya suka memasak dan berlakon tu kira nak isi masa lapang saya tak rasa bosan, tu yang saya buat lakonan. Nak berhenti terus pun tak boleh sebab saya dah lama, tiga empat bulan tak shoot dah rasa rindu nak berada di set,” katanya sambil ketawa.

Rahsia kecantikan

Melihatkan aksi-aksi menariknya di media sosial, pasti ada yang menyangka Maria berusia dalam lingkugan 30-an, sedangkan beliau sudah mencecah 55 tahun pada 28 Mac ini.
Maria yang merupakan model dan ahli perniagaan yang berdarah campuran Melayu dan Filipina itu bersyukur kerana dikurniakan kecantikan semula jadi.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kurniaan Illahi. Saya bukan jenis yang suka pakai produk tertentu atau pergi buat latihan. Apa yang saya lakukan adalah menjalani kehidupan yang sihat, tidak merokok, cukup tidur, makan makanan yang berkhasiat dan dapatkan cukup air. Kalau kita boleh kawal itu semua, insya-Allah boleh berjaya.

Sering mengikuti perkembangan terkini agar tidak ketinggalan zaman.

“Nak kata pergi buat latihan di gym atau berjoging memang tak suka dan tak minat. Begitu juga dengan penggunaan produk penjagaan kulit, tak boleh sembarangan sebab kulit saya sangat sensitif,” katanya terus terang.
Jika anda melihat di media sosial, Maria sering memperkenalkan beberapa produk itu semua dilakukan kerana pemilik produk berkenaan adalah kawan-kawannya. Buat masa ini kata Maria, beliau tidak terikat sebagai duta untuk mana-mana produk.

“Sebenarnya saya bukan duta Hannan Medispa tapi sebab kawan baik, saya bantulah buat promosi. Semua orang tahu yang selalu taja saya adalah Hannan Medispa, untuk facial, rawatan dan warna rambut saya.

“Begitu juga untuk My Clinic yang rawatan kulit. Mereka ini adalah kawan-kawan dan saya pun sokong mereka. Dulu memang banyak produk tawar untuk jadi duta tapi kebelakangan ini kurang dah mungkin mereka nak yang muda jadi duta mereka,” katanya yang berkawan baik dengan Puan Seri Tiara Jacquelina, Fasha Sandha dan beberapa lagi rakan artis lain.

Previous articleKhasiat pokok mengkudu
Next articleImpian Andre Goh yang belum kesampaian?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here