Datuk Andre Goh masih aktif.

Oleh Nafsiah Jani
Foto Afhzahafiez Kamaruddin / Koleksi Syed Wafa

Datuk Andre Goh bukanlah nama asing dipersada seni. Namanya cukup dikenali di era 1970-an dan 1980-an sebagai penyanyi bukan Melayu yang menyanyikan lagu Melayu Asli sejak menyertai Bakat TV RTM 1972.

Setiap orang mempunyai impian. Begitu juga dengan penyanyi Andre Goh atau nama sebenarnya, Goh Eng Boon,77, yang menyimpan hasrat untuk merakamkan lagu Hari Raya ciptaannya sendiri.

“Impian saya yang belum kesampaian adalah untuk rakam lagu Hari Raya. Percaya tak, sepanjang jadi penyanyi saya tak ada lagu baru Hari Raya yang saya nyanyikan sendiri. Buat masa ini dalam simpanan saya dah ada dua lirik lagu Hari Raya yang saya tulis sendiri. Kini saya masih tercari-cari jika ada pihak yang berminat nak membantu merealisasikan impian saya ini.

Andre Goh mendendangkan lagu Mas Merah ketika menyertai program Bakat TV RTM pada 1972.

“Nak rakam lagu bukannya murah. Dah puas saya cari penaja dan mereka yang berminat dan taja rakaman single lagu Hari Raya. Namun sehingga kini tak ada lagi pihak yang sudi nak tunaikan impian saya,” kata Andre Goh penyanyi kelahiran Kampung Sialang, Tangkak, Johor ini.

Dilahirkan dalam keluarga Baba Melaka yang berdarah seni, dimana keluarganya menggunakan Bahasa Melayu dalam perbualan harian dan mengamalkan adat serta budaya orang Melayu. Bapanya, Goh Tiam Leong mahir mendendangkan lagu dondang sayang, manakala ibu, Wee Teck Neo pula cukup pandai berpantun. Rumahnya juga sering menjadi tempat perhimpunan orang kampung untuk belajar menyanyi lagu-lagu langgam, dondang sayang atau lagu asli.

Jadi tidak hairanlah Andre Goh mengikut jejak langkah mereka tampil menyanyikan lagu-lagu joget dan berirama tradisional Melayu Asli berbanding lagu berbahasa Cina.

Cover album Samudra Sunyi nyanyian Andre Goh.

Walaupun sudah lima dekad berkecimpung dalam bidang seni, namun suaranya masih kekal merdu dengan lenggok irama Melayu yang cukup mempesonakan.

Ditanya bagaimana minatnya bercambah untuk menyanyikan lagu Melayu Asli berbanding genre lain, kata Andre Goh lagi,“Sejak kecil saya telah didedahkan dengan lagu-lagu Melayu asli dan Langgam yang dipasang melalui piring hitam kepunyaan bapa saya. Kebanyakan lagu yang saya dengar sewaktu kecil adalah lagu-lagu Melayu lama seperti Kuala Sedeli, Bunga Lalang, Bunga Rampai, Dondang Sayang dan banyak lagi.

“Setiap kali bapa saya memasang lagu, saya akan turut menyanyi kerana cukup tertarik dengan keindahan lagu dan melodi lagu-lagu tersebut. Oleh kerana sudah terdedah dengan lagu-lagu Melayu sejak kecil lagi, membuatkan saya lebh senang menyanyikan lagu-lagu berirama tersebut berbanding irama lain.”

Andre Goh tampil dengan album Harapan Kecewa

Memandangkan usianya sudah mencecah 77 tahun, namun Andre Goh yang popular dengan lagu Joget Sayang Oh Sayang dan Nak Dara Rindu ini bertuah kerana memiliki daya ingatan yang cukup kuat untuk mengingati setiap lirik lagu-lagu nyanyiannya.

“Saya tidak ada masalah nak ingat lirik lagu yang sering saya nyanyikan kerana lagu-lagu ini sentiasa bermain dibibir saya setiap kali mengadakan persembahan. Cuma yang jadi masalahnya, bila penonton secara spontan minta lagu yang jarang saya nyanyikan. Sudah pasti ia jadi masalah untuk saya mengingati liriknya,’’ kata Andre Goh anak keenam daripada 15 adik-beradik ini yang juga popular dengan lagu Sabariah.

Kini kemana saja mengadakan persembahan, Andre Goh turut ditemani kawan baiknya, Alice yang merupakan pembantu peribadinya yang juga merangkap sebagai jurumekap yang telah bersamanya lebih 20 tahun yang lalu.

Popularitinya turut melayakkan Andre Goh menjadi cover majalah hiburan URTV bersama pelakon Nancie Foo.

Penglibatannya dalam bidang seni lebih lima dekad turut melayakkan Andre Goh menerima anugerah Ahli Mangku Negara pada 1982. Manakala pada tahun 2006 Andre Goh turut menerima Anugerah Pendokong Seni Negara daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA).

Andre Goh yang juga popular dengan lagu Dikirim Jangan Dipesan Jangan, mula menyertai bidang seni ketika berkhidmat dengan Jabatan Telekom Malaysia di Brickfields. Dorongan rakan sebiliknya, Michael Leong yang bekerja sebagai jurugambar di Jabatan Penerangan membuatkan Andre menyertai Bakat TV RTM pada 1972.

Minat lagu asli sejak kecil.

Meskipun gagal meraih sebarang tempat, Andre bertuah sebagai satu-satunya artis bukan Melayu yang menyanyikan lagu Melayu Asli ditawarkan RTM bagi mengendalikan program TV berjudul ‘Andre Goh’ sebanyak 20 episod.

Selain program TV, Andre turut merakamkan album (bentuk EP) pertama pada 1973 berjudul Halimun Malam. Album lain termasuk Harapan Kecewa, Samudera Sunyi, Fatwa Pujangga, Impian (1976), Nostalgia Aidil Fitri Bersama Artis Lagenda (1998), Mas Merah, Baju Hitam dan Impian.

Andre Goh ketika menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) daripada Sultan Pahang pada 1982.

Berkebun cara Andre Goh jaga kesihatan

Melihat pada usianya mungkin ramai yang tidak percaya bahawa Andre Goh mempunyai cara tersendiri untuk menjaga kesihatan dirinya untuk kekal sihat, bertenaga dan awet muda.

Perjuangan seninya yang tiada noktah…Andre Goh bersama sijil dan plak Anugerah Pendokong Seni Negara pada 2006.

“Dulu masa muda saya rajin juga bersukan. Bila dah berusia ini, saya kenalah alih minat kepada aktiviti berkebun pula. Kalau tak ada persembahan, dua atau tiga kali sebulan saya akan pulang ke kampung untuk menguruskan kebun kepunyaan keluarga saya di Tangkak.

“Jangan tak tahu, semua kerja di kebun seperti menebas rumput, meracun, menanam pokok dan lain-lainnya saya sendiri yang lakukan. Saya memang tak upah sesiapa pun untuk membantu saya. Inilah cara saya bersenam nak keluarkan peluh dah tua-tua ini.

Gaya seorang bintang…Andre Goh tetap bertenaga dan awet muda di usia 77.

“Saya bersyukur kerana badan saya masih sihat dan dikurniakan kesihatan baik kerana tiada penyakit kronik seperti kencing manis dan sebagainya serta mampu mengekalkan mutu vokal sama walaupun sudah berusia,’’ katanya yang turut menanam pokok pisang, durian dan longan.

Previous articleMaria Farida berlakon bagi mengisi masa lapang
Next articleKejohanan golf amal Karyawan 21 Januari ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here