Oleh: Nafsiah Jani
Di negara kita begitu mudah untuk menemui pokok mengkudu. Namun ramai yang tidak mengetahui khasiatnya dan membiarkan buahnya masak dan membusuk begitu saja diatas pokok mahupun jatuh ke tanah.
Mungkin baunya yang tidak begitu sedap membuatkan buah itu dipandang sepi, sedangkan di negara luar buah ini menjadi rebutan untuk menghasilkan pelbagai jenis ubatan dan suplemen kerana manfaatnya terlalu banyak untuk kesihatan dan kecantikan.
Tahukah anda, semua bahagian pokok mengkudu termasuk daun, akar, bunga dan bijinya mempunyai khasiat tersendiri. Pokok mengkudu atau nama lainnya buah Noni atau Morinda Citrifolia ini kaya dengan kandungan karbohidrat, vitamin C, biotin, kalsium, magnesium, vitamin A dan vitamin B3.
Vitamin C dalam buah mengkudu bagus untuk kecantikan kulit dan menguatkan sistem imun badan. Manakala biotin dan vitamin B pula membantu menukarkan makanan yang dimakan kepada bentuk tenaga yang amat diperlukan tubuh badan.
Kandungan pelbagai nutrisi termasuk polifenol, asid lemak dan vitamin dapat meningkatkan antibodi seseorang dan mencegah daripada sebarang penyakit. Antara komponen semula jadi utama dalamnya adalah polysaccharide, quercetin, beta keratin dan scapoletin.
Walaupun buah ini bagus untuk kesihatan namun kita juga perlu berhati-hati agar tidak mengambil jusnya dalam kuantiti yang banyak terutamanya mereka yang sudah mempunyai penyakit darah tinggi dan masalah buah pinggang. Dikhuatiri kandungan kecil antinutrien yang terdapat dalamnya seperti anthraquinone, iridoid dan sterol tumbuhan boleh memberi kesan kepada buah pinggang dan organ hati.
Berikut adalah antara manfaat dan khasiat keseluruhan pokok mengkudu yang sering digunakan dalam perubatan tradisional dan moden. Selamat mencuba dan anda pasti gembira dengan hasilnya.
- Buah ini mempunyai ciri-ciri antikanser bagi membantu mencegah, mengawal pertumbuhan kanser, mengurangkan risiko kanser terutamanya kanser paru-paru, kanser usus, payudara dan serviks. Pengambilan jus ini setiap hari dalam jumlah sedikit dapat mencegah sebarang pembentukan kanser dalam badan.
- Jus mengkudu amat tinggi kandungan antioksidannya seperti beta karoten, iridoid, vitamin C dan vitamin E yang dapat mengelakkan kerosakan sel tubuh disebabkan radikal bebas. Kandungan radikal bebas dan antioksidan yang seimbang dalam badan dapat mengekalkan kesihatan yang optimum. Ia juga membantu mengurangkan penyakit kronik seperti kencing manis dan penyakit jantung kerana mengkudu dapat meningkatkan kesihatan jantung dengan menstabilkan tekanan darah tinggi.
- Untuk mendapat kulit yang halus dan mulus, buah mengkudu boleh dijadikan srub dan masker diwajah. Hancurkan buah mengkudu yang masak dan lumurkan buah tersebut dikulit muka dan seluruh badan. Gosok perlahan-lahan dan biarkan selama 15 minit dan bolehlah dibilas bersih. Amalkan scrub ini seminggu tiga kali. InsyaAllah kesannya cukup menakjubkan.
- Penyakit gout adalah masalah bengkak sendi disebabkan kandungan asid urik yang berlebihan didalam badan dan sendi. Jus mengkudu juga dikatakan dapat membantu menurunkan bacaan asid urik dalam badan dan membantu merawat dan mengurangkan risiko sakit gout
- Semakin kita berusia, semakin rapuh tulang kita atau di sebut juga osteoporosis. Masalah ini dapat diatasi jika kita amalkan pengambilan air rebusan daun mengkudu dan jus buah mengkudu yang dapat menggalakkan pembentukan tulang dan mengurangkan tulang kita patah sekiranya terjatuh.
- Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam kajiannya pada tahun 2008 turut memperakui bahawa buah mengkudu ini dapat membantu menurunkan kandungan gula atau glukosa dalam darah. Ini berdasarkan kajian mereka dimana kandungan sebatian polisakarida atau serat larut air tinggi di dalam buah mengkudu.
- Buah mengkudu juga dapat meningkatkan sistem ketahanan badan. Sifat-sifat antibakteria, antivirus, antiradang dan juga antikulat yang terdapat didalamnya mampu menghalang pembiakan bakteria dan mencegah jangkitan. Mengkudu juga dapat meningkatkan fungsi sel darah putih yang merupakan komponen penting dalam sistem imun badan untuk melawan penyakit, mengawal tindak balas alahan dan keradangan yang berlaku.
- Kandungan antibakteria dan antiradang dalam mengkudu dapat membantu mereka yang mempunyai masalah berkaitan penyakit kulit. Antaranya menyembuhkan penyakit kulit seperti psoriasis, melecur, ruam kemerahan kerana alergik dan jangkitan kulat pada kulit.
- Antrakuinon didalam buah mengkudu juga dapat menghalang penuaan dengan pembentukan kolagen untuk kulit wajah kembali meregang dan kembali seperti sediakala. Penggunaan krim yang mengandungi ekstrak mengkudu juga mampu mengurangkan garisan halus yang terdapat dibawah mata.
- Buah mengkudu juga dapat melindungi seseorang daripada penyakit hati atau kegagalan akut hati. Pengambilan jus mengkudu secara konsisten juga dapat mengembalikan fungsi hati yang rosak selepas terdedah kepada toksin.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.