Presiden Karyawan Freddie (empat dari kanan) bersama barisan artis dan penaja yang akan menjayakan Kejohanan Golf Amal di Nilai, 21 Januari ini.

Oleh Nafsiah Jani
Foto Afhzahafie Kamaruddin

Bertuah artis-artis di negara ini kerana ada pihak yang cukup menjaga kebajikan mereka terutamanya Persatuan Karyawan yang diketuai presidennya, Datuk Freddie Fernandez.

Bagi mencari dana untuk meneruskan misi membantu artis-artis yang sakit dan ditimpa kesusahan, persatuan Karyawan akan menganjurkan Kejohanan Golf Amal bagi mengumpul dana di Kelab Golf Kota Seriemas, Nilai, Negeri Sembilan pada 21 Januari ini.

Freddie Fernandez berkata, pihaknya komited mengumpul dana Tabung Penggiat Seni bagi membantu insan-insan seni yang memerlukan.

“Ini termasuk menggabungkan selebriti popular tanah air dan penggiat sukan dalam kejohanan golf amal ini bagi mengumpul dana. Penyertaan terbuka kepada 120 peserta termasuk orang awam. Saya sangat berharap kejohanan ini mendapat sambutan untuk kami terus melaksanakan usaha murni ini.

“Sekiranya tiada kemampuan bagaimana kami (Karyawan) nak bantu mereka. Jadi pertandingan golf ini antara aktiviti awal yang dicadangkan pada tahun ini untuk membantu mereka. Setiap penyertaan akan dikenakan bayaran RM350 seorang dan kami sasarkan RM50,000 dana dapat dikutip daripada pihak penaja dan kejohanan ini.

“Selain pertandingan golf, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan. Banyak hadiah menarik menanti para peserta dari barangan elektronik hinggalah baucar golf dan peralatan manakala bagi mereka yang tidak begitu bertuah dalam permainan, banyak hadiah cabutan bertuah disediakan,” katanya mengenai persatuan yang sudah memiliki 4,000 ahli yang berdaftar sejak ditubuhkan.

Selepas kejohanan, majlis makan malam dan majlis penyampaian hadiah gala turut diadakan di lokasi yang sama. Kejohanan ini turut disertai selebriti popular tanah air antaranya Datuk Hattan, Datuk Malek Redzuan, Datuk Yasmin Yusoff, Datuk Hans Issac, Sharnaaz Ahmad, Shuib serta Rahim Sepahtu serta legenda bola sepak, Datuk Dollah Salleh.

Baru-baru ini Karyawan turut menghulurkan bantuan kepada beberapa artis terkenal yang menghadapi kesusahan dan masalah kesihatan seperti Sheqal, Isma Aliff, Hasnol serta beberapa lagi yang telah meninggal dunia antaranya Allahyarham Rohana Jalil, Datuk M Daud Kilau, Ibnor Riza dan lain-lain lagi.

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez

Freddie menambah, sepanjang tahun lalu, lebih 35 artis veteran dan yang ditimpa kesusahan telah dibantu menerusi tabung itu.

“Usaha seperti ini sangat perlu bagi kami untuk terus memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Mereka banyak menyumbang kepada warisan budaya negara dan menghiburkan pelbagai lapisan masyarakat sejak sekian lama.

“Karyawan sentiasa komited nak bantu lebih ramai lagi penggiat seni yang diuji dengan pelbagai masalah. Setiap hari ada sahaja artis yang sakit termasuk yang memerlukan bantuan di hospital dan tak kurang juga yang meninggal dunia.”

Kejohanan kali keempat ini turut mendapat tajaan penaja terutamanya Hadramawt Kitchen, Panca Abadi Automobil, Kofika, Al Najwa Productions, BS Nutrition dan Kota Seriemas Golf and Country Club.

Pembayaran boleh dibuat kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Akaun Public Bank 3108024130) atau Persatuan Bencana Alam Negeri Kedah (PBANK) di mana penderma hendaklah membuat pembayaran ke akaun PBANK (No. Ac UOB Bank 1743043575). Salinan slip pembayaran kepada PBANK akan menerima pengecualian cukai bagi sumbangan mereka. Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran sila hubungi Azhar di talian 0163344022.

Previous articleImpian Andre Goh yang belum kesampaian?
Next articleAtas jasa dan budi yang tidak terhingga, Tun M terima Anugerah Ikon Lelaki Ladybosz 2023

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here