Oleh Asmat Fikri

Macam mana nak mengenal pasti penyakit ini? Adakah tanda-tandanya diukur pada berat badan kurus semata-mata? Jawapannya adalah bukan. Sebenarnya banyak simptom umum yang boleh dilihat untuk mengenal pasti penyakit anoreksia nervosa ini.

Antara gejala umum seperti yang dikongsi oleh laman Hello Doktor adalah:

  • Takut dengan berat badan atau menjadi lemak, walaupun kurang berat badan
  • Memaksa muntah
  • Mengambil diuretic untuk membuang air kecil atau julap untuk membuang air besar
  • Mengambil pil diet
  • Tidak makan atau makan terlalu sedikit
  • Menjalankan banyak aktiviti walaupun dalam keadaan cuaca buruk atau apabila menyakiti atau letih
  • Risau berat makanan dan mengira kalori

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyenaraikan gejala penyakit anoreksia nervosa ini jika tandanya seperti berikut:

  • Denyut nadi dan tekanan darah rendah – Perlu semak sendiri atau ke klinik berdekatan jika ada rasa pening kepala.
  • Keletihan dan mengantuk – Ianya mungkin berpunca dari kurang makan dan tidak mengambil makanan yang mencukupi.
  • Kulit menjadi kering – Disebabkan kurang air dalam badan.
  • Kemunculan bulu-bulu halus.
  • Mudah marah dan fikiran sering terganggu – Dipengaruhi oleh tekanan kerana badan tidak mendapat nutrisi yang sepatutnya.
  • Sentiasa mencari kesempurnaan – Terlalu merasa rendah diri di hadapan orang lain.
  • Kurang bersosial untuk mengelakkan dari menikmati makanan – Menjadi kurang keyakinan dan diri dan memilih untuk bersendiri agar dapat mengawal pemakanan seperti yang dikehendaki.
  • Haid terganggu – Haid tidak datang atau haid menjadi tidak teratur disebabkan hormon.
Image by brgfx on Freepik

Jadi macam mana? Melihat kepada tanda-tanda dan gejala di atas, apakah anda mengalami situasi seperti berikut? Jika ya, pastikan berjumpa dengan doktor di klinik atau hospital berdekatan kerana dikhuatiri boleh memudaratkan lagi diri. Dikhuatiri kesan penyakit ini agak teruk jika dibiarkan.

Kesan Anoreksia Nervosa

Masalah gangguan pemakanan seperti anoreksia nervosa ini akan menyebabkan komplikasi yang serius jika berlarutan. Komplikasi itu seperti:-

• Kehilangan otot-otot, kehilangan lemak tubuh dan juga mineral pada tulang serta kekurangan vitamin dalam badan. Ini disebabkan kurangnya pengambilan makanan atau mungkin juga dari kesan mengambil ubat-ubatan akibat terlalu taksub untuk kurus.

• Gangguan psikologi. Tiada selera makan boleh menyebabkan terjadinya gangguan psikologi yang membolehkan seseorang bertindak tidak seperti dirinya yang biasa. Pesakit mungkin akan kerap membicarakan tentang berat dan pemakanan dalam perbualan harian menjadikan ia sebagai fokus utama. Mereka juga tidak makan di hadapan orang lain, sentiasa muram, bersedih dan tidak mahu bersosial. Mungkin mereka mempunyai penyakit psikiatri dan fizikal yang lain seperti kemurungan, kebimbangan, mulut kering, mudah sensitif dan ada isu dengan jantung atau otak.

• Pertumbuhan terbantut dan lewat mencapai akil baligh.

• Tulang mudah reput dan seterusnya mengakibatkan osteoporosis.

• Berisiko tinggi mendapat penyakit dan boleh membawa maut.

 

Perubahan yang diperlukan sebagai rawatan

Jika mempunyai penyakit ini, anda haruslah segera bertemu dengan doktor atau pakar kesihatan untuk mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Pun begitu, perubahan gaya hidup juga perlu diamalkan seiring agar anda tampil lebih sihat dan bertenaga.

Perkara yang boleh dilakukan adalah seperti mengurangkan tekanan, elakkan melakukan perkara yang boleh memberi tekanan pada diri dan emosi anda. Seperti contoh memaksa untuk turun berat badan pada angka yang terlalu drastik hingga menyebabkan tekanan jika tidak mencapainya. Letaklah target itu secara realistik dan mampu dicapai dengan cara yang sederhana agar tidak tertekan.

Bergaul dengan orang-orang positif juga mampu untuk mengeluarkan anda yang sedang bergelut dengan emosi diri sendiri untuk lebih kuat. Pastikan orang positif sentiasa menyokong dan menerima diri anda seadanya. Bukannya mereka yang sering mencabar untuk mencapai apa yang bukan sepatutnya.

Image by Freepik

Selain itu, makan makanan yang ditetapkan oleh doktor atau pakar pemakanan anda mengikut waktu yang ditetapkan. Berdisiplinlah untuk lebih sihat sebagaimana anda pernah disiplinkan diri untuk kurus. Makanlah ubat-ubatan yang diberikan jika ada. Pastikan mengikut jadual yang sepatutnya untuk kesan yang optimum.

Seterusnya, pilihlah pakaian yang bersesuaian. Pakaian juga turut memainkan peranan penting. Jangan membuat koleksi pakaian yang bukan kena dengan saiz badan anda. Belilah pakaian yang memang sesuai dengan saiz badan semasa dan pakailah dengan sopan. Ingat, jika kena dengan gaya, tidak kira gemuk atau kurus, tidak mustahil kita akan tampil anggun dan bergaya.

Kesimpulan

Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Pun begitu, sokongan dari ahli keluarga dan kenalan sangat diperlukan oleh mereka yang mengalami anoreksia nervosa ini. Bagilah mereka kata-kata semangat yang sewajarnya agar terus bangkit dan percaya pada diri.

Semua orang diciptakan cantik. Cantik itu sangat subjektif. Mungkin kita berpendapat dan merasakan diri sangat lurus, hodoh dan tidak cantik. Namun mungkin pada pandangan orang lain, melihat kita sungguh cantik dan menawan.

Biarpun ingin kurus, namun buatlah dengan cara sederhana dan betul. Dapatkan nasihat doktor, pakar pemakanan, pakar nutrisi atau sesiapa sahaja yang mampu mengajar serta menunjukkan kita jalan bagaimana untuk kurus dengan sihat.

Apa-apapun, perlu pasak niat di hati, kurus untuk sihat, senang beribadah dan lebih bertanggungjawab pada tubuh badan yang Allah amanahkan buat diri kita, bukannya kurus untuk cantik semata-mata. Cukuplah cantik di mata suami, orang yang tersayang dan paling penting, cantik dalam pandangan Allah SWT.

Previous articleTangan yang baik berserta simbol buruk (Bahagian 1)
Next articleKhasiat pokok mengkudu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here